Wednesday, May 03, 2023

KEBOSANAN TERHADAP PARTI UMNO?

MUNGKIN ahli/penyokong/pemimpin parti Umno terlepas pandang berkaitan isu kebosanan terhadap parti itu.

Penulis melihat sejak tahun 2008, kebosanan rakyat secara umum terhadap parti itu mula bercambah, sebab itu pada PRU pada tahun itu, pertama kali Umno/BN kehilangan sokongan 2/3 di Dewan Rakyat, malah Selangor dan Perak julung kali ditawan parti lawan.

Pemimpin Umno/BN masa itu menyalahkan tsunami kaum cina, tetapi terlepas pandang berkaitan isu kebosanan.

Isu kebosanan tidak dapat dipulihkan pada PRU13 (Tahun 2013), bertambah buruk pada PRU-14 (tahun 2018) dan semakin buruk pada PRU-15 (Tahun 2022).

Umno masih bernasib baik kerana mempunyai ahli ramai dan penyokong tegar. Kerana itu apabila pilihanraya, jika pengundi yang turun adalah golongan penyokong tegar, maka parti itu boleh menang, seperti mana pada PRN Melaka dan Johor.

Akan tetapi jika peratusan pengundi keluar mengundi tinggi, maka penyokong tegar parti itu tidak dapat mengimbangi seperti mana berlaku pada PRU-15.

Umno berhadapan dengan keadaan yang tidak menambat hati pengundi baharu, selain tidak mampu memulih kebosanan. Apa tah lagi, parti itu berhadapan dengan berbagai skandal gigantik berkaitan jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

Kerana kebosanan yang melanda parti itu, maka mana-mana pemimpin parti itu menyertai parti yang dirasakan boleh menjadi alternatif maka pemimpin itu mendapat talian hayat politik.

Ada kemungkinan isu kebosanan rakyat terhadap parti itu terlerai apabila kini bersama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan. Sebabnya, isu salah guna kuasa yang melekat pada pemimpin parti itu “terkawal” kerana pemimpin parti itu bukan lagi peneraju kepimpinan kerajaan.

Akan dibuktikan menerusi 6 PRN Julai ini, apakah kebosanan rakyat pada parti itu pulih? Jika didapati sebaliknya, maka bakal menjadi liabiliti pada Pakatan Harapan (PH), yang boleh menyebabkan Negeri Sembilan bakal ditawan PN, manakala di Selangor, kemungkinan DUN tergantung, di Pulau Pinang PH menang dengan majoriti tipis, sementara di Kedah, Kelantan dan Terengganu, keputusan akan sama seperti PRU-15.

Isu kebosanan telah melanda parti Golongan Karya (GOLKAR) Indonesia, dan sejak kehilangan kuasa, hingga kini tidak pulih-pulih lagi.

Penulis melihat, kerana faktor kebosanan, akan terus menghalang Umno untuk kembali pada kegemilangan.

Dalam konteks Sabah, walaupun Umno kenampakan masih relevan, akan tetapi hanya berlegar-legar pada ahli/penyokong tegar/pemimpin parti itu, bukan pada rakyat secara umum.

Rakyat Sabah, sudah move on, dan cenderung pada Gabungan dan Gagasan.

No comments:

Post a Comment