Tuesday, August 15, 2023

ISU GRS BERTANDING 73 DUN SABAH

SETIAP parti mempunyai matlamat untuk menang sebanyak mungkin kerusi. Untuk mencapai misi itu maka caranya bertanding banyak kerusi.

Tetapi kena ingat, senario politik yang digunapakai dalam negara, tiada parti yang berdiri secara tunggal untuk menang sejumlah kerusi yang diperlukan, melainkan sokongan berbagai parti atas asas atau pertimbangan, kemenangan itu boleh dicapai atas usaha berkumpulan.

Kerana berkumpulan itu satu kekuatan, maka parti-parti yang terlibat perlu menerima hakikat, semakin sedikit ruang bagi setiap parti, kerana perlu berkongsi kuasa dengan rakan-rakan.

Saranan/cadangan/pendapat Presiden SAPP- Datuk Yong Teck Lee agar GRS mempertimbangkan bertanding 73 DUN Sabah, ertinya semua DUN, pada hakikatnya berkaitan peluang/ruang bagi 7 parti komponen itu mendapat agihan kerusi untuk ditandingi.

Memang secara tersirat, cadangan Teck Lee itu, ada hubungkait dengan parti SAPP dan LDP, atas sebab, dua parti itu, “tiada kawasan” untuk ditandingi, jika merujuk pada parti-parti yang menyokong Kerajaan GRS PLUS.

Penulis yakin pucuk pimpinan GRS selain bermatlamat menang sebanyak mungkin kerusi, juga kerajaan yang ditubuhkan bukan sahaja kuat/kukuh akan tetapi stabil.

Kestabilan terwujud, bukan sahaja dilihat pada majoriti DUN adalah sebahagian daripada kerajaan akan tetapi para ADUN itu mewakili semua kaum.

Dalam konteks Sabah, mungkin sebahagian besar pemimpin GRS termasuk juga Teck Lee atau pemimpin LDP, di kawasan majoriti kaum cina, dalam senario politik era ini, tiada mana-mana parti boleh menang, selain DAP atau PKR.

Jika demikian apa signifikannya GRS bertanding 73 kerusi, termasuk 6 kerusi majoriti kaum cina (satu telah melompat pada Parti Warisan) yang disandang DAP dan PKR? Sedangkan jelas, keputusan akhirnya dimenangi dua parti itu.

Bukan kah lebih manis, setiap ADUN/penyandang yang menyokong GRS PLUS perlu dikekalkan, dan mengagihkan kerusi sesuai kekuatan pada kerusi-kerusi yang disandangkan pihak lawan. Menerusi pendekatan ini, selain menjadikan kekuatan “intake” juga memberi ruang besar untuk merampas kawasan-kawasan yang dikuasai pihak lawan.

Penulis mengerti kebimbangan Teck Lee, jika status quo kekal, maka parti itu tidak mempunyai kawasan untuk ditandingi, yang sepatutnya kebimbangan itu tidak perlu timbul jika menerima bahawa matlamat kerajaan yang dibentuk itu kuat/kukuh dan stabil.

Penulis melihat cadangan/saranan Teck Lee itu hanya berupa lontaran pendapat atau “testing the water’.

Betul juga, sebaik sahaja saranan/cadangan itu dilaporkan media, reaksi segera daripada Setiausaha DAP Sabah meminta pucuk pimpinan GRS memberi penjelasan.

Untuk meredakan keadaan, Ketua Penerangan PGRS (Gagasan Rakyat) salah satu komponen GRS- Datuk Nizam DSP Abu Bakar Titingan membuat hibahan media, bahawa setakat ini, tiada perbincangan berkaitan agihan kerusi bagi menghadapi PRN17 Sabah, kerana kerajaan GRS PLUS di bawah pimpinan Ketua Menteri- Datuk Seri Hajiji Haji Noor mengutamakan melaksanakan janji-janji pilihan raya, selain merealisasikan visi Sabah Maju Jaya (SMJ) 2025.

Menurut Nizam kerajaan negeri selain kukuh akan tetapi juga stabil, ekoan sokongan 7 ADUN Pakatan Harapan, yang telah membantu menggagalkan “Langkah Kinabalu” pada 6 Januari 2023.

Secara umum, meneliti hibahan media Nizam, boleh diterjemahkan, bahawa kerajaan GRS PLUS yang diterajui Hajiji, bukan lah kerajaan seperti kacang lupakan kulit. Kerajaan GRS menyanjung tinggi kepada kesetiakawanan dan saling menghormati serta kepercayaan.

No comments:

Post a Comment