Sunday, August 13, 2023

KEPUTUSAN ORANG MELAYU- HANYA GELOMBANG BUKAN TSUNAMI

GELOMBANG orang melayu pada PRN 6 negeri memang cukup kuat menghayun PH/BN akan tetapi belum bertukar tsunami.

Apa yang dapat dilihat menerusi pilihan raya 6 negeri, orang melayu bersatu menerusi Perikatan Nasional (PN) manakala bukan melayu pada PH khususnya parti DAP.

Gelombang melayu yang diterjemahkan menerusi PN, hanya mampu menang 5 kerusi di Negeri Sembilan (daripada kosong), mengenepikan kuasa 2/3 PH di Negeri Selangor (daripada super majority keputusan PRU14), “inroad” di Pulau Pinang apabila menang 11 kerusi, knock out (KO) kan Umno di Kedah dan Terengganu, dan menTKOkan Umno di Kelantan.

Betul PRN kali ini mengekalkan status quo, akan tetapi PH/BN dalam mempertahankan status itu terpaksa membayar harga yang tinggi.

PN Pemenang

Mengapa PN dikatakan pemenang? Di Negeri Sembilan daripada kosong, menang 5 kerusi, di Selangor berjaya menafikan kuasa 2/3 PH/BN; di Pulau Pinang menambah jumlah kerusi; di Kedah dan Kelantan, hampir menang mutlak, manakala di Terengganu, tercipta sejarah, Umno kosong, sekaligus, kosong pembangkang baik DUN mahupun kawasan parlimen.

Secara sepintas undi popular PN jika dibandingkan antara PRU15 dan PRN2023 terus meningkat di semua 6 negeri. Kedah ( 54.7% ke 68.9% naik 14.2%); Kelantan (63.7% ke 69.2% naik 5.5%); Terengganu (62.% ke 68.4% naik 6.0%); Pulau Pinang (24.0% ke 32.6% naik 8.6%); Selangor (27.5% ke 37.8% naik 10.3%) dan Negeri Sembilan (22.0% ke 37.7% naik 15.7%).

Daripada 245 yang dipertandingkan PN menang 146 kerusi (59.6%), manakala PH/BN 99 kerusi (40.4%).

UMNO Paling Terjejas

Walaupun berjaya menyumbang 14 daripada 31 kerusi di Negeri Sembilan, ternyata gagal membantu Gabungan di Kedah, Kelantan dan Terengganu, malah, parti itu kalah teruk, Kedah (0/15); Kelantan (1/31), Terengganu (0/27).

Asakan pemimpin PH/BN terhadap Menteri Besar Kedah, terutama daripada Datuk Saifuddin Ismail Nasution dan PMX, malah Grand Finale PH/BN diadakan di Kedah, tidak membantu, malah PH/BN tidak dapat mempertahankan DUN Derga di Kedah.

Dalam PRN kali ini, julungkalinya Umno dimalukan di Terengganu, apabila tidak menang sebarang kerusi.

Prestasi buruk Umno, walaupun dilihat kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden tercabar, akan tetapi seperti mana pendapat Khairy Jamaluddin Abu Bakar, tidak akan berkesan pada Timbalan Perdana I Kerajaan Perpaduan tersebut. Malah, reaksi awal Presiden Umno itu selepas keputusan diumumkan, inilah masanya memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan. Menerusi reaksi awal itu, tidak pun merasa apa-apa kebimbangan.

Berkesan kah Keputusan PRN 6 Negeri pada Kerajaan Perpaduan?

Oleh kerana Kerajaan Perpaduan ditentukan oleh ahli parlimen, keputusan PRU15, maka, di atas kertas, keputusan pilihan raya ini tidak berkesan, walaupun mengwujudkan persepsi legitimasi moral.

Selain legitimasi moral, kemerosotan sokongan terhadap Umno juga merupakan tamparan kepada kerajaan Perpaduan, dan membuka persoalan kerjasama PH/BN di peringkat nasional.

Dengan Putrajaya dipertaruhkan, PH mungkin menyerahkan jawatan menteri besar di Negeri Sembilan kepada Umno untuk menenangkan mereka dan berterima kasih kepada mereka kerana memenangi negeri itu.

Tetapi, jangan lupa, dalam politik itu boleh berlaku banyak kemungkinan, kerana PN dengan 5 kerusi, mempunyai potensi bersama Umno membentuk kerajaan dengan majoriti mudah (14+5=19), majoriti mudah bagi Negeri Sembilan 19/36.

ACID TEST Umno bersama PH terbukti ditolak rakyat, tidak seperti mana berlaku semasa Umno bersama Muafakat Nasional (MN), pasca PRU14.

Jika pemimpin Umno membandingkan antara dua kerjasama itu, jelas, masa depan parti itu bersama MN, bukannya dengan PH.

Jika berlaku, kerjasama Umno/PN di Negeri Sembilan, ianya boleh menjadi pemudah cara kerjasama di Peringkat Persekutuan. Zahid terpaksa berkorban, demi menyelamatkan lebih 3 juta ahli Umno, daripada terus terkubur.

Jika Zahid berkorban, dengan menukar sokongan, maka berkemungkinan pada PRU16, Umno akan kembali gah dalam politik tanah air.

Sifir sangat mudah bagi Zahid, ketepikan ego dan kedudukan, utamakan parti. Presiden Umno itu perlu akur dengan kaum yang melandasi parti Umno. Perlu melihat, bagai mana sokongan kaum melayu pada parti merosot dengan teruk.

Untuk menyelamatkan Umno, tiada cara lain bagi Zahid, melainkan kembali pada Muafakat Nasional (MN), seperti pantun Ahli Parlimen Bachok, Syair Che Sulaiman RUH RUH NEH NEH buang yang keruh ambil yang jernih.

Betul Umno masih berkuasa di Johor dan Melaka, Menteri Besar di Perak dan Pahang (atas ikhsan PH) dan mungkin di Negeri Sembilan akan tetapi tidak boleh mengenepikan kehilangan tapak di Selangor, Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Umno sebagai parti keramat orang melayu, tidak boleh dibenarkan terkubur begitu sahaja, dan yang menguburkannya adalah pemimpin parti itu sendiri.

Betul parti yang melawan Umno, khususnya parti-parti yang bermain di kolam yang sama bertempik, kerana parti saingan semakin malap, akan tetapi tidak boleh mengenepikan akar umbi parti itu yang berdekad bersama parti itu.

Umno yang mempunyai lebih 3 juta ahli, adalah sebahagian orang melayu, yang juga patut disertakan dalam arena politik negara. Jangan kerana tindakan pemimpin parti yang penuh dengan kontraversi, maka membawa bersama-sama terkuburnya seluruh ahli/akar umbi.

Para pemimpin yang dalam Umno, perlu bertindak, tidak perlu menunggu kemusnahan pada parti, seperti kata peribahasa terantuk baru terngadah.

Walaupun terlambat bertindak, tetapi bukan titik noktah. Peluang dan ruang terbuka luas, untuk mengembalikan Umno pada persada politik tanah air.

Bagi Umno perlu memilih rakan parti yang boleh sama-sama melangkah ke hadapan dengan penuh gagah dalam politik tanah air. Umno tahu apa yang perlu dibuat, hanya TEPUK DADA TANYA SELERA.

No comments:

Post a Comment