Tuesday, September 19, 2023

MENEKAN SETERU BOLEH MENJADI SENJATA MAKAN TUAN

KERAJAAN Barisan Nasional (BN) telah mempraktikkan berdekad lamanya bagai mana menekan seteru politik.

Apabila mereka yang melawan cara demikian diberi peluang menjadi kerajaan, tindakan serupa berulang, walaupun belum seserius masa lalu.

Pada masa sekarang, seteru politik masih setakat dipanggil untuk rakaman percakapan untuk melengkapkan siasatan sebelum seseorang itu di tuduh ke mahkamah.

Berbeza dengan kaedah lalu, kerana dahulu, lokap atau penjara atau pusat tahanan lokasi pasti bagi mereka yang termasuk seteru politik, manakala era ini, pihak polis terpaksa bekerja lebih masa untuk menlengkapkan siasatan, demikian juga Jabatan Peguam Negara, dan tentunya mahkamah.

Kesan pada kaedah ini, positif bagi para peguam, kerana pendapatan mendadak meningkat, kerana bertambah “job”, sehingga terlihat peguam tidak cukup tangan, sehinggakan ada peguam, menjadi peguam pada individu yang saling berseteru dalam politik.

Penulis rasa pelik, sebuah kerajaan yang mempunyai sokongan yang begitu kuat, yang tiada pada mana-mana kerajaan bagi tempoh 2008-2022, akan tetapi hanya sibuk mengurus telatah pembangkang, yang hanya bersenjatakan hujah-hujah menerusi media sosial, sedangkan tidak mempunyai kesan pada kedudukan kerajaan.

Pembangkang hanya berhujah atas perbuatan pemimpin kerajaan, misalnya berbasikal dalam pejabat, menjawab panggilan semasa sidang akhbar, menunggang lembu, memberi komen berkaitan yang dituduh di mahkamah, selain membangkitkan janji-janji yang belum ditunaikan.

Ada lah satu kemestian bagi pembangkang untuk bersuara apabila kerajaan gagal membendung kenaikkan harga barang, ketiadaan beras, minyak paket di pasaran, kerana itu adalah sebahagian tugas pembangkang sebagai semak dan imbang.

Sebagai kerajaan kena alert berkaitan keperluan rakyat secara umum, apa kah berkaitan peluang-peluang pekerjaan, kos sara hidup, isu kesihatan, isu kemudahan asas seperti bekalan air bersih, bekalan elektrik, jalan perhubungan yang baik dan sebagainya.

Sepatutnya, kerajaan perlu sentiasa bertindak proaktif bagi sebarang isu yang dibangkitkan pembangkang, agar isu-isu atau masalah-masalah diselesaikan, kerana semua itu adalah untuk kepentingan rakyat yang menjadi pengadil semasa pilihan raya.

Tiada gunanya menekan para pemimpin pembangkang, apabila datangnya pilihan raya, calon-calon kerajaan ditolak rakyat.

Contoh paling ekstrim pada tahun 1984 di Sabah, apabila Daerah Tambunan didowngrade kerana diwakili pemimpin yang menjadi seteru kerajaan. Kesannya apabila tiba pilihan raya, kerajaan bukan sahaja tumbang, akan tetapi mengalami kekalahan teruk, termasuk Ketua Menteri kalah di kawasan yang diwakili.

Dalam situasi sekarang, jika kerajaan dilihat bertindak sangat pada pemimpin pembangkang yang membangkitkan isu-isu berkaitan rakyat dan negara, dikhuatiri, rakyat bertindak balas, seperti mana yang berlaku pada kerajaan-kerajaan lalu.

Kerajaan perlu bertindak dengan perbuatan, sambil memberi penjelasan, kerana tujuan kerajaan ada lah untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi rakyat.

Bagi pandangan penulis jika pun hujah pembangkang, di mata pemimpin kerajaan adalah fitnah, yang menilai ada lah rakyat, mana kah yang fitnah mana yang tidak. Rakyat pandai menilai, pandai berfikir, mana betul mana tidak.

Misalnya apabila kerajaan bercakap bahawa harga beras tempatan kekal pada harga RM2.60 sekilo, akan tetapi di kedai-kedai runcit, tiada harga sedemikian, maknanya, tiada lah beras tempatan dijual di pasaran, melainkan beras import.

Apabila menteri bercakap, yang tuan-tuan makan itu, bukan beras tempatan melainkan harga import, memang pun betul, kerana beras tempatan tidak dapat dibeli, kerana tiada dalam pasaran.

Jangan kerana ada pihak yang memberi komen berkaitan harga beras, maka dianggap fitnah, sedangkan ianya benar-benar fakta di lapangan.

Ertinya, bertindak melulu pada seteru politik tanpa dokongan fakta lapangan boleh menjadi senjata makan tuan.

Pada kerajaan semua lengkap daripada segi sokongan penjawam awam, agensi, logistik, kuasa, yang perlu hanya merealisasikan kehendak rakyat.

Memenuhi keperluan/aspirasi rakyat adalah jawapan pada rakyat agar sentiasa dipihak yang berhutang budi. Fikir-Fikirkan.

No comments:

Post a Comment