Wednesday, August 02, 2023

PRN 6 NEGERI TIDAK MENGUBAH KERAJAAN PERSEKUTUAN

DENGAN berkuatkuasanya Undang-Undang Anti Lompat, maka tidak timbul lagi lompat parti oleh mana-mana wakil rakyat.

Kerajaan Persekutuan yang ada pada hari ini mempunyai sokongan 2/3 yang terdiri daripada ahli-ahli parlimen daripada 19 parti.

Masing-masing blok komited mempertahankan kerajaan sehingga tamat penggal ke-15, iaitu sehingga 18 Disember 2027.

Sempena PRN 6 negeri yang membabitkan 9.7 juta pengundi, kalau tidak semua pun tahu, akan tetapi majoriti tahu, apapun keputusan PRN ini tidak mengubah status quo kerajaan Persekutuan.

Pada PRN kali ini, hanya mahu dilihat sekuat mana PH/BN di kawasan-kawasan orang melayu, dan apa kah sokongan orang melayu pada PN pada PRU15 masih kekal.

Pada masa yang sama juga, parti seperti Umno mahu melihat apa kah parti itu masih mempunyai pesona di kalangan orang melayu, kerana terbukti menerusi dua PRU, parti itu hampir ditolak sepenuhnya oleh kaum yang menjadi asas kepada parti itu.

Pada PRN kali ini Umno bertanding 108 kerusi kawasan-kawasan melayu, sebahagian besarnya di Kelantan 31/45; Terengganu 27/32; Negeri Sembilan 17/36; Kedah 15/36; Selangor 12/56 dan Pulau Pinang 6/40.

Kemenangan Umno di kerusi-kerusi yang ditandingi menggambarkan sokongan orang melayu pada parti itu.

Masa depan sesebuah parti, apabila kaum yang dijadikan asas perjuangan terus menyokong parti itu, jika sebaliknya, seperti fitranya matahari, akhirnya terbenam.

Sebesar/segagah manapun parti, jika parti itu menunju parti matahari terbenam, maka demikian lah fitranya, seperti mana berlaku pada Parti Golkar (Golongan Karya) Indonesia, yang berdekad-dekad bukan sahaja parti terbesar akan tetapi berkuasa di Indonesia, apabila hilang kuasa, walaupun masih kekal sebagai sebuah parti, akan tetapi tidak dapat mengembalikan era kegemilangan.

Ada orang mengandaikan, apabila sesebuah tamadun runtuh, maka berakhirlah tamadun itu, walaupun masih ada penerus, tetapi sukar kembali pada era kegemilangan. Akan benar kah andaian ini pada senario UMNO?

Jika menerusi PRN 6 negeri, sekurang-kurangnya 60% daripada 108 kerusi yang ditandingi boleh dimenangi, maka ianya tanda-tanda sinar kebangkitan, sekali gus menolak berbagai andaian dan rekod lampau yang berkaitan tamadun. Pertanyaannya mungkin kah? jika berpandukan pada PRU15, Umno sedang melalui jalan berliku/terjal, kalau pun seandainya menang separuh daripada kerusi yang ditandingi kerana ikhsan pengundi bukan melayu penyokong PH.

Pun demikian, dalam politik itu boleh berlaku berbagai kemungkinan. Siapa tahu, kerana kesan penjajaran baharu politik pasca PRU15, maka senario politik tanah air berubah, termasuk lah kebangkitan semula UMNO??  Sama-sama kita tunggu apa kesudahan selepas undi dikira pada petang 12 Ogos.

No comments:

Post a Comment