Monday, July 31, 2023

PRN 6 NEGERI: REFENDUM & KESAN PENJAJARAN POLITIK BAHARU

KEPUTUSAN pilihan raya enam negeri jika berbeza dengan status quo, dan keputusan itu berpihak pada calon-calon PH/Umno, adalah petanda sokongan pada kerajaan Persekutuan dan penjajaran politik baharu, akan tetapi jika status quo kekal, ertinya siapapun memimpin kerajaan Persekutuan dan penjajaran baharu politik, rakyat kekal dengan pendirian masing-masing.

Menerusi PRN 6 negeri ini, belum ada penanda aras yang boleh digunapakai untuk mengukur kekuatan PH/Umno, kerana julung kali bekerjasama dalam pilihan raya.

Yang menjadi tumpuan pada PRN 6 negeri ini, adalah kawasan-kawasan melayu, atas sebab sejauh mana penerimaan orang melayu atas kerjasama antara Umno dan DAP.

Ujian terbesar bagi Umno adalah di Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

Di Negeri Sembilan Umno bertanding 17/36; di Selangor 12/56 dan di Pulau Pinang 6/40 adalah ayam tambatan bagi PH/Umno di kawasan-kawasan melayu.

Sementara di Kedah, Kelantan dan Terengganu, Umno dan PH saling memerlukan sehinggakan setiap undi orang melayu yang menyokong gabungan itu diambilkira setidak-tidaknya mengekalkan trend pengundian pada PRU15.

Di luaran, ada yang mengandaikan, kerjasama antara Umno dan DAP boleh mengurangkan undi orang melayu pada Umno, ertinya Umno tidak dapat mengekalkan sokongan. Pun demikian, kerana sokongan pengundi PH, maka dapat meneutralkan trend tersebut. Dalam keadaan demikian, maka di 3 negeri yang diterajui PH, calon-calon Umno boleh menang.

Di 3 negeri, PH/Umno dijamin oleh calon-calon DAP di Negeri Sembilan 10/36; di Selangor 15/56 dan di Pulau Pinang 19/40. Umno/PKR/Amanah hanya perlu menang masing-masing 9 kerusi, 14 kerusi dan 2 kerusi untuk mendapatkan majoriti mudah.

Oleh kerana status quo di kawasan bukan melayu kekal dengan DAP, maka pada hakikatnya PRN kali ini adalah ujian bagi PH/Umno di 3 negeri yang diterajui PN. Pada 3 negeri itu, sejauh mana pesona Umno boleh menarik undi orang melayu, walaupun di Kedah Umno bertanding 15/36, akan tetapi kerusi-kerusi Umno adalah kerusi signifikan untuk mendapatkan majoriti mudah.

Setiap penjajaran politik baharu, seperti juga maksud peribahasa sekali air bah sekali pantai berubah. Oleh kerana keadaan yang sama sekali baharu, maka keputusan PRN 6 negeri, akan mencerminkan senario politik negara.

Memang tidak boleh disangkal, keinginan para pemimpin atau parti-parti yang menyokong Kerajaan Perpaduan, mahukan rakyat di enam negeri menyokong calon parti-parti yang menyokong kerajaan Perpaduan, akan tetapi kena terima hakikat, kecenderungan rakyat sama sekali berbeza pasca PRU14, termasuk kesan Undi18 dan pengundi automatik/kali pertama mengundi yang belum diketahui penanda aras ke parti mana mereka letakkan pilihan mereka.

No comments:

Blog Archive