Sunday, July 16, 2023

PELAJAR CEMERLANG STPM-TIADA ISU MENERUSKAN PELAJARAN

SEORANG pelajar perempuan SMK Tun Puad Stephens, Kiulu, yang mendapat keputusan cemerlang 4.0 peperiksaan STPM bagi tahun 2022, adalah sebahagian daripada 75 pelajar yang mencapai gred yang sama di Sabah.

Kisah Adik Arnie Jaliusih menjadi ‘Trending” bukan kerana keputusan yang dicapai, akan tetapi lebih pada latar belakang ibu-bapa pelajar ini, yang terpaksa meminjam wang daripada warga kampung, yang jumlahnya tidak seberapa, hanya sebanyak RM120, untuk digunakan sebagai sewa kereta,untuk sampai ke Kota Kinabalu, untuk menemani anak mengambil keputusan.

Kisah adik Arnie, menunjukkan, bahawa kemiskinan bukan penghalang untuk mencapai keputusan cemerlang, sehinggakan Timbalan Ketua Menteri 1 Sabah- Datuk Dr Jeffery G Kitingan menyatakan, jika adik Arnie adalah anak yang berkemampuan, kemungkinan pencapaiannya lebih hebat lagi.

Di negara ini, ada dua peringkat mengukur pencapaian pelajar, iaitu di peringkat SPM dan STPM. Mereka yang tidak cemerlang di peringkat SPM, diberi peluang pula di peringkat STPM.

Memandangkan keputusan 4.0 STPM (setara A-Level) adalah keputusan tertinggi yang boleh dicapai, maka meneruskan pelajaran, bukan isu di negara ini, atas sebab terdapatnya berbagai sumber untuk menjadi penyaja.

Di Sabah sahaja, ada biasiswa kerajaan negeri, ada Yayasan Sabah, di peringkat Persekutuan ada Biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amana Rakyat (MARA), atau setidak-tidaknya ada PTPTN.

Pengalaman penulis, anak-anak yang mencapai keputusan cemerlang, terpaksa memilih penyaja, kerana menerima tawaran lebih daripada satu sumber.

Pendapat penulis, keputusan cemerlang seseorang pelajar, tidak semestinya, kerana latar belakang keluarga, akan tetapi sangat terletak pada pelajar itu sendiri dan guru-guru yang mendidik di peringkat sekolah.

Jangan dilupakan juga, bakat semulajadi pada seseorang, adalah faktor yang boleh membuatkan seseorang itu mencapai keputusan cemerlang, walaupun ada peribahasa, belakang parang kalau terus diasah akan menjadi tajam juga.

Jika berpandukan pada pengalaman penulis, faktor utama, punca seseorang pelajar boleh mencapai keputusan cemerlang, kerana kesadaran semulajadi daripada awal untuk menjadi cemerlang. Dengan kesadaran awal ini, maka apapun bentuk kekurangan tidak menghalang untuk mencapai kecemerlangan.

Memang betul, jika seseorang pelajar daripada keluarga berkemampuan, halangan daripada segi keperluan, termasuk makanan bergizi, berkualiti, atau keperluan gaya hidup bukan masalah, tetapi tiada jaminan boleh mencapai keputusan cemerlang.

Di negara ini, termasuk di Sabah, setiap sekolah disediakan asrama. Di asrama disediakan makan minum yang berkualiti. Bagi pelajar daripada golongan B40 atau lebih rendah daripadanya, akan diberi peluang untuk tinggal di asrama.

Ertinya, daripada awal sistem pendidikan negara, memberi peluang pada mana-mana pelajar yang berkemauan/berbakat untuk meneruskan proses belajar, sehingga ke tahap yang tertinggi.

Hakikatnya, walaupun kemiskinan keluarga dijadikan penghalang bagi anak-anak mereka mencapai keputusan baik dalam pelajaran, bagi pandangan penulis tidak sepenuhnya benar, kerana sistem pendidikan negara, memberi peluang seluas-luasnya bagi setiap pelajar mencapai kecemerlangan.

Bagi pandangan penulis, adik Arnie, adalah sebahagian produk sistem pendidikan negara ini. Maknanya, jika setiap pelajar yang diberi peluang, memanfaatkan peluang yang diberikan, maka ribuan pelajar seperti adik Arnie,bukannya 75!!!, kerana untuk tahun 2022 di Sabah, seramai 7,001 pelajar yang menduduki peperiksaan STPM.

No comments:

Post a Comment