Walaupun berjaya menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen dan menang lima negeri dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008, pakatan pembangkang tetap menyatakan pilihan raya di Malaysia tidak bersih.
Pelbagai dakwaan dilemparkan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), termasuk kononnya suruhanjaya itu melakukan penipuan untuk memastikan BN kekal memerintah.
Sejak itu, parti pembangkang dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong mereka dan dibiayai pihak asing, mengadakan siri demonstrasi jalanan kononnya untuk menuntut pilihan raya bersih di Malaysia.
Pelbagai tuduhan dicipta, diulang dan disebar di pentas ceramah, akhbar parti dan alam siber.
Wakil rakyat mereka pula bersikap biadab di Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat. Mereka memperlihatkan sifat penentangan terhadap peraturan, undang-undang dan pihak berkuasa supaya pengikut mereka juga tidak lagi menghormati atau mematuhinya. Malah, sebelum hari penamaan calon lagi, mereka sudah menyatakan akan berhimpun di Putrajaya dan pusat pentadbiran negeri mulai petang esok - sebagai perayaan jika menang dan bantahan jika kalah.
Menjelang PRU-13 esok, pakatan pembangkang semakin terdesak apabila melihat majoriti rakyat masih bersama Kerajaan BN. Mereka mula melakukan satu demi satu muslihat seperti yang didedahkan beberapa pihak sebelum ini.
Ketika kempen bermula, petugas dan bilik gerakan BN diserang, termasuk dengan bom api dan bom kecil.
Apabila undian awal berlangsung Selasa lalu, pemimpin pembangkang mendakwa SPR menipu lagi kononnya dakwat kekal boleh dihilangkan dan pengundi terbabit boleh mengundi lagi di tempat lain.
Kelmarin, Ketua Pembangkang sendiri mendakwa kononnya kerajaan membawa masuk puluhan ribu pengundi luar, termasuk menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia dan menempatkan mereka di beberapa kem tentera.
Pelbagai khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu disebarkan kononnya mereka akan menang dan BN sudah mengaku kalah serta akan berlaku kekecohan pada hari mengundi.
Semua perlakuan ‘desperado’ itu adalah untuk menghasut rakyat bangkit menentang kerajaan menerusi apa yang mereka namakan ‘Malaysian Spring’. Sudah lima tahun rakyat dipergunakan, anggota pasukan keselamatan dihina dan keamanan negara dipertaruhkan untuk mereka memerintah Malaysia.
Cukuplah dengan pembohongan itu selama ini, apabila hendak memangkah kertas undi esok, pilihlah kerajaan yang sudah terbukti mengutamakan rakyat dan negara.
No comments:
Post a Comment