Tuesday, September 05, 2023

BAZIR MASA MAHKAMAH, WANG RAKYAT-HAKIM

“Jika terdapat pendakwaan kes di masa depan,namun tidak berhasrat untuk meneruskan kes, ia akan membazirkan masa mahkamah dan wang rakyat” kata hakim yang mendengar kes rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin, 4 September 2023.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) berkata demikian sejurus melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri itu daripada 47 kes berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Menurutnya, banyak masa mahkamah terbuang dan sejumlah besar wang pembayar cukai akan dibazirkan sekiranya pihak pendakwaan memutuskan tidak akan meneruskan pertuduhan.

Bagaimanapun, Hakim berkata, Peguam Negara mempunyai kuasa untuk memulakan dan menarik pertuduhan pada bila-bila masa mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan, dan dalam Seksyen 254 Kanun Tatacara jenayah.

Pada pandangan Hakim, berkaitan permohonan pendakwa Raya untuk tidak meneruskan prosiding untuk sementara waktu, pihak pendakwaan telah memberikan alasan kukuh berhubung permohonan, justeru mahkamah melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada semua pertuduhan.

Kes Zahid yang telah memasuki 77 hari perbicaraan, telah mendengar 99 saksi pendakwaan dan 15 saksi pembelaan, akhirnya pihak pendakwaan mendapati bahawa pertuduhan terhadap Presiden Umno itu terburu-buru, cuai, pra-matang dan tidak lengkap sebagai asas untuk tidak meneruskan prosiding.

Pada 19 Okotber 2019 Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah telah memerintahkan Zahid membela diri atas tuduhan 47 rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA).

Kini terserah pada anggapan rakyat sejauh mana mereka menerima tindakan Peguam Negara yang pada awalnya timbalan pendakwa raya bersungguh-sungguh sangat menjustifikasikan pertuduhan, sehinggakan hakim berasaskan pertimbangan maksium berkiatan hujah-hujah pendakwaan, memerintahkan tertuduh membela diri.

Berpandukan pada permohonan timbalan pendakwa raya pihaknya perlu menghentikan prosiding kerana mendapati pertuduhan terburu-buru, cuai, pra-matang dan tidak lengkap, atas sebab itu memohon pada mahkamah untuk membebaskan tidak dilepaskan (DNAA) terduduh daripada semua pertuduhan.

Jika ada permohonan daripada Peguam Negara sesuai dengan Perkara 145 (3) Perlembangaan Persekutuan, jelas, mahkamah tiada pilihan perlu akur. Ertinya dalam Kes DNAA Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bukanlah keputusan bersandarkan dapatan mahkamah akan tetapi memenuhi kehendak Perlembagaan.

Benarlah kata Hakim Collin, mana-mana kes menurut Peguam Negara jika mempunyai kemungkinan ditarik jangan di bawa ke mahkamah, kerana ianya bukan sahaja menghabiskan masa mahkamah juga wang pembayar cukai.

Jika ada rakyat sangsi berkaitan tindakan Peguam Negara tidak boleh dihalang, kerana duluan sebelum ini, apabila Peguam Negara menafikan pengelibatan Datuk Seri Najib Razak berkaitan RM42 juta dana SRC International, akan tetapi akhirnya, 9 hakim mendapati mantan Perdana Menteri itu bersalah.

Peguam Negera jangan sama sekali “terpengaruh” elemen/faktor luar jangka "jika ada"  sehinggakan “terpaksa” mencari “alasan” memulakan/menarik pertuduhan untuk mencerminkan Rule of Law.

Duluan sebelum ini tidak sedikit kes membabitkan kes berprofile tinggi, tetapi akhirnya yang dituduh dibebaskan dan dilepaskan, kerana hujah pembelaan tidak dapat dipatahkan oleh pihak pendakwaan.

Mungkin juga dalam kes Datuk Seri Ahmad Zahid, pihak pendakwaan/Peguam Negara mendapati kes ini akan berakhir dengan tertuduh dibebaskan dan dilepaskan (DAA), atas sebab itu memutuskan DNAA ditengah perbicaraan, walaupun tertuduh boleh didakwa semula menggunakan kes yang sama.

Dalam kes Zahid, Timbalan Perdana itu berpandangan DNAA tidak memadai, dan akan memohon DAA. Jika DAA dibenarkan Mahkamah yang lebih tinggi, maka tertuduh tidak lagi boleh dituduh dengan kes yang sama di masa hadapan.

Selepas kes Zahid masih banyak lagi membabitkan berprofile tinggi, ada yang sedang dibicarakan, masih dalam sebutan kes dan ada yang masih disiasat.

Setakat ini, hanya Datuk Seri Najib Razak dijatuhi hukuman menerusi kes RM42 juta dana SRC International, sementara kes 1MDB sedang dibicarakan.

Penulis sependapat dengan Hakim Collin, pihak pendakwaan perlu mengkaji dengan mendalam sebelum pertuduhan dibuat, apa tah lagi TINDAKAN GEMPAK, yang menjadi pilihan pihak yang mempunyai kuasa memulakan pertuduhan, untuk membunuh awal karakter pihak yang akan dituduh.

Dalam kes Zahid, terlalu banyak keroskan yang ditimbulkan, bukan sahaja pada tertuduh secara peribadi akan tetapi organisasi yang dinaungi, iaitu Parti Umno.

Parti Umno mendapat kesan luar biasa pada PRU14, kerana isu 1MDB, SRC International, manakala pada PRU15, kerana mengheret Zahid ke mahkamah dengan 47 pertuduhan.

Selepas PRU14, apabila Umno kehilangan kuasa beberapa pemimpin utama parti itu diheret ke mahkamah, akan tetapi satu persatu dibebaskan dan dilepaskan oleh mahkamah, bukan atas permohonan Peguam Negara, kecuali dalam kes Zahid.

Melihat apa yang berlaku, tidak salah jika ada rakyat menganggap ada sesuatu yang tidak kena dalam memulakan pendakwaan atau siasatan, kerana rate yang dituduh dibebaskan dan dilepaskan cukup tinggi.

Pendek kata, jangan bertindak memalitkan imej buruk pada sesiapa pun kerana mereka itu lawan atau tidak sealiran atau kerana hanya menunjukkan “kuasa” untuk mencerminkan RULE OF LAW.

Dalam kes Zahid jika mahkamah yang membuat keputusan menerusi perbicaraan penuh atau mahkamah membuat keputusan kerana pihak pendakwaan gagal mematahkan hujah pembelaan, berbeza anggapan/penerimaan rakyat.

Penulis terbaca, bahawa Parti MUDA akan turun ke jalan jika TIADA penjelasan Peguam Negara berkaitan permohonan DNAA Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sebelum ini Setiausaha Agung parti DAP, Anthony Loke juga meminta Peguam Negara memberi penjelasan secara terbuka, berkaitan tindakan tidak meneruskan prosiding terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid.

Juga komen mantan Pengerusi SPRM Latheefa Koya yang juga seorang peguam, meminta pemimpin kerajaan jangan memesongkan fikiran rakyat dengan mendakwa keputusan DNAA Ahmad Zahid adalah keputusan mahkamah, dan perlu berterus terang bahawa keputusan DNAA adalah atas permohonan Peguam Negara.

No comments:

Blog Archive