Friday, January 13, 2023

NOKTAHKAN KOMPLOT JATUHKAN KERAJAAN

CUKUP-CUKUPLAH berkomplot menjatuhkan kerajaan. 

Beri lah rakyat sedikit ruang bernafas dan merasai pembelaan daripada pemimpin yang diberi mandat menerajui kerajaan.

Penekanan penulis, adalah parti yang diberi mandat oleh rakyat membentuk kerajaan, bukannya kerajaan yang dibentuk melalui pintu belakang.

Komplot menjatuhkan kerajaan pada minggu pertama bulan Januari, seolah-olah tekad mereka yang berkomplot mengharungi tahun baharu.

Kegagalan komplot menumbangkan kerajaan, sekurang-kurangnya masih ada wakil-wakil rakyat menghormati kehendak rakyat seperti mana dibuktikan pada PRN-16 Sabah.

Memang betul pada PRN tersebut, keputusan yang diberikan rakyat tiada mana-mana parti memang dengan majoriti mudah,melainkan perlu adanya kombinasi antara beberapa parti.

Memandangkan sebelum rakyat ke peti undi, masing-masing parti yang bertanding telah memberi tahu rakyat, bahawa GRS+BN dan Warisan Plus+PKR adalah kombinasi parti yang bakal membentuk kerajaan jika diberi mandat.

Selepas keputusan diumumkan GRS+BN menandapat 38 kerusi; manakala Warisan Plus +PKR 32; 3 lagi wakil bebas. Dengan keputusan tersebut, maka GRS+BN membentuk kerajaan dan melantik Datuk Seri Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri.

Malangnya, selepas lebih 2 tahun setengah perjalanan kerajaan yang begitu stabil dan produktif, yang dibuktikan menerusi kutipan hasil negeri yang meningkat luar biasa, kemasukan pelaburan ke dalam negeri yang terus meningkat, perealisasian butiran-butiran Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) semakin mencapai puncaknya; selain bayaran geran khas Persekutuan yang berkali ganda; juga pemulihan perekonomian negeri yang semakin membaik daripada negatif kepada positif, walaupun belum mencapai pertumbuhan ekonomi seperti mana sebelum tahun 2018 yang berlegar-legar di atas 8%, akan tetapi pencapaian kerajaan cukup membanggakan, apa tah lagi fokus negeri sangat terarah, kerana adanya visi SABAH MAJU JAYA, akan tetapi 10 plus 2 ADUN lantikan termasuk Timbalan Ketua Menteri, 2 menteri dan 4 pembantu menteri serta pengerusi-pengerusi syarikat berkaitan kerajaan bertindak berkomplot dengan Datuk Shafie Apdal Presiden Parti Warisan pada awal Januari menumbangkan kerajaan. Puncaknya, apabila BN Sabah menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Sabah. Akan tetapi perancangan manusia, tidak semestinya menjadi, kerana tuah rakyat yang menyokong kerajaan masih mengekalkan kerajaan, apabila 4 ADUN Umno plus seorang ADUN parti itu, selain tindakan 4 ADUN DAP, 2 ADUN PKR, seorang ADUN UPKO memilih bersama kerajaan kerana menghormati kehendak rakyat Sabah hasil keputusan PRN negeri.

Kemelut politik Sabah berakhir apabila pada Persidangan Khas DUN Sabah yang membentangkan dua usul Rang Undang-Undang (enakmen) pada 10 Januari, dan usul itu dibentangkan Ketua Menteri, telah mendapat sokongan 44 ADUN daripada 79, ertinya menerusi sokongan tersebut, Ketua Menteri disokong 56% ADUN dalam DUN. Dengan adanya sokongan tersebut tidak timbul lagi berkaitan keabsahan sokongan terhadap kerajaan seperti mana yang masih ditimbulkan oleh pihak pembangkang. Cantiknya, sokongan tersebut dibuat dalam DUN, sokongan tertinggi sesuai dengan Perlembagaan Negeri.

Memang betul, sesuai dengan pandangan beberapa pengamat politik tempatan, kestabilan politik negeri masih belum berakhir, kerana mereka melihat latar belakang politik Sabah yang sentiasa berubah-ubah dari masa ke semasa, kerana penyebab ketidak stabilan bukan sahaja berpunca daripada gerakan pembangkang, juga mereka yang bersama kerajaan, seperti mana rekod sebelum ini.

Akan tetapi, bagi pendapat penulis, daripada 44 yang menyokong kerajaan, adalah terdiri daripada mereka yang teruji dari segi integriti dan prinsip. Makna kata, walaupun dalam politik itu penuh dengan kemungkinan, penulis yakin ke semua 44 ADUN tersebut akan terus konsisten dengan pendirian masing-masing sehingga penggal ke-16 DUN tamat. Menerusi konsistensi tersebut, maka kerajaan dapat menjalankan tugas dengan sempurna untuk merealisasikan visi SABAH MAJU JAYA menjelang tahun 2025. Juga, termasuk Ketua Menteri, tidak perlu lagi gusar berkaitan hilang sokongan, kerana telah memiliki pasukan yang teguh dengan prinsip.

No comments:

Post a Comment