Thursday, December 29, 2022

SELEPAS POLITIK STABIL- GILIRAN MAKANAN ATAS MEJA DAN DUIT BELANJA RAKYAT PULA

DALAM tempoh 5 tahun, giliran makanan atas meja dan duit belanja rakyat pula misi kerajaan Perpaduan seterusnya, selepas keadaan politik stabil, seperti mana ditunjukkan semasa UNDI PERCAYA pada Perdana Menteri di Parlimen.

Misi itu sudah tentunya berkaitan peluang-peluang mendapatkan pendapatan, dan memastikan pendapatan cukup untuk menyediakan makanan atas meja untuk diri sendiri dan keluarga.

Cabaran kerajaan off the day berkaitan kos sara hidup, kesan inflasi, dan cuba dirungkai, dengan berbagai cara, walaupun pada peringkat awal ini hanya untuk meredakan kegelisahan rakyat, supaya rakyat melihat kerajaan serius merungkai masalah utama rakyat ini.

Di media-media sosial, bukan sedikit tidak sabar-sabar menanti berbagai formula, selain hujah-hujah sesetengah pemimipin semasa belum menjadi kerajaan, yang menggambarkan mereka ada lampu alladdin, menjawab isu kos sara hidup.

Sedangkan pada hakikatnya, kos sara hidup, sama seperti isu kemiskinan adalah isu “stubborn”. Sesiapa yang berlagak pandai konon dapat mengatasinya, sama seperti kucing bermain dengan ekornya, ertinya hanya syiok sendiri.

Kos sara hidup, boleh diikuti pergerakannya menerusi peningkatan disposible income rakyat; juga melalui mekanisme pasar, yang mana penawaran dan permintaan seimbang, kerana melaluinya, harga ditentukan, yang membolehkan kedua belah pihak dalam keadaan menang-menang.

Selagi berlaku ketimpangan antara penawaran dan permintaan, serta faktor-faktor yang mempengaruhinya tidak seragam, maka selagi itu lah berlaku ketimpangan, yang kelihatan seperti kenaikan harga, kerana penjual/pembeli semacam tiada pilihan, penjual cuba mengaut keuntungan semaksimum mungkin, kerana mengambil peluang pada pembeli yang tiada pilihan.

Barangan keperluan harian seperti ayam, telor, ikan, sayur mayur, rempah ratus seperti bawang, cukup mudah dimanipulasi, dengan berbagai alasan, misalnya, kenaikan harga input, sedangkan pendorong harga jika dikaitkan penawaran dan permintaan, apabila penawaran lebih rendah berbanding permintaan, maka harga push ke atas; sedangkan kalau menurut data, jumlah bekalan barangan ini tidak lah kurang sangat, manakala pengguna juga tidak pun meningkat sangat ketara, akan tetapi harga telah naik sangat ketara.

Bagi mereka yang kerap ke pasar-pasar raya, mungkin akhir-akhir ini melihat, barangan ini cukup banyak terpamir daripada yang terjual, malah sayur-mayur nampak telah layu, ikan-ikan tidak segar lagi kerana lama di atas meja atau simpanan; kerana pengguna tidak membeli, kerana faktor harga yang cukup tinggi.

Penulis misalnya, hanya membeli 3 ekor ikan tulai hanya cukup sekali makan, tujuannya, agar, penjual tidak merasa yakin, dengan meletakkan harga tinggi, maka pengguna akan membeli pada kuantiti sama. Demikian juga sayur, penulis hanya membeli seikat, bawang, beberapa biji, ayam beberapa ketul, kerana menurut pendapat penulis, dengan cara begini, psikologi penjual akan terhenti daripada memaksimumkan keuntungan.

Isu kos sara hidup di negara kita, kerana tindakan memaksimumkan keuntungan dengan mengambil peluang sentimen, harga input telah meningkat, sedangkan jika dikira betul-betul, harga input, tidak lah menyebabkan harga dipush sedemikian tinggi.

Ambil contoh, harga pisang sabah yang dijual sesikat dengan harga RM10, sedangkan sebelum pandemik covid-19, hanya RM1.50; pisang berangan sesikat RM15, sedangkan sebelum ini RM5-6.

Harga ikan basung sebelum pandemik antara RM4-5 sekilo, kini antara RM16-18, demikian juga tulai, temenong; bagi ikan tengiri pula, walaupun sekarang dijual antara RM35-40 sekilo, akan tetapi sebelum inipun dijual pada harga tersebut.

Harga timun, jika sebelum pandemik ada yang jual RM0.50 sebiji, kini, RM3.50 sebiji; apa tah lagi cili padi cukup mahal kerana harga bekisar antara RM85-120 sekilo.

Barangan seperti timun, cili, telor, bawang, ayam, daging mempengaruhi para penjual mee rojak, sebab itu, walaupun harga mee basah kekal dengan RM2.00/500gram, akan tetapi harga mee rojak telah naik ke RM6-6.50 sepinggan dengan portion yang sedikit, kerana kata penjual, harga kacang tanah juga telah naik.

Demikian juga penjual pisang goreng pisang sabah, sebiji yang diiris 5 dijual seringgit, sesikat yang berisi antara 12-13, boleh dijual antara RM12-13, untung hanya RM2-3, belum mengambilkira minyak masak (kalau dapat minyak paket ada untung sedikit), jika terpaksa membeli RM6.70 sekilo, maka terpaksa menggunakan minyak berkali-kali untuk turunkan kos.

Senario yang penulis untai ini, bagai mana kerajaan yang mengwujudkan jawatan kuasa pemantau kos sara hidup boleh berperanaan? Langkah-langkah apa yang berkesan sebagai tindakan? Jawapannya, terpaksa menunggu nenek kebayan turun daripada bulan.

Kerajaan tiada pilihan, melainkan memperbanyak peluang-peluang pekerjaan, memperancak pengeluaran barangan mentah, jika mahu kos sara hidup tidak membebankan rakyat. Memantau sahaja, tidak akan memberi kesan apa-apa, walaupun menteri yang menjaga kos sara hidup berbuih mulut.

No comments:

Post a Comment