Tuesday, July 18, 2023

MA63: SABAH TIDAK AKAN LEPASKAN HAK- MASIDI

KERAJAAN Sabah tidak sama sekali berkompromi atau menyerahkan haknya yang sudah termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia termasuk kelayakan pemberian khas mengikut Artikel 112C dan Seksyen 2 Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

Berasaskan peruntukan itu menyediakan satu formula dan semakan kelayakan 40 peratus hasil yang dikutip Kerajaan Persekutuan di Sabah.

Menurut Masidi, perkara ini perlu diperjelaskan secara menyeluruh agak tiada pihak yang terkeliru terhadap dakwaan tidak berasas yang mengatakan bahawa kerajaan negeri sudah melepaskan haknya berhubung pemberian khas ini.

Menurut Menteri Kewangan itu, bahawa kerajaan negeri tidak melepaskan sebarang hak perlembagaannya berhubung penyelesaian interim yang dibuat pada 2022, sepertimana dakwaan seorang pemimpin Parti Warisan- Assaffal @Samsul Kamal bin P. Alian, kononnya tuntutan Sabah berhubung 40 peratus hasil dikutip Kerajaan Persekutuan di negeri ini terhapus dengan penerimaan pemberian khas RM125.6 juta pada tahun 2022.

Masidi menegaskan penerimaan bayaran interim sebanyak RM125.6 juta yang meningkat daripada RM26.7 juta sebelum ini tidak menjejaskan hak kerajaan negeri.

Perlu diingat, walaupun kerajaan negeri bersetuju menerima bayaran interim, akan tetapi mengekalkan hak untuk menuntut apa yang belum dipenuhi oleh Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan semakan Perlembagaan setiap lima tahun sekali sejak 1974.

Masidi seterusnya berkata, jika kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan selepas rundingan, maka perkara itu akan dirujuk kepada penilai bebas seperti diperuntukkan di bawah Perkara 112D (6) Perlembagaan Persekutuan.

Sabah kekal dengan pendirian bahawa susunan perlembagaan untuk Sabah ini dinyatakan dengan jelas dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan bertarikh 27 Februari 1963.

Hak-hak Sabah itu adalah perkiraan perkongsian hasil yang dipersetujui di antara Negeri Sabah dan Persekutuan yang membawa kepada pembentukan Malaysia pada 1963.

Tiada siapa yang boleh menafikan fakta sejarah ini. Kerajaan Negeri akan sentiasa menegakkan hak perlembagaan negeri.

Isu pengembalian 40 peratus hasil yang dikutip Kerajaan Persekutuan di Sabah adalah antara perkara yang ditekankan Kerajaan Negeri dalam rundingan berkaitan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurut Menteri Kewangan Negeri Sabah itu, beliau yakin Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan akan mencapai penyelesaian yang adil dan saksama terhadap isu yang sudah lama tertunggak itu.

No comments:

Post a Comment