Tuesday, June 20, 2023

LITTLE NAPOLEON DALAM KERAJAAN NEGERI

RUPANYA bukan sahaja rakyat biasa berhadapan dengan “little Napoleon” dalam kalangan penjawat Awam, akan tetapi juga Ketua Menteri dan Timbalan Ketua Menteri.

Dua kenyataan daripada pemimpin nombor satu dan dua negeri berkaitan terdapatnya “little Napoleon” di kalangan penjawat awam, adalah satu pengakuan berat, jika tidak dapat dirungkai oleh pentadbiran awam negeri yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN).

Penulis mempunyai pengalaman berurusan dengan ketua-ketua jabatan/kementerian dan pegawai daerah di peringkat daerah.

Perkara pertama yang penulis lalui, adalah kesukaran temu janji, perkara kedua selepas mendapat temu janji adalah tindakan penidakkan, ertinya sesuatu permohonan dicuba sedaya upaya untuk ditidakkan.

Menurut pengalaman penulis, walaupun tidak semua, rata-rata yang mereka yang “mempunyai kuasa” menghindar daripada membuat keputusan proaktif atau tindakan ke hadapan, sebaliknya, berkencederungan mempersulit urusan.

Kenyataan terbuka Ketua Menteri dan Timbalan Ketua Menteri I, berkaitan perbuatan memperlambat urusan yang dipilih sesetengah penjawat awam yang berautoriti, menggambarkan betapa seriusnya perbuatan ini.

Penulis tidak tahu dengan tepat, mengapa perbuatan seumpama ini dipilih sesetengah penjawat awam yang berautoriti? Apa kah matlamat dan tujuan mereka? Sepatutnya mereka ini menjadi agen dan membantu kerajaan memperlancar semua urusan, supaya kemajuan dan pembangunan cepat dirasakan oleh rakyat.

Contoh mudah, di peringkat daerah misalnya. Apabila ada rakyat memohon projek-projek kecil melalui pejabat daerah, ada pegawai daerah mempersulit urusan, termasuk tidak mengarahkan juruteknik daerah untuk menyediakan butiran projek (BQ), dan kalaupun BQ disediakan sukar mendapat surat iringan kepada kementerian yang berkaitan. Kalau pun ada surat iringan, pemohon projek berkenaan, dinafikan akses pada permohonan sendiri, kalaupun pemohon mendesak, hanya diberikan rujukan. Tindakan seperti ini, berkesudahan, permohonan tidak dapat diperoses di kementerian/jabatan akhir, kerana dokumen yang diperlukan tidak lengkap, atau permohonan lambat, atau yang malang sekali, permohonan tercicir ditengah jalan (kemungkinan tidak dihantar).

Perbuatan “little Napoleon” ini semakin serius akhir-akhir ini, kerana sehingga tahun 2018, perbuatan seumpama ini tidaklah parah sangat. Apa kah tindakan mereka ini ada unsur sabotaj, kerana tidak berpuas hati tentang sesuatu?

Penulis kadangkala diberitahu secara lisan, bahawa mereka yang berautoriti ini, mendapat “arahan” daripada pihak-pihak tertentu, jika di daerah, maka oleh wakil-wakil rakyat daripada daerah berkenaan, jika di kementerian daripada menteri yang berkenaan. Kini, makluman yang diperolehi penulis itu, ternyata tidak benar, apabila Ketua Menteri dan Timbalannya mengakui adanya “Little Napoleon”.

Berkaitan kewujudan “Little Napoleon” apa kah digerakkan oleh kartel yang membawa misi mensabotaj KPI kerajaan Negeri? Supaya rakyat menolak pada pilihan raya? Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) dan Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri kena bertindak dengan pantas untuk merungkai isu ini, jika memang berlaku.

No comments:

Post a Comment