Wednesday, September 08, 2021

SEMPENA 5 TAHUN PENUBUHAN BERSATU


HARI ini 8 September, genap lah 5 tahun usia Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) ditubuhkan.

Selepas sebahagian daripada kerajaan hasil keputusan PRU-14, sehingga kini, parti itu kekal bersama kerajaan yang memerintah.

Sebagai parti politik yang termuda, Bersatu, menyertai tiga kerajaan yang berbeza dalam tempoh masa 3 tahun. Pertama dengan Pakatan Harapan (PH), kemudian dengan PN1.0 dan kini bersama dengan PN2.0

Bersama dengan kerajaan PH dan PN1.0, Perdana Menteri negara adalah daripada parti itu, manakala pada kerajaan PN2.0, menjadi tulang belakang kerajaan menerusi Parti Perikatan Nasional (PN), walaupun Perdana Menteri bukan lagi mewakili parti itu.

Selepas menang pada PRU-14 bersama PH, parti itu hanya sekali diuji menerusi PRN-16 Sabah pada September tahun lalu.

Pada PRN-16 Sabah, parti itu bertanding 19 kerusi kerusi DUN, dan menang 11 kerusi. Kerusi kemenangan tersebut adalah sebahagian daripada 38 kerusi yang dimenangi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dianggotai BN, PN dan PBS.

Kini, Bersatu adalah sebagai komponen parti PN yang turut dianggotai PAS, Gerakan, SAPP dan STAR.

Apa kah parti itu akan mendapat kepercayaan rakyat di Semenanjung, akan dibuktikan pada PRU-15 akan datang.

Pada PRU-15, jika tidak berlaku kesepakatan antara PN dan BN, maka akan berlaku pertembungan tiga penjuru di kawasan-kawasan majoriti melayu/bumiputera, iaitu antara BN, PN dan PH (Amanah dan PKR).

Jika BN dan PN mengambil iktibar keputusan PRN-16 Sabah, maka perlunya kerjasama antara dua parti tersebut, jika mahu memerintah negara. Jika tidak, mungkin senario kerajaan PN1.0 dan PN2.0, akan berlakunya penjajaran antara parti-parti atau ahli-ahli parlimen, untuk menyokong seseorang ahli parlimen menubuhkan kerajaan.

Dalam senario politik tanah air, apa tah lagi, jika pengundi 18 tahun dibenarkan mengundi pada PRU-15, maka tiada mana-mana pihak boleh mendabik dada sebagai parti pilihan.

Penulis yakin, jika para pemimpin antara PN dan BN, membuang ego masing-masing, tidak mustahil gabungan seperti GRS akan terwujud menjelang PRU-15. Semoga menjadi kenyataan, demi Agama, Bangsa dan Tanah Air.

No comments:

Blog Archive