Monday, May 15, 2023

KERAJAAN KUAT DAN KUKUH: APA HARAPAN RAKYAT?

PEMIMPIN kerajaan kena INGAT hanya satu petanda rakyat akan kekal menyokong, jika hanya jika majoriti rakyat merasa nyaman termasuk tidak berhadapan dengan isu menyediakan makanan atas meja.

Jika faktor yang berkaitan mulut & perut tidak dipenuhi, maka sekuat dan sekukuhnya kerajaan apabila datangnya pilihan raya, rakyat akan menghukum.

Pemimpin politik atau pemimpin kerajaan kena mengambil peluang pada keadaan kerajaan kukuh dan kuat untuk membawa masuk sebanyak mungkin pelaburan sebagai upaya meningkatkan aktiviti ekonomi.

Menerusi peningkatan aktiviti ekonomi, maka akan tercipta banyak peluang dan pada gilirannya rakyat dapat meningkatkan pendapatan terutama pendapatan boleh guna (disposible income).

Kerajaan Persekutuan hari ini, sudah kembali sekuat/sekukuh seperti mana kerajaan sebelum PRU 2008.

Kuatnya dan stabilnya kerajaan perlu digunakan sebaik-baiknya memperkukuh ekonomi negara, supaya boleh merealisasikan rakyat berkemajuan.

Jangan berulang, kerana kerajaan kukuh dan kuat maka pemimpin leka dan merasa selesa, maka terlupa rakyat.

Rekod kerajaan Persekutuan sehingga PRU 2004, sentiasa mempunyai sokongan 2/3 di Dewan Rakyat, akan tetapi kerana polisi yang timpang, maka ada negeri bersama rakyat kekal bergelumang dengan isu kemiskinan, infrastrukutur daif termasuk kemudahan asas seperti bekalan air bersih, elektrik dan jalan raya.

Benar kata, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengapa selama 60 tahun masih ada rakyat dihukum kerana tidak mendapat bekalan air bersih, elektrik dan jalan raya, sedangkan kemudahan itu adalah tanggungjawab kerajaan.

Julungkali penulis membaca/mendengar pengakuan daripada seorang Perdana Menteri, berkaitan “istilah” menghukum/menafikan rakyat menikmati kemudahan asas yang sepatutnya tanggungjawab kerajaan akan tetapi tidak diberikan.

Apabila langkah-langkah membela rakyat yang diangkat menerusi agenda rakyat menerusi kerajaan Perpaduan Persekutuan dapat direalisasikan, maka sangat tepat titah YDP Agong, pengwujudan Kerajaan Perpaduan pasca PRU-15 yang disokong 19 parti.

Bukan itu sahaja - kerjasama 19 parti politik itu, boleh mengwujudkan satu blok politik berhaluan tengah yang lebih mewakili masyarakat majmuk negara ini.

Penulis melihat, kesediaan Umno bersama PH bertujuan untuk sinkronise antara haluan politik menuju ke garis tengah, kerana asas perjuangan parti memerdekakan negara itu adalah demikian.

Umno pada asasnya parti berhaluan tengah,akan tetapi bertukar ke haluan kanan selepas PRU 2004. Kerana perubahan haluan itu, parti-parti lain yang terkait dengan parti itu menerusi Barisan Nasional menjadi lemah, sehinggakan memberikan kesan pada parti jangkar BN itu sehingga hilang kuasa pada tahun 2018.

Rekod politik negara ini, mana-mana blok parti berhaluan kiri atau kanan sukar mendapat sokongan majoriti. Mungkin kerana sebab itu, Umno kini mahu kembali pada masa parti itu mendapat sokongan majoriti rakyat negara ini.

Kerjasama PH (dilihat parti berhaluan kiri) dan BN (dilihat parti berhaluan kanan) akan menuju parti berhaluan tengah.

Sementara parti-parti lain yang menyokong seperti GPS dan GRS adalah parti berhaluan tengah. Apabila berkombinasi, maka akan terwujud blok parti berhaluan tengah.

Memandangkan satu blok parti lagi berhaluan kanan, maka kemungkin wujudnya sistem dua parti di negara ini di masa hadapan, atau setidak-tidaknya pada PRU-16.

Apapun pendekatan politik tidak akan bermakna pada rakyat, jika parti yang memerintah itu terlepas pandang keperluan rakyat, seperti mana pengakuan Perdana Menteri, berkaitan kritikalnya bekalan air bersih di negeri-negeri tertentu di negara ini.

Harapan rakyat pada sesebuah kerajaan bukan sahaja membela rakyat akan tetapi turut sama bertanggungjawab menyediakan keperluan asas mereka, menyediakan peluang-peluang pekerjaan, perniagaan, penyediaan perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan sewaktu dengannya.

No comments:

Blog Archive