Thursday, September 21, 2023

SEBAB HARGA BERAS TEMPATAN SABAH BUKAN RM2.60/KG

APABILA kerajaan Persekutuan mengatakan bahawa harga beras tempatan kekal pada RM2.60/kg, ianya untuk Semenanjung sahaja, bukan untuk Sabah.

Harga beras tempatan Sabah tidak dikawal, ianya bergantung pada mekanismenya sendiri, atau dengan kata lain harga ditentukan oleh panawaran/permintaannya sendiri.

Beras tempatan Sabah tidak dikawal memandangkan produksi yang hanya 23% daripada keperluan 3 juta rakyat negeri, ertinya tahap sara diri yang rendah.


Rakyat Sabah sangat bergantung pada beras import. Sebagai contoh pada tahun 2021 beras import untuk memenuhi keperluan rakyat sebanyak 290,000 tan. Sumbangan beras tempatan hanya 22,000 tan pada tahun yang sama.

Memandangkan sejak 1 September, harga beras import naik 36%, yang menyebabkan harga mahal sedikit berbanding beras tempatan, maka pengguna beralih pada beras tempatan. Memandangkan bekalan yang memangpun sedikit, maka, pengguna kesukaran mendapatkan jenis beras itu di pasaran.

Pada hakikatnya, sejak sekian lama, rakyat Sabah tidak menikmati harga beras RM2.60/kg, melainkan lebih tinggi. Keadaan ini, menyebabkan kos sara hidup bagi rakyat Sabah lebih tinggi berbanding Semenanjung. Maknanya, rakyat Sabah terkesan dua kali ganda, sudah lah harga beras lebih tinggi, pendapatan boleh guna pula rendah.

Apa yang boleh dilakukan, kerajaan Persekutuan perlu memberi subsidi pada pengguna di Sabah berasaskan perbezaan harga. Jika harga beras tempatan di Sabah berharga RM3.80/kg, maka kerajaan Persekutuan perlu membayar setiap pengguna di Sabah sebanyak RM1.20/kg. Tujuannya, agar keadilan pada semua rakyat negera ini.

Mungkin di masa hadapan kaedah ini dapat dilakukan apabila subsidi bersasar dilaksanakan kerajaan, selepas siapnya Pangalan Data Utama (PADU) yang sedang dibangunkan oleh Kementerian Ekonomi Persekutuan.

Menerusi PADU mungkin menggunakan KAD PENGENALAN untuk membeli barangan keperluan dengan mudah diketahui, lokaliti/siapa/kategori/golongan pembeli, maka secara automatik, jika pembeli termasuk dalam golongan sasar, maka akan mendapat diskaun secara automatik. Misalnya jika harga beras secara umum dikawal pada harga RM2.60/kg, kerana di Sabah lebih mahal, maka pengguna hanya akan membayar RM2.60/kg walaupun harga jual RM3.80/kg, perbezaan akan ditutut oleh peruncit/pasar raya pada kerajaan.

Menerusi kaedah subsidi bersasar ini, diskriminasi harga untuk rakyat Sabah jika tidak pun terhapus sepenuhnya, akan tetapi dapat dikurangkan.

Sepatutnya keadah subsidi bersasar ini telah dilaksanakan, memandangkan berdekad lamanya, rakyat Sabah menjadi mangsa diskriminasi harga termasuk barang kawalan.

Ada lah difahami, berkaitan rungutan rakyat Sabah mengenai harga barangan di Sabah jauh lebih mahal berbanding dengan harga yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan secara umum, sedangkan rakyat Sabah mendepani harga yang berbeza.

Mungkin dalam masa-masa mendatang, apabila Kerajaan Persekutuan mengumumkan mengenai harga sesuatu barang, perlu menyatakan lokaliti, misalnya harga untuk Semenanjung sahaja, tidak termasuk harga di Sabah dan Sarawak, kerana rakyat menjadi keliru, memandangkan, arus maklumat, sampai dengan cepat, malah secara online.

Penjelasan begitu perlu dilakukan, agar pengguna yang nakal, mensasar pemimpin negeri termasuk Ketua Menteri Sabah, apabila mengedit bungkusan beras, dengan menampal gambar Ketua Menteri, dengan info yang menyakitkan mata untuk dibaca.

Seperkara lagi, Kerajaan Sabah juga perlu dari waktu ke waktu memberi penjelasan pada rakyat, termasuk harga beras tempatan, bahawa kerajaan tidak mengawal harga beras itu, sebaliknya, bergantung pada pasaran komoditi itu. Tujuannya, supaya rakyat tidak terus keliru, dan menyangka, bahawa harga beras keluaran tempatan dikawal harga.

Dalam situasi sekarang, jikapun harga beras tempatan Sabah lebih rendah berbanding harga beras import, pengguna terpaksa juga membeli beras import, memandangkan bekalan beras tempatan sangat terhad.

Jika kerajaan mengambilkira kos sara hidup, apa yang boleh dilakukan, ada lah menerusi subsidi pada pengguna secara langsung berasaskan resit pembayaran, bukannya memberi subsidi pada harga beras yang dijual untuk mengelak ketirisan, memandangkan beras juga adalah komiditi yang diseludup atau dijual di negara jiran.

Kepada pengguna Sabah, jangan lah menyalahkan pemimpin negeri kerana kenaikkan harga beras, kerana ianya bukan di bawah kawalan kerajaan negeri, melainkan oleh kerajaan Persekutuan menerusi BERNAS.

No comments:

Blog Archive