Monday, May 01, 2023

TIDAK PERLU KECOH PENGAMPUNAN NAJIB

PENGAMPUNAN ada lah kuasa mutlak Yang DiPertuan Agong. Jika seseorang banduan menepati untuk diampunkan, maka diampunkan.

Jikalaupun berbagai pihak memberi pendapat terutama pemimpin parti politik, pendapat mereka, hanya tinggal pendapat, tiada yang boleh menghalang YDP Agong memberi pengampunan, jika individu yang diampunkan mempunyai merit untuk diampunkan.

Apa kah Najib diampunkan ataupun tidak, hanya bergantung masa, samada segera atau di masa akan datang.

Pengampunan bagi Najib, sudah tentu mempertimbangkan antara kesalahan yang dilakukannya dan jasa yang disumbangkan. Jika Agong berpendapat bahawa jasa lebih besar berbanding kesalahan, maka wajar memberi pengampunan.

Mengaitkan pengampunan Najib dengan politik, hanya ditentukan oleh rakyat semasa pilihanraya. Jika rakyat bersetuju dengan pengampunan itu, maka parti yang memperjuangkan pengampunan itu akan disokong rakyat. Jika sebaliknya, maka parti itu akan ditolak.

Apa yang menjadi kebimbangan parti-parti yang terpaksa akur dengan pengampunan itu apabila menjangkakan mendapat kesan negatif termasuk ditolak rakyat semasa pilihanraya. Namun, semua itu hanya anggapan.

Memang benar, kerana isu salahguna kuasa Najib telah menyebabkan Barisan Nasional (BN) hilang kuasa pada PRU-14, akan tetapi pada PRU-15, Najib sudah didapati bersalah dan masuk penjara, dan sepatutnya korelasi antara mantan Perdana Menteri ke-6 itu dengan Umno/BN terhenti. Pun demikian hasilnya Umno/BN mendapat keputusan terburuk daripada semua pilihanraya di negara ini.

Anggapan parti-parti lain yang terpaksa bersama Umno ketika ini, ekoran pembentukan kerajaan perpaduan akan mendapat kesan negatif kerana tindakan Umno memohon pengampunan terhadap Najib pada hakikatnya hanya anggapan, belum terbukti signifikan mengenainya.

Mungkin pemimpin parti lain itu terlepas pandang, penolakan pada Umno semata-mata kerana jenayah rasuah atau salah guna kuasa kurang tepat, kerana ada juga parti di mana pemimpin parti itu terkait dengan rasuah dan salah guna kuasa akan tetapi menang banyak kerusi pada PRU-15?

Hakikatnya, yang cuba diremehkan oleh sesetengah pemimpin politik adalah faktor kebosanan. Faktor kebosanan pada sesebuah parti walaupun dilihat realtif, akan tetapi mempunyai kesan yang sangat besar.

Penulis melihat elemen kebosanan pada Umno/BN sudah bermula pada Tahun 2008, atas sebab itu pada PRU tahun itu, pertama kali Umno/BN kehilangan kuasa 2/3.

Apabila rakyat secara umumnya bosan, maka tidak mudah memulihkannya.

Apabila kebosanan melanda sesebuah parti, maka yang berbaki adalah penyokong tegar parti itu. Sesebuah parti yang mempunyai ramai penyokong tegar termasuk ahli boleh menang pilihanraya, jika yang keluar mengundi majoriti daripada kalangan pengundi sedemikian, seperti mana dibuktikan pada PRN Melaka dan Johor. Namun, apabila pilihanraya dibanjiri majoriti rakyat seperti mana PRU-15, maka dengan sendirinya undi penyokong tegar/ahli tidak dapat mengatasi jumlah itu, kesannya, Umno/BN mendapat keputusan terburuk dalam sejarah parti itu.

Pada 6 PRN yang bakal berlangsung, jika trend pengundian seperti PRU-15, sukar bagi Umno/BN menang dikerusi-kerusi yang ditandingi, meskipun mendapat sokongan Pakatan Harapan (PH).

Apa yang jelas, pada PRU-15, pengundi melayu telah berpindah pada Perikatan Nasional (PN), dan tidak mudah mengubah pilihan kaum itu walaupun rumah terbuka Perdana Menteri diadakan di negeri-negeri terbabit.

No comments:

Blog Archive