Sunday, August 13, 2023

KEPUTUSAN PRN 6 NEGERI- TERSERLAH BLOK BORNEO KING MAKER POLITIK NEGARA

SEPERTI yang dijangka, status quo kerajaan dalam enam negeri yang terlibat pilihan raya pada 12 Ogos masih kekal. Tapi ada beberapa dapatan penting bila membandingkan keputusan PRN 2018 dan 2023.

PN menunjukkan kecenderungan peningkatan di semua negeri. Sebaliknya pencapaian PH dan BN menurun di semua negeri.

Pengecualian hanya di Pulau Pinang, yang mana BN kekal 2-2; dan PH menganjak daripada O kepada 1 di Kelantan. Tapi ini sekadar gegaran kecil, yang tidak signifikan.

Dari segi kuasa majoriti DUN, empat negeri kekal status quo, dan dua negeri berubah. Kerajaan sedia ada di Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang masih mengekalkan kuasa 2/3.

Kedah, dari sekadar majoriti mudah sebelumnya, kali ini berjaya mendapat majoriti 2/3; manakala Selangor pula kehilangan majoriti elusif itu.

Maksudnya, semua tiga kerajaan negeri di bawah PN kini berstatus majoriti 2/3, tetapi di bawah PH-BN, hanya ada dua negeri.

Secara keseluruhan, PN menunjukkan prestasi positif dengan kenaikan positif 67.8%, daripada 87 kerusi (2018) kepada 146 kerusi (2023).

PH menurun sebanyak  negatif 30.4% (dari 115 kerusi kepada 80); dan BN merudum ke paras negatif 55.8% (dari 43 kepada hanya 19).

PN menyapu bersih 32 kerusi di Terengganu. Sepanjang kehangatan PRN, negeri ini paling sedikit diberi liputan media arus perdana. Tapi akhirnya menawarkan plot paling dramtik dan mengejutkan.

Situasi iklim politik ini menampakkan dengan jelas kewujudan fenomena tanpa diduga/dijangka.

Iklim politik Malaysia, sejak peristiwa tsunami 2018, semakin tidak menentu. Segalanya boleh berubah secara drastik dalam sekelip mata. Usah terlalu takjub pada gelombang gigantik. Jangan juga meremeh-remehkan riak terpencil.

Kuasa angin itu di jari rakyat yang kian insaf, bukan lagi di tangan politikus yang berduit. Tiupan angin bisa berkias arah tanpa amaran, bila-bila masa. Riak boleh saja bertukar gelombang atau sebaliknya, secara tiba-tiba.

Kenapa? Kerana kelompok “atas pagar” semakin bertambah besar, dan hanya 5-10% pada awal milenia, kepada 35-45% pada ketika ini. Pendirian kumpulan ini sangat anjal dan lentur; mampu menjungkir-balik lanskap politik tanpa disangka-sangka.

Ketidaktentuan iklim politik ini, sebenarnya bagus untuk negeri-negeri marginal, khususnya dari wilayah Borneo. Perlawanan tiga penjuru yang sengit, memecahkan monopoli ketuanan federal. Jadi tiada ada mana-mana entiti yang mampu memegang kuasa dominan secara tunggal.

Maka, blok Borneo tidak lagi boleh dibuli sebagai “fixed deposit”. Blok ini sekarang perlu dihormati sebagai “king maker” yang tidak boleh dipandang enteng oleh mana-mana pihak, yang memegang tampuk kuasa kerajaan pusat.

No comments:

Post a Comment