Friday, October 02, 2009

Di Sebalik Muslihat SPR Melarang Parti Tak Bertanding Pasang POSTER: DAP PKR tak Peduli

Dua parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat - DAP dan PKR - tetap akan meneruskan berkempen dengan mengibarkan bendera, logo dan gambar pemimpin mereka masing-masing sepanjang kempen pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang bermula 3 Oktober ini.

Kedua-dua parti tersebut juga mencabar Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) untuk menunjukkan peruntukan undang-undang yang melarang mana-mana pemimpin atau parti politik berkempen bagi seseorang calon di sesuatu pilihanraya kecil.

Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke ketika dihubungi Malaysiakini berkata, arahan terbaru itu tidak masuk akal dan melampaui tugas SPR yang sebenarnya.

"Mungkin SPR fobia dengan pemimpin Pakatan Rakyat dan logo DAP dan PKR. Mereka melampaui tugas. Mereka sepatutnya mengendalikan proses penamaan calon, proses pengundiaan dan pengiraan undi.

"Soal kempen, serah kepada kepada parti-parti politik yang bertanding... Masa Tan Sri Abdul Rashid (Abdul Rahman) tidak ada peraturan macam ini," katanya.

Anthony yang juga ketua Pemuda DAP diminta mengulas berhubung arahan terbaru SPR yang melarang parti politik yang tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang mengibarkan bendera, logo dan gambar pemimpin mereka sepanjang kempen.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar semalam dilaporkan berkata kebenaran hanya diberikan kepada parti yang bertanding memasang bahan kempen seperti gambar calon, logo parti dan pemimpin mereka.

‘Tidak faham demokrasi'

Pilihanraya kecil DUN itu pada 11 Oktober ini bakal menyaksikan pertembungan sengit antara Tan Sri Isa Samad yang juga bekas naib presiden Umno dan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohamad Noor dari BN yang menang dengan majoriti 2,333 dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Azman yang juga naib ketua bahagian Teluk Kemang, menewaskan Ramli Ismail dari PAS yang mendapat 4,097 undi.

Mengulas lanjut, Anthony Loke yang juga ahli Parlimen Rasah tidak akan mengendahkan arahan terbaru SPR itu malah akan terus berkempen dengan meletakan bendera parti dan gambar pemimpin mereka.

"Memang kita sudah buat dan letakkan gambar pemimpin DAP dan PKR.

"Sebagai contoh, kalau gambar Lim Kit Siang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dibenarkan, mungkin gambar pada banner 1Malaysia yang menggunakan beratus-ratus (wajah) orang lain, patut ditanggalkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda PKR (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin menyifatkan arahan terbaru SPR itu akan menyebabkan berlakunya "defisit dalam sistem demokrasi di Malaysia".

'Bawa ke mahkamah'

"SPR tidak faham demokrasi dalam pilihan raya di Malaysia. Ia sepatutnya digalakkan kepada sesiapapun untuk terlibat, turut sama berkempen.

"Ini kerana, pilihan raya adalah satu-satunya ruang untuk memilih pemimpin dalam negara," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sehubungan itu, Shamsul Iskandar berkata pihaknya akan terus meletakkan bendera, logo dan gambar pemimpin mereka sepanjang kempen pilihanraya kecil DUN tersebut.

Mengulas lanjut, beliau yang juga seorang peguam tidak akan teragak-agak untuk membuat semakan kehakiman sekiranya SPR arahan tersebut mempunyai alasan undang-undang.

"Arahan terbaru, sekiranya ada asas, kita akan ke mahkamah untuk membuat semakan kehakiman.

"Semakan kehakiman berlaku, sekiranya kita tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan. SPR kata kononnya ada alasan undang-undang, kita akan cabar, kalau mereka sungguh-sungguh laksanakan," katanya.

No comments:

Blog Archive