Wednesday, July 12, 2023

SEJAUH MANA KESAN PRN 6 NEGERI PADA POLITIK SABAH?

APA yang menakutkan mana-mana parti politik, apabila kehendak parti tidak sealiran dengan kehendak rakyat.

Menjengah keputusan pilihan rakyat yang lalu-lalu, misalnya, di Selangor, pada PRU tahun 2004, Umno/BN menang besar, akan tetapi, hilang kuasa pada PRU tahun 2008.

Demikian juga pada PRU14, Umno/BN hilang kuasa selepas lebih 60 tahun menerajui negara.

Oleh kerana keputusan rakyat itu sukar diramal, walaupun, parti-parti boleh menjangka menerusi jentera,jumlah ahli, akan tetapi, keputusan sebenar kekal teka teki.

Demikian juga pada PRN 6 negeri yang bakal diadakan pada 12 Ogos ini. Walaupun masing-masing blok parti yang mengambil bahagian, yakin menang, tetapi, kekal sahaja dengan teka teki.

Walaupun keputusan PRN di 6 negeri tidak mengubah Kerajaan Persekutuan, akan tetapi sedikit sebanyak berkesan di negeri-negeri yang bakal mengadakan PRN selepas ini. Negeri yang terdekat mengadakan PRN ada lah Sabah, kemudian disusuli Sarawak.

Walaupun parti yang memerintah Negeri Sabah bukan blok parti yang terlibat pada PRN 6 negeri ini, akan tetapi, parti politik yang mempunyai tapak di Sabah turut terlibat.

Apabila parti yang mempunyai tapak di Sabah itu, menunjukkan prestasi atau pencapaian yang baik, sudah tentu, menjadi pendorong kuat untuk bersiang pada PRN Sabah.

Di Sabah, Umno/BN adalah pesaing utama parti yang menerajui kerajaan Negeri- GRS. Sebabnya, kedua-dua parti bermain dalam kolam yang sama, iaitu kawasan bumiputera. Berbeza dengan PH, yang tertumpu pada kawasan bukan bumiputra dan 1-2 kawasan bumiputera yang melibatkan dua komponen parti itu, PKR dan UPKO.

Walaupun Umno hanya bertanding sedikit kerusi di Selangor dan Pulau Pinang, akan tetapi diberikan kerusi terbanyak di Kedah, Kelantan dan Terengganu termasuk mungkin di Negeri Sembilan.

Jika Umno menang sebahagian besar kerusi yang ditandingi, maka parti itu boleh mendakwa, telah pulih dan bangkit.

Keputusan demikian, akan membakar semangat pemimpin dan ahli Umno Sabah yang berjumlah lebih setengah juta selain mempertahankan kerusi yang disandang juga akan cuba merampas kawasan-kawasan tradisi parti itu, yang kini disandang samada oleh parti GRS ataupun Parti Warisan.

Jelas, apabila Umno menang banyak kerusi pada PRN 6 negeri ini, maka persaingan sengit akan berlaku pada PRN17 Sabah, berbeza andaikata PN menang.

Pada PRN17 Sabah nanti, sokongan rakyat Sabah bakal diuji, samada memilih parti lokal/tempatan atau blok parti nasional. 

Hakikatnya parti mana yang diberi mandat, tidak merugikan rakyat, atas sebab- dua-duanya juga sebahagian kerajaan Persekutuan.

Apa yang menjadi pertimbangan rakyat, ada lah pengalaman. Rakyat Sabah mempunyai pengalaman menyokong parti nasional.

Kerana pengalaman itu, menjadi asas perubahan apabila ada kecenderungan pada parti lokal/tempatan sebagai satu kekuatan bersama dengan GPS Sarawak dalam blok Borneo.

Jika kecenderungan pengwujudan blok Borneo kekal, maka apapun keputusan PRN 6 negeri tidak mempengaruhi politik Sabah secara signifikan.

Kedudukan politik Sabah berbeza sedikit dengan Sarawak, kerana di Sarawak hanya PH yang bersaing dengan GPS, bagi parti-parti yang menyokong Kerajaan Perpaduan, manakala di Sabah  GRS bersaing selain PH juga Umno/BN dan juga Parti Warisan.

Apapun senario politik, semuanya terpulang kepada rakyat Sabah dan Sarawak, apakah mahukan dua wilayah itu menjadi blok poiltik menerusi parti lokal/tempatan yang menjadi sebahagian daripada peneraju kerajaan di Peringkat Persekutuan.

No comments:

Post a Comment