Friday, October 21, 2022

GRS-BN TENTUKAN HALA TUJU SABAH-HAJIJI

AGIHAN kerusi antara GRS dan BN pada PRU-15 yang hanya membabitkan parlimen, mencerminkan kerjasama antara dua parti itu dalam kerajaan negeri.

Kerajaan negeri yang diperintah bersama GRS-BN mempunyai masa tiga tahun lagi memenuhi mandat rakyat negeri yang diberikan pada September 2020.

Kombinasi dan komposisi yang adil antara dua blok parti itu semasa berhadapan dengan PRU kali ini adalah jaminan keutuhan kerjasama antara dua parti itu.

Semua pemimpin dua parti itu, perlu meletakkan keutamaan pada kerjasama seperti mana diinginkan rakyat pada PRN-16 negeri, dan semua pihak perlu menerima hakikat, tidak semua keinginan dapat dipenuhi, dan perlu memilih pendekatan menang-menang, untuk kepentingan bersama.

Penulis melihat agihan kerusi antara dua parti itu, bukan sahaja cerminan kerjasama kukuh, akan tetapi juga penanda aras untuk menang sebanyak mungkin kerusi.

Selain itu, akan dilihat oleh rakyat negeri ini, sejauh mana autonomi parti-parti yang didaftarkan di luar Sabah, sebagai tindak balas “kecenderungan” pada parti lokal.

Hakikat kecenderungan pada parti lokal tidak boleh dianggap remeh, kerana terbukti, samada pada PRU-14 atau PRN-16 Sabah, kerusi-kerusi yang dimenangi parti lokal atau tempatan lebih banyak berbanding parti-parti yang berelemenkan parti luar.

Saingan utama GRS-BN adalah parti Warisan yang meletakkan untung nasib parti itu dengan mengangkat isu parti tempatan, apabila mendakwa, penentuan calon-calon dalam GRS-BN ditentukan oleh pemimpin luar, berbanding parti itu yang tidak bergantung pada mana-mana pemimpin. Mengantisipasi dakwaan Parti Warisan tersebut, Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi GRS, menegaskan, hala tuju negeri ditentukan oleh para pemimpin tempatan negeri samada mewakili GRS atau BN Sabah.

Di pihak Umno/BN Sabah terletak sepenuhnya di tangan Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Pengerusi BN negeri, sementara GRS ditangan Datuk Seri Hajiji Haji Noor.

Oleh kerana kuasa autonomi Umno Sabah, maka Bung Moktar Radin mengumumkan dengan tegas, berhadapan PRU ke-15 ini, GRS-BN berkerjasama, sedangkan pendirian Umno Pusat telah menutup rapat-rapat sebarang kerjasama dengan parti yang berelemenkan Bersatu dan Pas sebelum/selepas PRU kali ini. Demikian juga pendirian Hajiji, yang telah memberi jaminan tidak akan ada pertembungan antara dua blok parti itu. Jawapan-jawapan yang diberikan Hajiji dan Bung, tersangat jelas, bahawa GRS-BN Sabah bergerak sebagai parti tempatan/lokal, akan tetapi mempunyai keistimewaan kerana mempunyai jambatan dengan parti-parti nasional, berbeza dengan Parti Warisan, yang perlu merintis, kemudian membina terlebih dahulu, entah-entah berjaya kah atau pun tidak.

No comments:

Post a Comment