Saturday, September 23, 2023

REFORMASI BERJAYA JIKA TUN MAHATHIR DIHERET KE MAHKAMAH

MENURUT Lokman Adam seorang MKT Umno, reformasi asas perjuangan PKR, hanya berjaya jika dapat mengheret Tun Dr Mahathir ke mahkamah. Ertinya jika gagal, reformasi itu mati dengan sendirinya.

Jika benar lah pengertian reformasi seperti mana pandangan Lokman, maka reformasi itu rupanya hanya mahu mengheret Tun Mahathir ke mahkamah.

Pendek kata reformasi itu tiada kaitan dengan sistem pemerintahan dan rakyat.

Mana-mana perjuangan berasaskan dendam, boleh berjaya, boleh tindak. Kerana manusia boleh merancang, akan tetapi perancangan Allah SWT itu adalah terbaik.

Dendam kesumat, tidak akan kemana-mana, ibarat kabut di waktu pagi, terbit matahari hilang lah ia.

Demikian juga mengheret rakyat untuk melaksanakan dendam, tidak akan kesampaian, seperti mana dilakukan PKR, yang mencuba berbagai kombinasi dengan parti lain tidak juga berjaya, sampai lah pemimpin yang menjadi sasaran untuk diheret ke mahkamah memberi talian hayat pada PRU14.

Selepas berpisah dengan pemimpin yang menjadi sasaran untuk diheret ke mahkamah, menerusi PRU15, tidak juga berjaya.

Kini, ada kemungkinan reformasi berjaya, dengan bantuan Umno menerusi pengaruh Lokman Adam, untuk mengheret Tun Dr Mahathir ke mahkamah.

Penulis pelik, bagai mana pemimpin Umno boleh mewakili “perjuangan” PKR berkaitan reformasi? (memang Lokman mantan ahli PKR), tetapi sudah terputus asas perjuangan parti itu apabila menyertai Umno.

Jika benar lah, perjuangan reformasi itu, hanya mencapai puncaknya, apabila Tun Dr Mahathir berjaya diheret ke mahkamah (munurut Lokman Adam), ertinya rakyat negara ini tertipu bulat-bulat berkaitan agenda reformasi.

Rakyat negara ini secara umumnya, tidak tertarik dengan politik dendam, melainkan, pengwujudan kerajaan untuk semua, Perdana Menteri untuk semua, barisan kabinet untuk semua.

Tindakan menyekat peruntukan ahli parlimen daripada pembangkang, ertinya unsur dendam masih digunapakai. Penulis yakin mereka yang menyokong reformasi, tindakan seperti ini bukan dalam kamus reformasi.

Ketakutan pada ahli parlimen atau wakil rakyat pembangkang mendapat sokongan, sehingga mengurangkan peluang bagi calon kerajaan merampas kawasan yang disandang itu, menunjukkan menebalnya politik dendam. Juga bukan agenda reformasi.

Rakyat itu adalah manusia yang pandai berfikir, tahu menilai mana buruk mana baik, mana adil mana tidak. Rakyat tidak boleh dipaksa, dengan menghukum wakil rakyat yang mereka pilih. Menghukum wakil yang rakyat pilih, sama ertinya menghukum yang memilih. Atau dengan kata lain tidak menghormati pilihan rakyat.

Barisan Nasional (BN) telah lakukan berdekad lamanya menyekat peruntukan pada wakil-wakil rakyat pembangkang, malah kerajaan negeri yang diperintah parti pembangkang, akan tetapi, hilang kuasa juga pada parti parti pembangkang, dan kebetulan parti pembangkang itu adalah kerajaan pada hari ini.

Menyekat peruntukan pada wakil rakyat pembangkang, membawa erti, kawasan yang diwakili tidak semaju atau tidak menikamti kerancakan kemajuan berbanding kawasan yang diwakili wakil rakyat kerajaan, ertinya jika kawasan itu berpotensi untuk dimajukan akan tersekat potensinya, kerana mungkin berhadapan dengan kemudahan-kemudahan yang mendokong pertumbuhan, seperti jalan raya, bekalan air bersih, bekalan elektrik, seperti mana yang berlaku pada era lampau.

