PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhiyiddin Yassin menyifatkan kabinet PM-10 adalah kabinet paling mengecewakan dalam sejarah negara.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menjelaskan tanggap tersebut dibuatnya kerana ada individu yang berdepan dengan 47 pertuduhan di mahkamah dibawa masuk ke kabinet.
Justeru bekas perdana menteri itu mendakwa Anwar sudah menggadai prinsip tatakelola yang baik seperti yang dijaja semasa kempen pilihan raya umum (PRU) lalu dengan menerika kleptokrat.
"Ini adalah barisan kabinet paling mengecewakan dalam sejarah negara apabila seorang yang telah (diarah) membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah dilantik sebagai timbalan perdana menteri.
"Tindakan Anwar ini ibarat menjual maruah negara semata-mata kerana keinginannya menjadi perdana menteri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhyiddin juga sekali lagi menegaskan bahawa kabinet Anwar tidak memiliki sebarang keabsahan untuk berfungsi sebagai badan eksekutif tertinggi negara kerana ditubuhkan "atas penipuan mandat' yang diberikan oleh rakyat Malaysia.
Malam tadi Anwar mengumumkan senarai 28 anggota kabinetnya yang diumumkan kira-kira seminggu selepas dia mengangkat sumpah.
Seperti dijangka perdana menteri ke-10 Malaysia itu melantik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengisi salah satu jawatan terkanan dalam kerajaan iaitu timbalan perdana menteri.
Ahmad Zahid yang kini sedang dibicarakan di mahkamah merupakan watak penting yang membawa BN memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.
Hal itu kerana, walaupun PH menjadi parti yang memenangi kerusi terbanyak, jumlah yang dikumpul gagal mencukupi untuk membentuk majoriti mudah di Dewan Rakyat.
Turut dilantik sebagai timbalan perdana menteri ialah pemimpin kanan Gabungan Parti Sarawak, Fadillah Yusof.
Pada pengumuman itu, Anwar turut memaklumkan yang dia juga akan memegang portfolio sebagai menteri kewangan.
Menurut Muhyiddin tindakan Anwar menerajui Kementerian Kewangan akan menyebabkan pemusatan kuasa dan ia boleh mencetuskan penyelewengan seperti skandal 1MDB.
"Bagaimana rakyat dan pelabur boleh percaya terhadap kepimpinan Anwar apabila beliau ternyata berbohong kepada seluruh dunia mengenai agenda antirasuah, reformasi institusi dan pembelaan nasib rakyat jelata," katanya.
Selain itu, dakwa Muhyiddin, ada ahli parlimen yang dikenali dengan sikap "cauvinis melampau" dilantik menerajui kementerian tertentu dan bakal mengundang kontroversi.
Justeru tambah ahli parlimen Pagoh tersebut, dia menjangkakan dasar bersifat perkauman yang ekstrem akan diperkenalkan di kementerian terbabit.
"Sistem negara kita telah rosak apabila individu bankrap moral dan prinsip boleh dilantik menerajui negara dan yang terpalit dengan jenayah rasuah menganggotai kabinet.
"Rasa tanggungjawab dan belas kasihan terhadap rakyat telah tiada dan rakyat juga hilang percaya terhadap tunggak kepimpinan negara," katanya lagi
5 comments:
Kabinet muhyiddin dulu sampai 72 org ok je.. Hi hi hi
Tak komen teruk ke
Ingat kerajaan perpaduan mhormati hieraki parti yg myertai kerajaan perpaduan. Ph bn gps grs warisan + parti2 lain
Bukan main tebuk tepi.. Naib presiden leh jadi tpm.. Jika anwar buatlah kat bersatu.. Ambil faizal azumu jadi menteri. Apa TS Muhyiddin rasa
Move on lah pn
Post a Comment