Saturday, September 18, 2010

Perkasa bukan alat parti politik: Ibrahim Ali

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dipimpinnya itu tidak terlibat dengan politik tetapi menyuarakan hak rakyat melalui lunas-lunas perlembagaan.

Beliau mengulangi kenyataan ini bahawa Perkasa bukan parti politik dan juga tidak mendokong mana-mana parti politik termasuk Umno tetapi berjuang atas lunas undang-undang bagi pertahankan hak rakyat.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini selepas menyampaikan taklimat kepada jentera petugas Perhimpunan Rakyat yang dijangka dihadiri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 25 September ini, katanya tafsiran pelbagai pihak terhadap perjuangan Perkasa adalah tidak tepat kalau dikaitkan dengan Umno atau Barisan Nasional (BN) tetapi apa yang diperjuangkan NGO itu adalah untuk membantu kaum Melayu.

"Ada masa kita tegur dia (kerajaan), ada masa kita kecam, ada juga kita buat laporan polis sekira perlu, semuanya ke arah menimbulkan keharmonian negara,"katanya.

Mengenai dakwaan anggota parti komponen BN bahawa Perkasa adalah pertubuhan yang disokong Umno, Ibrahim berkata pihaknya tidak pernah sekali pun bertemu dengan pemimpin Umno untuk apa-apa tujuan.

Beliau juga menegaskan belum bercadang untuk mengadakan kerjasama dengan mana-mana parti politik tetapi menumpukan perjuangan mempertahankan hak orang Melayu, raja-raja Melayu, agama Islam dan perlembagaan negara.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas melahirkan perasaan dukacita dengan teguran beberapa individu dalam Umno yang menganggap Perkasa boleh menjejaskan matlamat konsep 1Malaysia. -- BERNAMA

No comments:

Blog Archive