Tuesday, June 25, 2013

Anwar dan Najib mesra di dewan Rakyat: Penyokong Anwar di luar meroyan


Gambar memberi pengertian 1001 makna. Perdana Menteri Datuk Seri Najib dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim duduk semeja dan makan bersama selepas selesai upacara mengangkat sumpah ahli-ahli Dewan Rakyat pada pagi 24 Jun.

Penyokong Anwar tidak dapat membayangkan bahawa senario itu boleh berlaku, sedangkan hanya beberapa jam sebelum itu berguling-guling di atas jalanraya di hadapan bangunan Parlimen dan bertempur dengan pihak keselamatan.

Akhirnya sejumlah daripada penyokong tersebut ditangkap pihak polis kerana cuba merempuh masuk ke kawasan Parlimen. Mereka yang terlibat sebelum itu sanggup bermalam dalam khemah di Padang Merbok dalam keadaan cuaca yang panas dan berjerebu yang amat merbahaya kepada kesihatan.

Perbuatan mereka kononnya pengorbanan dan keyakinan kepada pemimpin agung mereka, Anwar. Malah sehari sebelum itu juga, pemimpin terhebat mereka berucap berapi-api di atas pentas di Padang Merbok menghasut rakyat menentang kerajaan malah `Ayatollah’ Husam Musa telah mengeluarkan fatwa syahid kepada siapa yang rela mengadai nyawa demi rasa sayang yang mendalam terhadap Anwar. Ekoran itu, Husam ditangkap dan direman selama dua hari dan kini bebas dengan ikat jamin RM3,000.

Malangnya ada juga di kalangan penyokong-penyokong pembangkang yang begitu taksub dan ekstrem sanggup mendirikan pusat pendaftaran bagi mereka yang mahu menjadi pengebom berani mati.

Begitulah hebat aura dan tarikan persona Anwar dengan dibantu oleh `ulama celup’ seperti Husam yang mengabsahkan segala tindakan pembangkang walaupun ia bertentangan sekali dengan undang-undang mahupun logik dan akal manusia.

“Sementara penyokong ‘Khalifah’ Anwar berhempas pulas menahan lapar dan dahaga di bawah matahari terik, Anwar pula bersenang-senang, gelak ketawa, riang ria bersama pemimpin negara yang sebelumnya dilaknat, dikutuk, dimaki, difitnah dan dicerca dengan pelbagai dakwa-dakwi.

Anwar nampak seolah-olah telah melupakan segala apa yang telah beliau hemburkan untuk memboikot majlis angkat sumpah dan persidangan Parlimen. Malangnya topeng yang dipakai ini jarang boleh dilihat oleh penyokong-penyokongnya yang memilih untuk membontotinya membabi buta dengan menelan apa saja yang keluar dari mulut pemimpin mereka.

Melihat gambar antara Najib dan Anwar, mungkin selepas ini mereka akan mempertikaikan kesahihan gambar yang menunjukkan Anwar makan tengahari dengan Perdana Menteri dengan mengatakan ‘rupa macam dia tapi bukan dia’,”.

No comments:

Blog Archive