Friday, October 01, 2010

Apa hubungan janggut Taib dengan PRU-Sarawak?

Desas-desus pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak seawal bulan ini semakin hangat diperkatakan walaupun mandat semasa kerajaan negeri itu hanya berakhir pada Julai 2011.

Suhu pilihan raya negeri ke-10 itu semakin membahang apabila Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada Sabtu lepas mengumumkan kesediaannya untuk terus memimpin Barisan Nasional (BN) Sarawak dan kerajaan negeri.

Taib, 74, membuat pengumuman tersebut ketika berucap di hadapan lebih 7,000 rakyat termasuk menteri kabinet negeri, penyokong BN dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyambut ketibaan beliau dari percutian di luar negara di hangar Hornbill Skyways di Kuching.

Sehari selepas itu, beliau memberitahu pemberita bahawa beliau berhasrat mempertahankan kerusi DUN Balingian yang disandangnya sejak 2001 pada pilihan raya negeri akan datang.

Kedua-dua pengumuman itu segera mencetuskan pelbagai andaian bahawa pengumuman susulan beliau ialah pembuburan DUN di mana ramai penganalisis politik percaya ia merupakan petanda paling jelas bahawa pilihan raya negeri semakin hampir.

Setiausaha Agung BN Sarawak Datuk Dr Stephen Rundi Utom dalam temubual dengan Bernama berkata kesemua jentera pilihan raya BN sudah cukup bersedia dengan kursus dan latihan berkaitan dengan pilihan raya sudah disempurnakan.

"Gelombang pertama jerayawara sudah bermula dan kami akan meneruskannya sehingga pilihan raya diumumkan. Kami sudah bersedia pada bila-bila masa apabila Pehin Seri (Taib) mahu mengadakan pilihan raya," katanya.

Sejak kembali dari percutian singkat itu, Taib sedang menjelajah seluruh negeri itu secara aktif, hampir setiap hari di mana orang dalaman parti berkata ianya sebahagian daripada program jerayawara bersama rakyat menerusi pelbagai acara.

Dari segi agihan kerusi, Rundi berkata kepimpinan BN kemungkinan akan mengekalkan formula sebelum ini -- Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) 35, Parti Rakyat Bersatu sarawak (SUPP), 19, Parti Rakyat Sarawak (PRS), 9, dan lapan kerusi untuk Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Pada pilihan raya negeri 2006, PBB memenangi kesemua 35 kerusi yang ditandinginya, SUPP (11), lapan kerusi masing-masing oleh PRS dan SPDP manakala selebihnya dari 71 kerusi yang dipertandingkan itu dimenangi oleh pembangkang.

"Saya percaya kita boleh mengekalkan majoriti dua pertiga. Bagaimanapun, kita perlu bekerja keras di kawasan-kawasan tertentu," katanya.

Sudah ada keyakinan berasas bahawa pilihan raya negeri semakin dekat di mana sehingga hari ini, tidak ada sebarang pembayang mengenai jadual persidangan DUN pada November ini.

Ramai ahli DUN berkata mereka masih belum menerima notis mengenai persidangan tersebut walaupun ada laporan menyatakan ia mungkin diadakan pada akhir bulan ini atau awal November bagi pembentangan belajawan negeri.

Persidangan DUN kali terakhir diadakan dari 17 hingga 26 Mei lalu.

Ini mendorong beberapa pemimpin pembangkang di negeri itu percaya bahawa pilihan raya semakin dekat dan mungkin diadakan seawal bulan depan.

"Pilihan raya sudah tiba. Besar kemungkinan pada Oktober atau November ini," kata pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng.

"Tanda-tandanya semakin panas sejak kebelakangan ini. Di mana sahaja anda pergi, rakyat sudah berbincang mengenainya dan nampaknya sudah hampir dekat, kemungkinan menjelang November ini," kata Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Baru Bian, kepada Bernama.

Beberapa ahli politik, khususnya ahli-ahli Parlimen, bimbang jika pilihan raya negeri diadakan bulan ini atau bulan depan, mereka terpaksa berulang-alik antara negeri itu dan menghadiri persidangan sesi Parlimen semasa tempoh berkempen.

Dewan Rakyat akan bersidang semula dari 11 Okt ini di mana beberapa acara penting berlaku seperti pembentangan Bajet 2011.

Walaupun UMNO tidak bertapak di Sarawak tetapi perhimpunan UMNO dari 19 hingga 24 Okt ini akan menjadi perhatian semua pihak sebelum konvensyen BN pada 28 Nov ini.

Oleh itu, beberapa pemerhati politik percaya pembubaran DUN Sarawak hanya berlaku menjelang akhir bulan ini dan pilihan raya diadakan sebelum Aidiladha yang jatuh pada 17 Nov ini.

Bagaimanapun, ada pihak lain berkata ianya adakan diadakan selepas Aidiladha kerana 218 bahagian PKR dijadual mengadakan pemilihan terus pemimpin kebangsaan parti itu pada hujung minggu iaitu dari 29 Okt hingga 21 Nov serta persidangan Parlimen akan membataskan pergerakan pemimpin mereka itu.

Tetapi naib presiden PKR Azmin Ali sebelum ini berkata pemilihan terus parti itu tidak akan ditangguh walaupun jika persidangan DUN Sarawak dibubarkan ketika itu.

Bagaimanapun, ada sebilangan ahli politik yang percaya pilihan raya negeri itu akan hanya diadakan selepas 26 Mac 2011 -- iaitu genap 30 tahun selepas Taib menjadi Ketua Menteri Sarawak.

Taib dilantik memegang tampuk kepimpinan negeri pada 26 Mac 1981 bagi menggantikan bapa saudaranya Tun Rahman Yaakub.

Beberapa rakyat Sarawak, bagaimanapun, sedang memerhatikan janggut Taib kerana mereka percaya tarikh pilihan raya akan ditentukan dengan beberapa panjangnya janggut pemimpin itu.

Mereka berkata Taib akan mencari ilham untuk menentukan tarikh pilihan raya menerusi panjangnya janggut beliau. Beliau masih dilihat dengan janggutnya yang dirapikan.

Ada juga mereka yang percaya bahawa angka sembilan adalah nombor istimewa bagi Taib tetapi sehingga ini ketua menteri paling lama di negara ini hanya memberitahu pemberita bahawa pilihan raya negeri akan jatuh pada hari Sabtu.

Sebagai ahli politik veteran, Taib amat sedar bahawa media dan ahli politik sentiasa teruja dengan petanda yang disampaikan kepada mereka.

Tidak ada sesiapa boleh menjawab teka-teki berhubung tarikh pilihan raya negeri itu sehingga DUN Sarawak dibubarkan. Pertanda itu hanya diketahui oleh Taib sendiri, berapa cm kah janggutnya perlu tumbuh dan bila kah PRU-Sarawak akan berlaku, yang pasti sebelum Julai 2010.

No comments:

Blog Archive