Wednesday, September 20, 2023

UNDI POPULAR INDIKASI PEMIMPIN RELEVAN

DALAM politik, relevan atau tidaknya seseorang pemimpin bergantung pada penerimaan rakyat.

Salah satu indikasi bahawa seseorang pemimpin itu relevan, apabila menang dengan undi popular dalam pilihan raya.

Mereka yang menang dengan undi popular, tidak terkesan dengan jumlah penjuru atau undi yang berpecah.

Pun demikian bagi kawasan-kawasan yang melibatkan berbagai penjuru, mana-mana calon yang mendapat undi 40 peratus ke atas, boleh dikira, calon popular, walaupun undi yang diperolehi bukan popular.

Apabila diamati keputusan-keputusan pilihan raya yang lalu-lalu, calon-calon popular menang walaupun tidak dengan undi popular, dan mereka itu adalah calon-calon yang mendapat undi popular antara 40-49 peratus.

Pada PRN16 Sabah antara pemimpin yang menang berdasarkan undi popular antara lain Datuk Seri Hajiji Haji Noor- DUN Sulaman (65.83%); Datuk Salleh Tun Said- DUN Usukan (65.28%); Datuk Masidi Manjun-DUN Karanaan (73.70%); Datuk Dr Jeffrey Kitingan- DUN Tambunan (75.21%); Datuk Shafie Apdal- DUN Senallang (77.16%); Datuk Ghulam Haidar- DUN Kawang (71.24%); Datuk Arifin Arif-DUN Membakut (60.70%); Datuk Jahid Jahim-DUN Tamparuli (59.26%); Datuk Nizam Abu Bakar Titingan-DUN Apas (58.30%); Datuk Abdul Ghani Yassin- DUN Nabawan (55.94%); Datuk Bung Moktar Radin- DUN Lamag (54.06%); Datuk Ir Shahelmey Yahya-DUN Tanjung Keramat (51.74%); Datuk Joniston Bangkuai- DUN Kiulu (51.93%);

Menerusi undi popular atau calon popular, mencerminkan penerimaan rakyat pada para pemimpin itu, sehingga boleh memberi kesan positif pada parti yang diwakili.

Ertinya cerminan undi popular adalah pemimpin relevan di mata rakyat, bukan sahaja di kawasan masing-masing akan tetapi secara umum di negeri Sabah.

Apa yang boleh ditelaah, selagi pemimpin kategori ini aktif dalam politik, maka rakyat mengambil kira pengelibatan mereka.

Kehadiran pemimpin popular sama ada ditandai dengan undi popular atau yang menang pilihan raya kemudian dirujuk sebagai penyandang pada kawasan-kawasan tertentu, akan menjadi perhatian rakyat semasa pilihan raya. Ertinya rakyat memerhatikan parti mana mereka wakili. Atas sebab itu, dengan kehadiran para pemimpin di platform yang berbeza, menjadikan keputusan pilihan raya sukar diramal lebih awal, kerana para pemimpin dalam kategori ini memberi kesan/impak pada keputusan pengundi.

Dalam mana-mana pilihan raya, rakyat mengundi pada parti yang dikira mempunyai potensi untuk menubuhkan kerajaan. Atas sebab itu rakyat melihat platform pemimpin popular atau pemimpin yang masih relevan di mata mereka.

Isu utama politik Sabah adalah para pemimpin yang dianggap popular atau ada sokongan rakyat berada pada platform yang berbeza, sehinggakan pilihan raya yang sepatutnya memilih parti mana yang menerajui kerajaan, sebaliknya medan rebutan antara para pemimpin, sehinggakan terhasil kelompok-kelompok wakil rakyat berasaskan parti masing-masing, sehinggakan boleh menghasilkan keputusan tiada satu parti pun mendapat sokongan majoriti mudah, akhirnya kerjasama antara parti yang sebelumnya berlawan diperlukan untuk tujuan pembentukan kerajaan.

Tiada yang boleh menafikan bahawa para pemimpin yang berbeza platform ini masih mempunyai pengaruh di kawasan masing-masing.

Jika meneliti latar belakang politik Sabah, hanya dua parti yang pernah menang dalam pilihan raya negeri secara solo, itu Parti Berjaya dan Parti PBS, selebihnya semuanya menerusi kerjasama antara parti, termasuk era USNO, menerusi Perikatan (USNO-SCA), BN dengan berbagai parti, samada parti nasional atau parti tempatan.

Memandang mood rakyat Sabah memilih parti-parti yang disertai/dipimpin pemimpin relevan di mata mereka, maka untuk tujuan membentuk kerajaan, perlu adanya kerjasama antara parti-parti itu dalam pilihan raya.

Terpulang pada mana-mana parti bagai mana menghadapi PRN17, kerana dalam era politik terkini, kecenderungan rakyat adalah pada parti-parti yang terkumpul pemimpin popular, kerana pemimpin kategori ini telah teruji di mata rakyat.

Pendek kata, terpulang pada para pemimpin terkategori popular ini menjadikan parti yang mereka wakili boleh menarik sokongan rakyat secara umum untuk menang sebanyak mungkin kerusi dalam pilihan raya.

Mereka yang berjaya mengatur strategi jitu dan mengena pada aspirasi rakyat, maka parti itu lah yang bakal muncul sebagai pemenang. Fikir-Fikirkan.

No comments:

Post a Comment