Tuesday, February 27, 2024

KERAJAAN PERLU HENTIKAN KERISUAN RAKYAT

MUNGKIN di mata kerajaan tidak ramai rakyat risau berkaitan keadaan ekonomi negara dan beranggapan semuanya dalam kawalan.

Mereka yang membangkitkan berkaitan ekonomi, kemudian dikaitkan dengan kos sara hidup, dikategorikan sebagai “haters” atau pembangkang maka tidak dianggap mewakili rakyat.

Sebab itu ada pemimpin penyokong kerajaan mempersalahkan pembangkang berkaitan penyusutan nilai ringgit, kerana angkara pembangkang, pelabur asing hilang keyakinan terhadap negara dan negara asing tidak melanggan produk negara.

Selepas sahaja dakwaan pemimpin itu, Perdana Menteri mengumumkan jumlah pelaburan yang diluluskan terbesar dalam sejarah negara iaitu RM329.5 bilion pada tahun lalu, kadar KDNK 3.7%, kadar inflasi 1.5%, dengan sendirinya membawa erti dakwaan pemimpin penyokong kerajaan itu (daripada Sabah yang terkenal dengan pemimpin pembodek) adalah tidak benar, kerana nilai ringgit tetap menyusut walaupun pelaburan masuk tinggi.

Penyusutan nilai ringgit nampaknya tidak kena mengena dengan pelaburan, inflasi atau KDNK, akan tetapi atas faktor permintaan dan penawaran. Permintaan terhadap ringgit lemah di luar negara, kerana permintaan tertumpu dalam negara, kerana kedudukan ekonomi negara yang bergantung pada “domestic consumption’.

Apabila ekonomi negara bergantung pada “domestic consumption” jelas tidak mendokong nilai mata wang sesebuah negara. Kerana faktor ini, maka nilai ringgit terus menyusut berbanding mata wang asing terutama USD, sejak tahun 80-an lagi.

Apabila perekonomian negara bergerak berorentasi export, dibantu dengan kedatangan pelancong asing, pelaburan asing, dan diimbangi dengan penurunan import maka dengan sendirinya nilai ringgit akan mengukuh. Ertinya, nilai ringgit bergantung pada kitaran ekonomi, bukan sentimen politik, walaupun kesannya tidak dinafikan, terutama apabila tiada kestabilan politik atau dalam keadaan perang.

Apa yang perlu dibuat kerajaan pada masa sekarang adalah memberi penjelasan kepada rakyat kesan tindakan kerajaan dalam jangka panjang, bahawa kehidupan rakyat akan lebih baik, kerana menerusi tindakan kerajaan hari ini, ibarat berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

Seperti mana tindakan Thailand dan Korea Selatan semasa krisis mata wang asia pada tahun 1998, dua negara itu menggunakan pendekatan merasakan pahit dahulu, manakala Malaysia tidak, dengan menambatkan nilai ringgit terhadap USD, kesannya hanya pada masa ini dirasai rakyat negara ini, seolah-olah teori ekonomi berkaitan faktor-faktor yang mempengaruhi naik turun nilai mata wang tidak tergunapakai.

Pendapat penulis, kejatuhan nilai ringgit tidak berkaitan sepenuhnya dengan pemimpin dan politik akan tetapi sebahagian besar bergantung pada fundamental perekonomian negara.

No comments:

Post a Comment