Monday, October 16, 2023

2,159 HEKTAR DIKENALPASTI DI SABAH UNTUK PROJEK MINI ESTET PADI

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu sidang Dewan Rakyat pada Isnin, bahawa seluas 2,159 hektar tanah pertanian dikenalpasti di Daerah Kota Belud dan Beluran di Sabah untuk dijadikan Projek Mini Estet padi, yang diurus oleh FELCRA.

Berpandukan pengalaman FELCRA mengurus mini estet seumpama itu di Seberang Perak boleh menghasilkan 5 tan sehektar. Maknanya, apabila mini estet tersebut dilaksanakan, maka keluaran padi untuk Sabah akan meningkat 10,795 tan semusim, jika dua musim boleh mengasilkan 21,590 tan setahun. Jika konversi padi (gabah) menjadi beras 62 peratus, maka tahap sara diri (SSL) bagi Sabah bertambah 13,386 ton.

Penulis tidak mempunyai data terkini keperluan beras bagi 3.54 juta penduduk Sabah, akan tetapi berasaskan data tahun 2021, Sabah mengimport 290,000 tan, sementara keluaran beras tempatan hanya 22,000 tan.

Jika berpandukan pada angka 290,000 tan, maka keluaran padi adalah 467,741 tan, ertinya jika hasil 5 tan/hektar, maka memerlukan keluasan 46,774 hektar sawah (menuai 2 kali setahun). Akan tetapi jika hasil 10tan/hektar, maka hanya memerlukan 23,387 hektar tanah sawah padi.

Hasil padi 10 tan/hektar bukan tidak boleh dicapai, jika tatakelola penaman digunapakai. Penulis banyak kali terlibat semasa masih mahasiswa di Institut Pertanian Bogor Indonesia tahun 80-an menyaksikan pesawah boleh menghasilkan sehingga 10 tan/hektar, ironinya, para pesawah hanya menggunakan pengairan tidak moden, akan tetapi sistem pengairan yang sistematik yang dikawal sepenuhnya oleh pesawah.

Negara kita mempunyai kelebihan kerana matahari terbit 12 jam sehari. Sinar matahari sedemikian memberi kelebihan pada proses potosintesis yang diperlukan padi sepanjang tahun, kecuali dimusim-musim tengkujuh.

Jika keperluan tanaman benar-benar diambilkira, berkaitan keperluan air, baja, gangguan rumpai, serangga, penyakit dapat dikawal, tidak mustahil hasil padi boleh meningkat sehingga 10 tan/sehektar.

Pengalaman penulis melihat petani di Sabah, menabur baja, tidak sesuai dengan keperluan tanaman, mengairkan sawah tidak sesuai dengan keperluan, ibarat orang kenyang dan tidak haus dipaksa makan dan minum. Manakala dikala lapar dan haus makanan dan air tidak diberikan. Isu kecil begini, adalah penyumbang rendahnya hasil. Fikir-Fikirkan, untuk mereka yang diberi amanah mengurus keluaran beras negeri.

No comments:

Blog Archive