Tuesday, September 12, 2023

WARNA WARNI POLITIK MALAYSIA: DULU LAIN SEKARANG LAIN

BERTUKAR warna untuk dapat kuasa disopankan dengan istilah penjajaran. 

Atas sebab itu, apabila pada PRU15 tiada parti atau gabungan parti-parti mendapat majoriti mudah, maka dipandu oleh Yang DiPertuan Agong agar parti-parti melaksanakan penjajaran untuk tujunan menubuhkan kerajaan.

Titah YDP Agong kerjasama parti-parti  untuk bentuk kerajaan selain kerajaan dan politik stabil, juga agar rakyat tidak mendapat kesan daripada pergolakan politik.

Walaupun semua parti “terpengkap” dengan keadaan DULU LAIN SEKARANG LAIN, akan tetapi tiada alternatif melainkan perlu menghadapinya.

Biasalah apabila kejadian diluar jangka, walaupun pada awalnya kejadian itu dipersetujui, akan tetapi berlaku juga keadaan rumah siap pahat berbunyi.

Apabila para pemimpin yang dahulunya berpendirian berbeza kemudian bekerjasama, maka perbezaan cuba diketepikan, sebaliknya meraikan persamaan dan tujuan. Malangnya diperingkat penyokong, malah sebahagian pemimpin lambat menerimanya, tidak kurang juga menentang.

Keadaan ini lah yang berlaku antara PH-BN. Ironinya, kesan kerjasama ini hanya terbeban pada BN bukan pada PH. Kesan pada BN dapat dilihat pada PRN2023 dan PRK Pulai dan Simpang Jeram.

Kesan pada BN akan dilihat lagi pada PRK Pelangai dalam kawasan Parlimen Bentong, Pahang pada 7 Oktober depan.

Di Semenanjung memang terasa sangat kerjasama PH-BN lebih merugikan Umno/BN.

Bagai mana pula di Sabah?

Di Sabah agak unik, kerana Umno/BN bersama Parti Warisan adalah pembangkang kepada GRS-PH, sedangkan GRS seperti juga Warisan penyokong Kerajaan Perpaduan Persekutuan.

Oleh kerana keadaan Sabah agak unik, maka akan berlaku, GRS dan PH akan mendapat tentangan daripada Umno/BN dan Parti Warisan pada PRN17 Sabah pada tahun 2025?.

Di atas kertas di Sabah bagi kawasan bandar, PH tiada saingan, ertinya kawasan-kawasan yang disandang parti itu terutama parti DAP akan dikekalkan. PRN17 Sabah hanya berlaku persaingan di kawasan luar bandar (kawasan bumiputera).

Di Sabah, tidak kelihatan apa yang berlaku pada Umno/BN di Semenanjung yang ditolak pengundi Melayu kerana DAP, di Sabah agak berbeza, kerana sebelum ini apabila Warisan bekerjasama dengan PH, parti Warisan tidak terkesan.

Pada PRN17 Sabah yang terbeban ada lah Umno/BN dan Parti Warisan jika memilih menolak kerjasama dengan PH. Jika memilih bekerjasama, maka selain GRS dua parti itu juga tidak meletakkan calon pada kawasan-kawasan yang ditandingi PH.

Jika demikian, di kawasan-kawasan yang tidak ditandingi PH berkemungkinan pada nisbah 62/73 akan berlaku pertembungan hanya antara GRS-BN-Parti Warisan-PN.

Daripada 62 kawasan DUN ini, mana-mana parti kecuali PN hanya memerlukan 27/62 untuk melengkapi kerusi PH 11/11 untuk mencapai majoriti mudah 38/73.

Pertimbangan lain pula, antara GRS-BN-Parti Warisan-PN, GRS secara solo boleh menang sekurang-kurangnya 40/62, jika ianya berlaku, maka GRS-PH boleh menang 51/73, 51/73 adalah jumlah kemenangan dua pertiga, kerana DUN Sabah hanya memerlukan 49/73 bagi maksud kuasa itu.

Pendek kata dalam senario politik Sabah, PH tiada pilihan perlu bekerjasama dengan GRS jika ingin membentuk kerajaan negeri, demikian juga Umno/BN dan Parti Warisan perlu bekerjasama dengan GRS untuk membentuk Blok Borneo yang kuat.

Persoalan kini, pada Umno/BN dan Parti Warisan apa kah dua parti itu ada hasrat membentuk blok Borneo?.

Sementara itu kehadiran PN, tidak akan mendapat sambutan rakyat Sabah, kecenderungan rakyat Sabah lebih pada parti yang berjiwa lokal.

Dalam keadaan sekarang, Umno/BN di bawa pimpinan Datuk Bung Moktar Radin berhasrat sangat merampas kerajaan negeri pada PRN17 Sabah. Untuk hasrat itu, maka berkemungkinan bekerjasama dengan Parti Warisan untuk menentang terutama GRS. Akan tetapi, apa yang penulis gambarkan pada tulisan ini, dalam senario politik Sabah hari ini, tidak kurang 40/73 kawasan DUN bakal dimenangi GRS.

Penulis bukan memandang rendah keupayaan Umno/BN sebagai parti yang pernah menjadi tunjang kerajaan negeri hampir 25 tahun, namun, tahap sokongan pada parti itu telah menurun sejak PRU14, dan dibuktikan sekali lagi pada PRN16 Sabah dan PRU15. Manakala Parti Warisan pula adalah parti menunju matahari terbenam. Sementara PN, bukan pilihan rakyat, kerana parti itu menjadi pilihan pada PRN16, kerana kehadiran para pemimpin kumpulan Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang kini bersama dalam GRS.

Apa yang jelas, senario politik Sabah, diwarnai “mood” kumpulan Hajiji iaitu menerusi Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

No comments:

Post a Comment