Sunday, August 27, 2023

FAKTOR KEKUATAN PARTI POLITIK PASCA PRU14

KEKUATAN parti politik selain dilihat pada struktur kepimpinan, juga dilihat daripada segi keahlian. Walaupun tidak semestinya parti yang ramai ahli mesti mendapat sokongan pada pilihan raya.

Akan tetapi ahli adalah pemudah cara atau jentera parti, maka semakin ramai ahli maka jentera juga nampak kuat.

Kekuatan parti politik di negara terbahagi dua- jumlah ahli dan aktivis parti.

Sebelum PRU14, mana-mana parti ramai ahli muncul sebagai pemenang, namun kini telah bertukar kombinasi antara ahli dan aktivis parti.

Pasca PRU14, keampuhan ahli dan aktivitis parti terserlah menerusi Parti DAP dan Parti PAS. Kerana keampuhan aktivis dua parti itu, maka dapat dilihat samada menerusi PRU15 dan PRN2023, kedua-kedua menonjol berbanding parti yang ramai ahli.

Aktivis parti adalah mereka yang memperjuangkan parti tidak mengira masa dan tempat, mempergunakan berbagai saluran samada menerusi media atau di lapangan. Selain itu, mereka ini bertindak sukarela, kerana percaya dan yakin dengan perjuangan dan misi parti.

Aktivis parti selain ahli (ada juga yang bukan ahli) adalah mereka yang aktif, berbanding ahli yang pasif (hanya aktif jika adalah pilihan raya atau acara atau pemilihan parti).

Aktivis parti adalah penarik bagi mereka di atas pagar yang kini menjadi penentu ekoran undi18.

Menerima atau tidak, jumlah keahlian sahaja (pasif) tidak membantu sesebuah parti menang dalam pilihan raya, seperti mana dialami Umno, parti terbesar dalam negara daripada segi jumlah ahli.

Mana-mana parti pada era ini, jika ingin kuat, selain mempunyai ahli yang ramai, juga perlu disertai ramai aktivis parti.

Penulis yakin barisan kepimpinan Parti Gagasan Rakyat Sabah ( Gagasan Rakyat) menyedari, bahawa kekuatan parti selain memperkemas bahagian-bahagian, menubuhkan banyak cawangan-cawangan, memperbanyak ahli, juga mengambil tahu peranan/fungsi aktivis parti.

Barisan kepimpinan perlu peka dan mengenal pasti aktivis parti, di kawasan masing-masing juga di media sosial, seperti tik tok, FB, atau blog-blog atau platform media atas talian. Golongan ini, perlu sesekali dijemput dalam acara-acara santai/round table atau acara-acara yang boleh menambah semangat.

Gagasan Rakyat yang merupakan komponen Parti Gabungan Rakyat (GRS) perlu melihat bahawa pada PRN17 akan datang, tidak kurang daripada 1.9juta pengundi akan terlibat. Jika berpandukan pada PRU15, peratusan undi masing-masing parti yang terlibat, Pakatan Harapan (PH) diurutan pertama dengan jumlah pengundi seramai 28%, tempat ke-2, Parti Warisan dengan 24%, diikuiti Barisan Nasional (BN) 20% dan GRS-18%.

Melihat data PRU15 tersebut, maka tepat masanya apabila Presiden Gagasan Rakyat Datuk Seri Hajiji Haji Noor mengesa semua pemimpin bahagian parti selain memperkemas bahagian masing-masing, juga perlu menubuhkan sebanyak mungkin cawangan, kerana ianya mencerminkan semakin ramainya keahlian parti.

Data pola pengundian PRU15, menunjukkan jumlah ahli dan aktivis parti boleh menyumbang kepada peratusan undi yang diperoleh parti, seperti mana dibuktikan PH dan Warisan. Manakala parti yang bersandar pada jumlah keahlian adalah BN dan GRS.

Oleh kerana senario poitik telah berubah, maka Gagasan Rakyat/GRS perlu mengikuti perkembangan ini.

No comments:

Blog Archive