Monday, October 04, 2010

Apabila RPK menghancam

RPK beri kata dua pada Anwar. Tunaikan janji-janji PR menjelang PRU-12 yang lalu, jika tidak maka sokongan penulis blog sensasi tersebut kepada PR akan ditarik balik.

RPK juga menzahirkan bahawa dia kemungkinan besar tidak menyokong PR pada PRK DUN-45 Galas, Gua Musang yang belum ditentukan tarikhnya oleh SPR.

Dalam satu sesi dialog dengan rakyat Malaysia di London yang juga turut dihadiri oleh Anwar Ibrahim, bloger buruan polis Malaysia itu mengatakan telah hilang sabar kepada Pakatan Rakyat.

Kesabaran RPK telah hilang, kerana walaupun telah lebih 2 tahun PR memerintah 4 negeri, namun janji-janji PRU-12 tidak ditunaikan.

Bagaimanapun Anwar, Penasihat PKR, merayu agar rakyat memahami bahawa kebanyakan pembaharuan tidak boleh dilaksanakan tanpa penguasaan kerajaan persekutuan, sebaliknya pejuang masyarakat madani perlu membantu PR berada di Putrajaya bagi melakukan pembaharuan-pembaharuan ini.

Raja Petra berkata “sebelum Mac 2008 kita duduk untuk tempoh berbulan lama dan merangka Deklarasi Rakyat yang merupakan versi kemas kini kepada Agenda Untuk Perubahan, yang dirangka oleh Anwar sendiri ketika berada di penjara.”

Anwar dibebaskan dari penjara pada 2004 tetapi hanya layak bertanding selepas Mac 2008 dan memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh ketika pilihan raya kecil.

Raja Petra menggambarkan bagaimana deklarasi itu, yang merangkumi pelbagai isu - daripada ekonomi, pendidikan, kesihatan dan sehinggalah politik - dikemukakan kepada tiga parti politik yang membentuk PR dan parti-parti pembangkang yang lain.

PR, dianggotai DAP, PAS dan PKR, dibentuk selepas sebulan selepas pilihan raya umum Mac 2008. Ia masih dalam proses kelulusan pendaftaran.

Malah Raja Petra mendakwa deklarasi itu juga sedikit sebanyak diterima sebagai manifesto pilihan raya.

“Oleh kerana itu, kami turun ke bawah, kami berkempen dan merentasi seluruh Malaysia,” kata beliau lagi merujuk kepada kempen ketika pilihan raya umum Mac 2008 dan pilihan raya kecil yang menyusul.

Justeru, Raja Petra melahirkan rasa tidak puas hati kerana PR belum lagi menunaikan janji-janji yang digariskan dalam manifesto meskipun menguasai pemerintahan beberapa kerajaan negeri sepanjang dua setengah tahun lalu.

Pada hari ini PR menguasai Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Raja Petra juga menggariskan ketiadaan akhbar-akhbar Bahasa Malaysia diterbitkan kerajaan-kerajaan negeri dikuasai PR atas alasan ia penting untuk meneruskan perjuangan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Kita sudah memberi PR tempoh dua setengah tahun, tetapi tiada pembaharuan tunggal yang dilaksanakan sehingga kini.

“Sesetengahnya boleh dilaksanakan dengan segera, sesetengahnya akan mengambil masa dua tahun, ada yang akan mengambil 20 tahun.

“Sekurang-kurangnya kita melihat (ia dilaksanakan), maka kita akan gembira dan kita akan terus menyokong PR dalam setiap pilihan raya kecil dan pilihan raya umum termasuk di Galas,” kata Raja Petra.

RPK yang kini berada dalam buangan kendiri di luar negara sejak setahun lalu menambah, PR memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya ekoran sokongan masyarakat madani yang merupakan “kuasa ketiga”.

Raja Petra memberikan contoh gerakan Bersih dan Hindraf pada 2007 yang memperjuangkan agar diadakan pilihan raya bebas dan adil serta hak masyarakat orang India dibela.

Sehubungan itu, Raja Petra mengingatkan PR bahawa “kami rakyat adalah tuan” dan perikatan berusia dua setengah tahun itu perlu menyelesaikan beberapa isu jika mahu membentuk kerajaan persekutuan kelak.

Anwar membalas pendirian Raja Petra itu dengan menegaskan bahawa PR mengiktiraf keperluan membawa perubahan tetapi “rakan-rakan kami dalam masyarakat madani perlu bekerjasama dengan kami sebagai satu pasukan.”

“Kami memerlukan (sokongan) masyarakat madani memandangkan kami tidak boleh bergantung pada media yang dikawal Umno,” kata Ketua Umum PR ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh ini juga mendakwa tangan PR terikat dalam melaksanakan pembaharuan memandangkan kuasa untuk berbuat demikian terletak di peringkat kerajaan persekutuan.

Pun begitu, Anwar menekankan beberapa perubahan telah dilaksanakan termasuk menggantikan sistem tender langsung dengan tender terbuka, satu dasar yang membolehkan kerajaan negeri Kedah mengurangkan cukai pintu jumlah keseluruhan sehingga RM15 juta, tetapi mengekalkan pulangan memandangkan langkah tersebut mendatangkan hasil pembalakan yang lebih baik.

Anwar juga menggariskan Akta Kebebasan Maklumat yang digubal oleh kerajaan negeri Selangor meskipun ia masih tertakluk pada Akta Rahsia Rasmi yang dikuatkuasakan oleh kerajaan persekutuan.

Anwar juga menambah, Selangor dalam proses menjadikan Selangor Kini, sebagai akhbar harian untuk diedarkan kepada isi rumah di Selangor bagi menghadapi media-media dikawal Umno khususnya di kawasan-kawasan pengundi Melayu.

Raja Petra juga melahirkan kekecewaan dengan sikap tidak kaliber calon-calon PR yang bertanding dalam pilihan raya umum lalu dan menawarkan “calon yang berwibawa untuk bertanding mewakili PR.”

Raja Petra juga menimbulkan isu ramai pemimpin PR terpaksa bertanding kedua-dua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri selain beberapa wakil rakyat yang dipilih bertindak keluar parti sehingga menyebabkan BN mengambil alih Perak awal 2009.

No comments:

Blog Archive