Rakyat yang berada di bandar, dikurniakan nikmat luar biasa, semasa era Barisan nasional, walaupun peruntukan pada wakil rakyat pembangkang tidak diberikan, akan tetapi kerajaan tiada pilihan melainkan perlu memajukan kawasan-kawasan sedemikian, kerana ianya punca aktiviti ekonomi, nadi pengerak ekonomi.

Berbeza dengan kawasan luar bandar atau pedalaman, apabila diwakili wakil rakyat pembangkang, maka untuk masa tertentu (biasanya sepenggal) akan menderita lah rakyat yang mendiami kawasan tersebut, kerana dinafikan daripada arus kemajuan.

Penulis pernah merasakan tindakan sedemikian pada tahun 80-an, apabila bekalan letrik hanya dipasang pada rumah-rumah penyokong kerajaan, manakala yang bukan dibiarkan bergelap, walaupun terdapatnya isi rumah yang bergelap itu, anak-anak yang berpotensi maju dalam soal pelajaran.

Demikian juga berlaku, naik taraf jalan sepotong-sepotong, di kawasan ramai penyokong kerajaan diaspal, manakala yang tidak dibiarkan berhabuk/gravel, berlubang sana sini, malah apabila berlaku hujan tidak dapat dilalui kerana licin dan berlumpur, sehingga kereta yang bersih berkilat yang bertolak daripada jalan yang beraspal, bertukar mandi lumpur apabila melalui, jalan yang tidak dinaik taraf.

Sewajarnya negara menuju negara maju, juga setiap negeri menuju negeri maju, tidak timbul lagi diskriminasi agihan peruntukan, apa kah sesuatu kawasan itu diwakili pembangkang atau pun sebaliknya. Agihan peruntukan perlu diberikan, kerana setiap wakil rakyat adalah pilihan rakyat.

Dalam keadaan sekarang, tidak lagi, menjadi satu jaminan, apabila berlaku diskriminasi agihan peruntukan atau kemajuan, maka kawasan yang mendapat banyak peruntukan, maka pengundi kekal menyokong. Kerana terbukti pada PRN atau PRU, calon-calon yang mewakili kerajaan pun yang mempunyai kedudukan boleh ditolak oleh rakyat, manakala kawasan-kawasan yang dinafikan,tidak juga menyokong, kerana tarikan, jika menyokong calon kerajaan maka peruntukan/kemajuan akan mengalir.

Demikian juga pengertian Lokman Adam, apabila Tun Dr Mahathir berjaya diheret ke mahkamah maka reformasi berjaya, lalu rakyat berbodong-bondong menyokong kerajaan yang berjaya mengheret mantan Perdana Menteri ke mahkamah.

Dalam situasi cabaran yang berbagai pada era ini, apa yang patut dilakukan, bahawa kerajaan/pemimpin kerajaan menjadi pemandu pada semua rakyat tanpa mengira fahaman/latar belakang politik, agar pertumbuhan ekonomi perlu seimbang dengan pertumbuhan pendapatan rakyat, terutama pendapatan boleh guna (disposible income), jika tidak, nilai dagangan, kutipan hasil, rezab kewangan, hanya menjadi hiasan bagi rakyat, kerana tidak dapat merasainya.

Rakyat hanya dapat merasai khazanah kekayaan negeri/negara, apabila sebahagian kekayaan itu boleh sampai ke saku/poket rakyat, tentunya menerusi pengwujudan peluang-peluang yang membabitkan rakyat. Fikir-Fikirkan.

2 comments:

Hal said...

Pandangan peribadi.. Terbaik peminpin grs myokong kerajaan perpaduan pmx

Hal said...

Insyaallah. Pmx akan buat byk perubahan demi kebaikan rakyat malaysia.

Blog Archive