Wednesday, August 02, 2023

PADA RAKYAT SABAH-JANGAN TERKESAN KEPUTUSAN PRN 6 NEGERI

TIDAK dapat dinafikan bahawa politik Sabah adalah kategori “swing states”, ertinya senario politik boleh berubah sesuai dengan keadaan. Kerana keadaannya demikian, maka Sabah adalah negeri yang paling kerap bertukar kerajaan berbanding negeri-negeri lain.

Ada yang kata, bahawa keputusan PRN 6 negeri pada 12 Ogos tidak membawa kesan pada politik Sabah, kerana adanya anggapan bahawa politik Sabah cenderung pada parti lokal/tempatan.

Hakikatnya, apa kah rakyat Sabah cenderung pada pada parti lokal/tempatan, belum dibuktikan secara signifikan pada mana-mana pilihan raya.

Data pilihan raya yang terkini yang boleh dirujuk adalah PRU15 peringkat parlimen. Kalau jumlah undi yang diterima parti lokal dibandingkan dengan parti nasional secara umum, ianya hampir seimbang, ertinya, citarasa pengundi Sabah masih terbahagi dua.

Berpandukan pada PRU15, jika parti nasional kekal mengambil bahagian pada mana-mana pilihan raya, maka citarasa rakyat Sabah ada kemungkinan akan sama.

Bukan mudah bagi mana-mana parti lokal/tempatan mengambil pengundi parti nasional, apa tah lagi, jika parti itu dilihat kuat di Semenanjung.

Pemimpin Sabah yang merupakan pemimpin Parti Nasional di peringkat negeri, bukan calang-calang orangnya. Pengaruh mereka hampir sama dengan pemimpin yang memimpin parti lokal. Mereka mungkin hanya boleh dibezakan oleh rakyat, itu pun bergantung pada citarasa rakyat.

Kena terima hakikat, antara parti lokal pun, hanya dibezakan oleh citarasa rakyat. Atas sebab itu, di Semporna dan Lahad Datu, cita rasa rakyat kawasan itu adalah pada salah seorang pemimpin lokal, iaitu Datuk Seri Shafie Apdal. Atas sebab itu, apabila parti lokal lain bertanding di kawasan itu, walaupun dapat undi, tetapi tidak dapat diterjemahkan pada kerusi, kerana citarasa pengundi di kawasan-kawasan itu adalah pada Shafie menerusi parti Warisan.

Demikian juga halnya semasa PRU15, di Parlimen Beluran, kerana citarasa pengundi kawasan itu pada Datuk Ronald Kiandee, maka kemenangan berpihak pada Pengerusi Bersatu Sabah itu, walaupun dikeroyok oleh pemimpin parti nasional dan lokal.

Pada PRU15, calon-calon yang menang berasaskan undi popular adalah seperti berikut: Tenom (35%); Beaufort (36.1%); Kudat (36.2%); Sepanggar (38.4%); Beluran (38.5%); Tawau (39.2%); Putatan (39.4%); Kimanis (41.9%); Keningau (42.2%); Tuaran (42.8%); Batu Sapi (44.9%); Kota Belud (46.5%); Lahad Datu (46.6%); Kalabakan (47.7%); Kota Marudu (48.7%); Sipitang (49.8%); Libaran (51.6%); Papar (52.0%); Pensinagan (52.9%); Ranau (53.4%); Sandakan (53.9%); Penampang (57.3%); Kinabatangan (57.4%); Kota Kinabalu (71.1%) dan Semporna (73.8%).

Kawasan-kawasan yang dimenangi di bawah 40% undi popular, adalah kawasan-kawasan yang dikategorikan kawasan “swing” kerana boleh dimenangi oleh mana-mana parti. Manakala kawasan yang dimenangi dengan undi popular di atas 40%, boleh dianggap wilayah sesebuah parti atau parti penyandang.

Berpandukan pada keputusan PRU15, daripada 25 kawasan parlimen, 13 dimenangi parti Nasional, dan 12 oleh parti lokal. Menerusi keputusan ini, justeru, membuktikan bahawa citarasa rakyat Sabah jelas masih terbahagi dua.

Sejauh mana citarasa ini boleh diubah oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS)? Hanya boleh dibuktikan pada PRN17 Sabah.

Penulis dapati, PGRS salah satu komponen GRS, begitu aktif mempromisikan peri mustahaknya rakyat Sabah di bawah naungan parti lokal/tempatan, kerana menerusi parti sedemikian mampu menterjemahkan (to leave no stone unturned) setiap kehendak/hak rakyat Sabah berbanding parti import, walaupun parti import itu dipimpin rakyat Sabah.

Hakikatnya para pemimpin parti lokal/tempatan yang kini bersama GRS, mempunyai pengalaman bersama-sama dengan parti import. Justeru menerusi pengalaman itu, maka mereka memilih parti lokal/tempatan sebagai platform perjuangan dalam politik demi rakyat dan negeri.

Penulis yakin para pemimpin veteran yang memimpin parti nasional di Sabah mengetahui kekurangan platform perjuangan politik mereka apabila dihubungkaitkan dengan hak-hak/kepentingan Sabah. Mereka sedar berdekad lamanya, isu-isu geran khas, bayaran balik 40% hasil bersih Persekutuan daripada Sabah hanya sebagai catitan dalam Perlembagaan/MA63.

Di masa lalu, bukan mudah mendapatkan sebahagian perniagaan minyak dan gas, kerana dimonopoli oleh syarikat minyak negara PETRONAS. Berdekad lamanya, Sabah terpaksa berpuas hati dengan bayaran 5%. Mengapa? kerana para pemimpin Sabah masa itu adalah sebahagian daripada parti nasional, yang terpaksa akur dengan hierarki kepimpinan dalam parti.

Cuba bayangkan, di masa lalu, cukup mudah bagi pucuk pimpinan parti menukar/menganti/menggugurkan Pengerusi Perhubungan, walaupun pemimpin berkenaan, masih idola rakyat Sabah.

Apabila Sabah diterajui parti lokal/tempatan, maka hanya pemimpin/rakyat Sabah sahaja yang boleh mengubah/menukar/mengganti pucuk pimpinan.

Pengalaman para pemimpin Sabah yang dahulunya bersama parti import dan kini memilih parti lokal/tempatan, mengajak rakyat Sabah untuk sama-sama bernaung di bawah platform parti lokal/tempatan, kerana ianya lebih memberi manfaat pada rakyat dan negeri.

Selain itu rakyat Sabah diajak, agar menentukan hala tuju politik sendiri, dan perlu melepaskan diri daripada pengaruh parti nasional, walaupun apapun pencapaian parti-parti itu sempena PRN 6 negeri, kerana perlu mengambil iktibar pada situasi yang lalu-lalu, yang menjadi punca hak-hak/kepentingan rakyat dan negeri tertangguh/terabai berdekad lamanya.

No comments:

Post a Comment