Wednesday, July 26, 2023

DILEMA DAN MASA DEPAN SABAH

SABAH mahu seperti negara lain yang telah maju dan juga dikenali di dunia, telah memikirkan, pada suatu hari menjadi tapak pelancaran satelit. Untuk upaya itu, ada kolaborasi dengan negara yang mempunyai pengalaman berkaitan pelancaran satelit.

Memang kedududukan Sabah yang dekat dengan garis khatulistiwa memungkinkan jarak yang perlu ditempoh roket untuk sampai ke geostationary lebih cepat berbanding tapak pelancaran yang jauh daripada garis khatulistwa.

Selain itu juga Sabah bercadang memindahkan Lapangan Antarabangsa Kota Kinabalu ke Kimanis, kerana mengantisipasi pertumbuhan kedatangan penumpang/pelancong di masa hadapan.

Melihat kepada cadangan-cadangan untuk mencerminkan kemajuan, sehingga ada pihak yang memperlekehnya, kerana kerajaan didakwa tidak mendahulukan yang utama, seperti bekalan air bersih, bekalan elektrik dan jalan-jalan raya dan juga pengangkutan awam.

Untuk maju, sesebuah perekonomian perlu didokong oleh kemudahan asas, sistem pengangkutan yang baik, kerana faktor-faktor ini mendorong aktiviti ekonomi, termasuk kemasukan pelabur.

Singapura maju, bukan kerana adanya hasil bumi, akan tetapi kerana adanya kemudahan asas dan sistem pengakutan yang baik.

Sewajarnya kemudahan asas tidak membebankan rakyat, tetapi sebaliknya di Sabah. Kerana kemudahan asas yang belum mencapai piawaian maka memberi kesan pada kos sara hidup.

Tidak salah berfikiran ke hadapan kerana ianya asas untuk bergerak maju. Pada masa yang sama juga, penyediaan kemudahan asas dan aktiviti yang boleh membantu rakyat meningkatkan pendapatan perlu berjalan seiring.

Penulis terkilan membaca laporan media arus perdana, yang memetik Timbalan Ketua Menteri III negeri yang juga Menteri Kerja Raya, bahawa Jabatan Air hanya dapat menstabilkan bekalan air bagi kawasan-kawasan yang sebelum ini mengalami bekalan kritikal, pada masa yang sama juga, catuan bekalan akan berterusan, mamandangkan peruntukan Kerajaan Persekutuan yang umumkan berjumlah RM320 juta untuk tujuan penyelesaian bekalan air di kawasan-kawasan yang dikenal pasti kritikal, sehingga kini belum diterima.

Penulis pada awalnya, melihat begitu komitednya Perdana Menteri semasa mengumumkan peruntukan itu, maka sepantas itu juga dana itu disalurkan, akan tetapi malangnya, sehingga kini belum terealisasi.

Penulis yakin diperingkat negeri sudah lebih daripada bersedia menggunakan peruntukan itu untuk mengatasi bekalan air bukan sahaja untuk meredakan kritikan pada pentadbiraan negeri, akan tetapi memenuhi keperluan asas rakyat.

Melihat kelambatan diterimanya dana untuk penyelesaian bekalan air itu, penulis bimbang, bayaran geran khas untuk Sabah juga lambat diterima.

Penulis bimbang berkaitan tuntutan bayaran 40% hasil bersih Persekutuan daripada Sabah, jangan-jangan hanya gempak sahaja, sehinggakan rakyat Sabah bagaikan pungguk rindukan bulan.

No comments:

Post a Comment