Sunday, February 26, 2023

TABUNG AMANAH PERUNTUKAN PERSEKUTUAN

DSP Masidi Manjun
JIKA cadangan menubuhkan Tabung Amanah bagi Peruntukan Pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan pada kali ini terealisasi, ianya merupakan perubahan besar bagi pendekatan Kerajaan Persekutuan, kerana cadangan seumpama itu pernah dibuat sebelum ini oleh kerajaan Sabah, akan tetapi tidak mendapat maklum balas positif.

Cadangan Tabung seumpama itu yang diapung kembali oleh kerajaan negeri pada hakikatnya adalah cadangan tepat, agar Peruntukan Pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan terus salurkan ke tabungan amanah yang dikendalikan kerajaan negeri.

Apabila peruntukan tersebut disalurkan terus kepada negeri menerusi tabung tersebut, maka mengelak kitar semula peruntukan menerusi di bawah ke hadapan, kerana peruntukan tersebut tidak dapat dibelanjakan pada tempoh tahun ianya diperuntukan atas sebab kelambatan melaksanakan projek-projek yang sepatutnya dilaksanakan pada tahun yang sama kerana isu birokrasi.

Pengalaman Sabah, sentiasa berhadapan dengan isu kelambatan pelaksanaan projek yang membabitkan peruntukan daripada Persekutuan, kerana isu birokrasi, sehingga menyebabkan, peruntukan yang diberikan dikitar semula.

Sebagai contoh jika pada Tahun 1 Sabah mendapat peruntukan RM5bilion, akan tetapi, jumlah yang dibelanjakan pada Tahun 1 hanya RM3 bilion. Kemudian pada Tahun 2 peruntukan diberikan RM6bilion, tetapi daripadanya terkandung peruntukan RM2 bilion bagi projek yang tidak disiapkan pada Tahun 1. Ertinya untuk Tahun 1 dan 2, Sabah hanya menerima secara real RM9 bilion bagi 2 tahun tersebut bukannya RM11 bilion.

Apabila kerajaan membuat keputusan setiap Peruntukan bagi tahun tertentu disalurkan pada Tabung Amanah, maka negeri akan mendapat 100% peruntukan tersebut.

Selain itu, wang dalam tabung amanah tersebut mendapat pulangan faedah kerana disimpan dalam bank-bank tempatan.

Bukan sedikit pulangan faedah daripada wang tabung tersebut yang boleh digunakan oleh kerajaan negeri bagi faedah rakyat termasuk pemerekasaan modal insan menerusi pemberian biasiswa atau dermasiswa.

Jika misalnya peruntukan pembangunan Persekutuan bagi Tahun 2023 yang berjumlah RM6.5 bilion masuk ke dalam Tabung Amanah pada bulan Mac depan, 3 bulan kemudian, faedah bagi wang sebanyak itu masing-masing berjumlah RM40 juta (jika faedah 2.5% p.a.); RM32 juta (faedah 2% p.a.), dan RM30 juta (faedah 1.8% p.a)

No comments:

Post a Comment