Thursday, February 29, 2024

WAKIL RAKYAT- USIA BUKAN PENGHALANG

SELAGI seseorang pemimpin bersedia menggalas tugas sebagai wakil rakyat dan rakyat di kawasan yang diwakili terus memberi mandat, dan pada masa sama memperkuat parti dan kerajaan yang disokong, usia bukan lah penghalang.

Dalam sistem demokrasi negara, setiap 5 tahun wakil-wakil rakyat atau kerajaan yang disokong mereka akan diadili oleh rakyat, ertinya setiap penggal rakyat menjadi pengadil apakah kepimpinan seseorang wakil rakyat perlu diteruskan atau sebaliknya.

Kekalnya wakil rakyat berpenggal-penggal bukan bermakna tiada pelapis, tetapi mereka itu tidak bersedia maju ke hadapan memandangkan taraf mereka belum setanding dengan sifu mereka, iaitu penyandang.

Ada juga wakil rakyat yang menyandang berpenggal-penggal pada sesebuah kawasan akan tetapi akhirnya ditolak oleh rakyat di kawasan yang sama. Penolakan rakyat pada wakil rakyat itu, bukan kerana faktor tidak memberi peluang pada pelapis, akan tetapi faktor perubahan kepimpinan apabila menjauhi atau membuang jauh sifat di mana bermula sebaliknya hanya mengutamakan “inner circle” pemimpin itu.

Pemimpin yang ditolak rakyat itu mencipta sendiri sempadan atau tembok pemisah dengan rakyat yang mendukung/menyokong sebaliknya terbuai dengan sokongan disekililing.

Selain itu perubahan ketara pada wakil rakyat itu terutama daripada segi gaya hidup dan pembawaan, berbeza dengan sebelum itu, dan kerana faktor itu maka menyebabkan rakyat di kawasan yang diwakili muak, dan tragisnya faktor perubahan itu memberi kesan pada parti dan kerajaan yang menyebabkan kawasan lain juga turut ditolak rakyat.

Tidak sedikit wakil rakyat/pemimpin di hujung-hujung kepimpinan sepatutnya kekal menjadi jangkar pada parti dan kerajaan akan tetapi berlaku sebaliknya.

Para pemimpin atau wakil rakyat yang sentiasa mengekalkan keadaan di mana bermula dan berterusan dengan pendekatan yang sama maka terus mendapat sokongan rakyat selagi bersedia menjadi wakil rakyat.

Bukan sedikit wakil-wakil rakyat berkedudukan demikian, sebab itu, selagi mereka bersedia dicalonkan, maka adalah pasti kawasan yang ditandingi boleh menjadi kerusi.

Pada parti yang menerajui kerajaan Sabah hari ini, memandangkan hanya berusia 3 tahun dan sebahagian wakil rakyat adalah kali pertama, maka, terletak ditangan mereka apa kah sokongan yang diperolehi 3 tahun lalu dapat berulang pada PRN17, jika mereka itu dicalonkan.

Berkaitan wakil-wakil rakyat yang sudah berpenggal-penggal yang mewakili parti kerajaan, tiada kebimbangan mengenainya, kerana selagi mereka itu bersedia memimpin selagi itu rakyat di kawasan masing-masing akan menyokong.

Keterikatan antara wakil rakyat dengan rakyat yang menyokong bergantung rapat dengan tindak tanduk wakil rakyat itu, atas sebab itu, sekalipun wakil rakyat itu mewakili parti lain, waima sebagai pembangkang, rakyat di kawasan yang diwakili kekal memberi sokongan.

Atas faktor itu, jika ada pemimpin yang mewakili parti kerajaan akan tetapi pernah ditolak dan berhasrat untuk kembali kena berfikir masak-masak, kerana tidak semudah itu rakyat yang pernah menolak kembali menyokong.

Penolakan rakyat pada seseorang pemimpin, bukan kerana usia akan tetapi lebih kepada faktor perubahan sifat kepimpinan.

Jika ada pengamat atau penganalisis politik menjadikan faktor usia seseorang pemimpin sebagai penghalang sokongan rakyat ianya tidak tepat, kerana rakyat mengadili kebertanggungjawaban dan pembelaan daripada seseorang wakil rakyat. Fikir-Fikirkan.

No comments:

Post a Comment