Wednesday, January 11, 2023

TERPULANG PADA RAKYAT MENILAI TINDAKAN 5 ADUN UMNO MEMILIH BERSAMA KERAJAAN

TERPULANG pada rakyat Sabah memberi penilaian tindakan 5 ADUN Umno, iaitu ADUN Tanjung Keramat, Pantai Dalit, Sugut, Sindumin dan Tempasuk kekal bersama kerajaan negeri yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Haji Noor.

Mereka ini tidak melompat parti. Mereka  hanya tidak bersetuju dengan 12 ADUN lain yang menarik sokongan daripada kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat pada PRN-16 Sabah.

Mereka berlima mempertahankan mandat rakyat, walaupun Ketua Umno Sabah yang berkomplot dengan Datuk Shafie Apdal menumbangkan kerajaan yang diberi amanah oleh rakyat untuk memerintah negeri menganggap mereka itu tidak mewakili parti, melainkan mewakili diri mereka sendiri.

Menurut pandangan penulis, 5 ADUN Umno ini, tidak berbuat sebarang kesalahan, malah tidak bertentangan dengan parti mereka, kerana pendirian parti itu daripada awal-awal lagi bersama-sama GRS memerintah negeri secara bersama-sama.

Jika timbul sebarang tindakan dengan menggunakan nama parti, yang sepatutnya diambil tindakan adalah mereka yang berkomplot menjatuhkan kerajaan sendiri.

Rakyat sedang memerhati tindak tanduk parti, apa kah akan membuat keputusan betul berkaitan tindak tanduk yang dilakukan oleh mereka yang berkomplot dengan parti lawan yang bertentangan dengan kehendak rakyat.

Dalam sejarah politik negara, mana-mana parti bertindak tidak sesuai dengan kehendak rakyat akan hanyut dengan sendiri, kerana akan ditolak rakyat melalui pilihan raya.

Ambil iktibar pada mereka yang menyebabkan Kerajaan BN plus tumbang pada PRU-14, walaupun salah seorang daripada mereka itu dicalonkan semula oleh parti, baik di peringkat DUN dan Parlimen, akan tetapi tidak lagi diterima rakyat.

Rakyat Sabah sangat progresif apabila membuat keputusan, tidak kira lah apa kah melibatkan pemimpin kanan/veteran/otai, selagi bercanggah dengan kehendak mereka, akan ditolak pada pilihan raya.

Berkaitan kedudukan 5 ADUN Umno yang bersama kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Haji Noor, hanya rakyat di kawasan masing-masing menentukan kedudukan mereka dalam arena politik, bukannya oleh mereka yang mengatas namakan parti.

Setidak-tidaknya atas keberanian mereka itu, menstabilkan kerajaan yang dipilih rakyat pada PRN-16 negeri, dan seterusnya dapat meneruskan pemulihan ekonomi negeri, dapat memajukan dan membangun negeri, demi kemakmuran rakyat, sesuai dengan visi kerajaan SABAH MAJU JAYA.

No comments:

Blog Archive