Sunday, October 24, 2010

Abdul Aziz Yusof Calon BN bagi DUN Galas-Kelantan

Setiausaha Umno Bahagian Gua Musang, Abdul Aziz Yusof, 49, dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Galas pada 4 Nov ini.

Ketika membuat pengumuman itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Abdul Aziz merupakan calon yang masih muda dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Pejabat Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

"Oleh kerana beliau (Abdul Aziz) akan bertanding pada pilihan raya kecil DUN Galas jadi beliau telah melepaskan jawatannya itu. Beliau merupakan orang tempatan, orang Gua Musang dan umurnya masih muda," katanya ketika berucap pada majlis pengumuman calon BN di Umno Bahagian Gua Musang di Bukit Chekati, pada hari Ahad.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, daripada PAS, akibat kanser usus pada 27 Sept lalu.

PAS telah mengumumkan pengamal perubatan yang juga Pemangku Yang Dipertua PAS kawasan Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad sebagai calon parti untuk bertanding dalam pilihan raya kecil berkenaan.

Sementara di Batu Sapi Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan Timbalan Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Elopura Datin Linda Tsen Thau Lin, sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi.

Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman bersama pemimpin komponen BN Sabah dalam satu sidang akhbar di Sandakan, pada 3 petang ini.

Tsen, 54, adalah balu mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah, iaitu penyandang kerusi Parlimen Batu Sapi, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 9 Okt lepas.

Linda Tsen akan berdepan dengan persiden SAPP Datuk Yong Teck Lee dan Ansari Abdullah, seorang peguam dan ketua PKR Tuaran dipilih mewakili Pakatan Rakyat di kerusi Parlimen Batu Sapi.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil ini akan diadakan Selasa ini dan pengundian pada 4 Nov.

No comments:

Post a Comment