Thursday, November 03, 2022

BN SABAH TANDING 11 PARLIMEN SATU DUN , GRS 13 PARLIMEN

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masing-masing bertanding di 11 (Dun Bogaya)  dan 13 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Agihan kerusi itu diumumkan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ketua Menteri selaku Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor, pada Majlis Pengumuman Calon GRS-BN, di sini, pada Rabu.

BN bakal bertanding di kerusi Parlimen Kota Belud, Sepanggar, Putatan, Kimanis, Beaufort, Tenom, Kinabatangan, Libaran, Lahad Datu dan Kalabakan menerusi wakil UMNO, diikuti Pensiangan diwakili Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Sementara itu, GRS bertanding di kerusi Parlimen Kudat, Sipitang, Papar, Ranau, Beluran, Batu Sapi, dan Semporna menerusi wakil BERSATU, diikuti wakil Parti Bersatu Sabah (PBS) di Kota Marudu, Tuaran, Kota Kinabalu dan Tawau; Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) di Keningau dan Penampang; serta Parti Maju Sabah (SAPP) di Sandakan.

Hanya satu kerusi yang disandang Naib Presiden BERSATU yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran) belum diputuskan sama ada ditandingi GRS atau BN.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah terus mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan, selain kerusi disandang BN Sabah sebelum ini iaitu Kimanis dan Pensiangan masing-masing dipertahankan Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin serta Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Di pihak GRS-BERSATU pula, daripada enam kerusi disandang parti itu, hanya satu penyandangnya dikekalkan setakat ini iaitu Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Jonathan Yasin di kerusi Parlimen Ranau.

Penyandang GRS-BERSATU yang digugurkan ialah Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Zakaria Edris (Libaran) dan Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Yamani Hafez Musa (Sipitang).

Kerusi Beaufort dan Libaran diserah kepada BN, manakala calon di Kudat dan Sipitang ditukar kepada muka baharu iaitu Penyelaras GRS Kudat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Datuk Ruddy Awah dan Datuk Matbali Musah.

Seorang lagi Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang juga Presiden STAR yang menyandang kerusi Parlimen Keningau turut mempertahankan kerusi berkenaan atas tiket GRS.

Spekulasi sebelum ini mengenai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berpindah dari Kota Marudu ke kerusi Parlimen Tuaran, tidak menjadi kenyataan apabila Maximus diumum mempertahankan kerusi Parlimen Kota Marudu yang disandangnya sejak 1995.

Sebaliknya, Tuaran ditandingi Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sabah, Datuk Joniston Bangkuai mewakili GRS untuk menawan kerusi itu yang kini disandang Pakatan Harapan (PH) melalui Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Madius Tangau.

BN pula menampilkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan serta Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Shahelmey Yahya di kerusi Parlimen Sepanggar dan Putatan.

Selain muka baharu, BN turut menampilkan semula Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan di Parlimen Kota Belud dalam usaha merampas kerusi berkenaan daripada WARISAN yang akan dipertahan penyandangnya, Isnaraissah Munirah Majilis.

Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Tuaran pernah menyandang kerusi Kota Belud selama dua penggal sejak 2008 sebelum dipindahkan ke kerusi Parlimen Sepanggar pada 2018 tetapi tewas di tangan calon WARISAN, Datuk Mohd Azis Jamman.

Turut ditampilkan BN ialah bekas ADUN Kemabong, Jamawi Jaafar yang dicalonkan di Parlimen Tenom untuk berdepan penyandang daripada PH-DAP, Noorita Sual dan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony.

Dijangka, hanya Parlimen Kota Kinabalu, Penampang, Sandakan dan Tawau dan DUN Bogaya, GRS-BN berhadapan perlawanan sengit dengan PH dan Warisan.

No comments:

Post a Comment