Wednesday, July 05, 2023

KESAN GERAKAN PROKLAMASI ORANG MELAYU

SEJAUH mana kesan Gerakan Proklamasi Orang Melayu mempengaruhi kaum itu terutama berkaitan politik? Kerana jika ianya tidak diterjemahkan menerusi politik, ianya hanya hiasan atas kertas atau atas bibir.

Gerakan berunsur kaum, sangat bergantung penerimaan kaum yang dijadikan asas, seperti juga parti. Kita dapati, di negara ini, baik di peringkat nasional mahupun wilayah, ada parti berasaskan kaum tertentu, akan tetapi kaum yang dijadikan asas, tidak juga menyokong parti yang mengatas namakan kaum itu semasa pilihan raya.

Tun Dr Mahathir dalam usaha-usaha beliau di penghujung usia, menggerakan Gerakan Prokalamsi Orang Melayu (GPOM) yang bersifat non-partisan, dan setakat ini, pemimpin melayu yang mengadakan perbincangan dan ada yang menyokong, datangnya daripada pemimpin melayu pembangkang kepada Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terbaharu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden Bersatu- Tan Sri Muhiyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir berkaitan GPOM.

Kadangkala gerakan berkaitan kaum boleh berkesan dalam masa-masa tertentu, misalnya semasa awal piagam Muafakat Nasional (MN) antara Parti Pas dan Parti Umno. Kesannya, calon-calon Umno menang pada beberapa PRK pasca PRU-14, malah sebelum MN benar-benar dinoktahkan, Umno mendapat manfaat, apabila menang besar pada PRN Melaka dan Johor.

Demikian juga kesan Kongres Kaum Melayu pada Oktober 2019, telah memberi kesan apabila berlaku Langkah Sheraton yang membabitkan pemimpin melayu sehingga kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

Kesan pada dua gerakan itu, berlanjutan pada PRU15, apabila kaum melayu majoriti berpihak pada PN/Pas, tetapi tidak cukup kuat, kerana masih ada sebahagian kaum itu simpang siur berkaitan status/kedudukan mereka, sehingga timbulnya perpecahan. Perpecahan akan menjadikan kaum terbesar menjadi lemah.

Melihat GPOM yang dilihat hanya disokong pemimpin kaum melayu yang membangkang kerajaan, tidak akan ke mana-mana, malah menambah lagi, perpecahan kaum itu.

Jika matlamat GPOM untuk mendapatkan kuasa politik, dalam senario sekarang sukar dicapai, atas sebab, sistem demokrasi negara masih menggunapakai, First Past The Post (FPTP) selain persempadanan pilihan raya yang juga terdapat pengundi kaum lain yang signifikan jumlahnya.

Selain itu, kuasa politik bukan hanya ditentukan di Semenanjung, akan tetapi juga oleh Sabah dan Sarawak. GPOM sudah tentu tidak mendapat sambutan daripada Sabah dan Sarawak,kerana latar belakang kaum yang berbeza.

Kesannya, GPOM mungkin akan berlabuh bersama dengan Pengerak Utamanya, pada suatu masa yang tidak pasti.

No comments:

Blog Archive