Tuesday, September 19, 2023

PEMIMPIN DAN PENYOKONG = AUR DAN TEBING

PEMIMPIN perlu penyokong, demikian juga sebaliknya.

Keterikatan antara pemimpin dan penyokong seperti aur dan tebing, ertinya saling memerlukan.

Hubungan antara pemimpin dan penyokong dalam arena demokrasi, tidak boleh dipisahkan, kerana menerusi penyokong lah pemimpin boleh muncul pemimpin unggul antara ramai pemimpin.

Demikian juga parti politik. Parti perlu mempunyai pemimpin dan penyokong yang saling memerlukan, agar parti itu boleh muncul sebagai parti yang dipilih antara parti-parti.

Di Sabah, antara parti-parti yang mahu dipilih menjadi parti pilihan rakyat adalah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

GRS adalah parti baharu yang hanya ditubuhkan selepas PRN16 Sabah tahun 2020. Walaupun relatif baharu, akan tetapi dianggotai Parti PBS, parti tertua Sabah, selain parti termuda PGRS (Gagasan Rakyat) yang dilancarkan pada Mac 2023.

Hakikatnya para pemimpin GRS, walaupun parti yang dipimpin relatif baharu, akan tetapi mereka itu terdiri daripada otai-otai politik, dan mengerti betul hubungan antara pemimpin dan penyokong.

Tanda-tanda seseorang pemimpin kekal relevan sebagai pemimpin dalam tempoh masa berdekad, kerana pemimpin itu mengerti hubungan antara pemimpin dan penyokong bagaikan aur dan tebing. Manakala “pemimpin” yang gagal menghayati hubungan itu, maka mereka hanya menjadi pemimpin semusim.

Di Sabah bukan sedikit pemimpin semusim, kerana gagal menyelami hubungan antara pemimpin dan penyokong waima mereka itu semasa diangkat sebagai pemimpin diberi berbagai kedudukan tinggi.

Memimpin parti politik, seseorang pemimpin perlu menyelami hati nurani penyokong (rakyat), kerana para penyokong lah yang menentukan kedudukan. Dalam pilihan raya, semua penyokong mempunyai hak sama rata, tidak kira status, yakni satu pengundi dengan satu undi.

Gagal menyelami hati nurani penyokong, sehebat manapun pemimpin itu, tidak akan ke mana-mana semasa berhadapan dengan rakyat.

Penulis melihat, ada antara mereka yang mungkin teruja mejadi “pemimpin” kerana diberi “peluang” menjadi pemimpin, sehingga terlepas pandang menyelami hubungan antara pemimpin dan penyokong, kerana terlihat hanya berminat pada lingkaran sendiri.

Tindakan seumpama ini bukan sahaja menjauhkan pemimpin itu dengan penyokong, juga menjadikan pemimpin itu ditolak semasa pilihan raya.

Pada PRU15 lalu, contoh mudah di Parlimen Penampang. Ewon Benedick daripada UPKO yang julung kali bertanding di kawasan parlimen itu, menewaskan penyandang dua penggal kawasan itu, hanya kerana penyandang itu terlepas pandang hubungan antara pemimpin dan penyokong apabila diangkat sebagai Menteri selepas PRU14.

Demikian juga kejadian pada PRU14 di DUN Petagas, apabila di akhir-akhir kepimpinan Mantan Timbalan Ketua Menteri Sabah tersebut tidak lagi mengambil berat hubungan antara pemimpin dan penyokong. Juga tidak kurang pentingnya, di Parlimen Kota Belud semasa PRU14, apabila pemimpin veteran kawasan itu kalah, kerana “terputus” hubungan dengan penyokong apabila diangkat menjadi menteri pusat. Apabila menyedari kesilapan itu, maka pemimpin itu kembali disokong semula pada PRN16 Sabah.

Akan tetapi mantan ahli parlimen Kota belud, selama dua Penggal apabila bertanding semula di kawasan itu pada PRU15, tidak lagi dapat mengulangi kejayaan, hanya kerana hubungan antara pemimpin dan penyokong “terputus” dipihak pemimpin itu.

Hubungan terputus antara pemimpin dan penyokong, lazimnya berpunca daripada pemimpin, kerana mungkin berbagai alasan, antara lain faktor kesibukan, terpaksa menyantuni rakyat secara umum kerana faktor kedudukan, dan mungkin juga atas faktor lain yang hanya pemimpin itu ketahui.

Pendek kata, apabila hubungan antara pemimpin dan penyokong terputus, sehebat mana atau setinggi mana status seseorang pemimpin, apabila memasuki pilihan raya, boleh dengan mudah kalah pada mereka yang tiada status atau tidak ternama atau relatif baharu.

Di Sabah ini, tidak sedikit pemimpin yang memelihara hubungan dengan penyokong, bagaikan aur dengan tebing, atas sebab itu setiap kali pilihan raya dan bertanding, bukan sahaja menang, akan tetapi kemenangan dengan majoriti besar.

Tidak keterlaluan, penulis ingin menyebut pemimpin Sabah yang kini memegang rekod sebagai wakil rakyat terlama Sabah yang masih sebagai wakil rakyat, iaitu ADUN Sulaman, kerana telah menjadi wakil rakyat selama 33 tahun, walaupun masih jauh dengan rekod Tan Sri Pairin Kitingan yang pernah menjadi wakil rakyat selama 42 tahun tanpa putus.

Apabila hubungan antara pemimpin dan penyokong menjadi keutamaan, maka berbaloi lah hubungan itu dalam pilihan raya. Hubungan erat antara pemimpin dan penyokong adalah bersifat menang-menang, akan sentiasa saling membantu, saling memerlukan, seperti aur dan tebing terutama dalam pesta demokrasi-pilihan raya.

Bagi pemimpin yang terlepas pandang, berkaitan hubungan antara pemimpin dan penyokong, belum terlambat, PRN17 masih berbaki 2 tahun. Bermuasabah diri daripada sekarang, bukan sahaja demi kebaikkan pemimpin itu, akan tetapi penyokong juga sentiasa lega kerana merasa diberi perhatian/dihargai/disantuni/dibela. Fikir-Fikirkan.

No comments:

Post a Comment