Tuesday, October 25, 2022

ATAS KERTAS SAINGAN GRS-BN ADALAH PH, DILAPANGAN- PARTI WARISAN

POLITIK rakyat Negeri Sabah benar-benar bercelaru, kerana masih tidak dapat membezakan parti yang bertujuan membentuk Kerajaan Persekutuan dengan parti yang hanya mahu calon-calon mereka menjadi wakil rakyat, kemudian menjual diri pada mana-mana pihak yang menawarkan bidaan tertinggi untuk kepentingan sendiri.

Di Sabah sepatutnya lawan utama GRS-BN adalah Pakatan Harapan (PH), kerana masing-masing bertujuan membentuk Kerajaan Persekutuan, akan tetapi dilapangan atau peringkat akar umbi, lain pula kejadiannya, Parti Warisan pula menjadi saingan utama.

Mengapa situasi ini berlaku? Kerana masih terdapatnya rakyat keliru kerana terperangkap dengan naratif parti tempatan sehingga gagal memandang ke hadapan.

Kenyataan mantan Presiden PBS- Tan Sri Pairin Kitingan yang menyeru rakyat Sabah menyokong parti tempatan pada PRU ke-15 ini, menambah lagi kecelaruan, seolah-olah bersetuju dengan pendekatan Parti Warisan.

Hakikatnya kenyataan Pairin tersebut merujuk pada GRS, kerana blok parti itu awal-awal lagi telah meletakan label sebagai parti tempatan/lokal, namun, kesan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) yang berimej Nasional, sehinggakan dilihat oleh sesetengah pengundi yang bukan penyokong parti politik sebagai bukan parti tempatan.

Pun demikian, akibat kecelaruan yang berlaku pada rakyat, apatah lagi sempena PRU kali ini, ramainya pengundi yang terlibat berbanding PRU yang lalu, pertembungan berbagai penjuru jauh memberi kelebihan pada Parti Warisan, berbanding berlakunya kerjasama antara GRS dan BN.

Kerjasama antara GRS-BN diterima atau tidak sebenarnya mengembalikan status quo kerjasama antara pemimpin seperti mana PRU-14, dan juga PRN-16 negeri dengan situasi tolak campur, kerana ada parti yang keluar dan ada parti yang masuk (merujuk pada parti UPKO, STAR dan SAPP).

Kerjasama GRS-BN sekurang-kurangnya menjamin kemenangan di kawasan-kawasan tradisi, dan mampu mengugat kawasan-kawasan yang dirampas Parti Warisan pada PRU-14.

Pada PRU kali ini, bagi calon-calon GRS-BN di kawasan majoriti KDM, bakal mendapat kelebihan, apabila parti baharu serpian Parti Warisan, akan turut bertanding walaupun kesan amat kecil, setidak-tidaknya boleh mengurangkan undi pada calon-calon parti yang diterajui Datuk Shafie Apdal.

Bagi pandangan penulis PRU kali ini amat terbuka, apabila mengambilkira jumlah pengundi, selain senario politik tanah air yang telah berubah dengan drastiknya pasca PRU-14.

Parti mana yang keluar sebagai pemenang semuanya bergantung pada startegi masing-masing, termasuk pemilihan calon yang tepat.

Antara calon-calon GRS-BN kemenangan tersangat cerah jika unsur sabotaj tidak berlaku, kerana faktor sabotaj lebih besar kesannya berbanding saling bertembung, seperti mana berlaku pada PRU-14 di Parlimen Kota Belud.

Akan terlihat nanti, selain agihan kerusi antara GRS-BN, juga calon-calon yang dipilih, kerana antara parti itu, di setiap kawasan, terdapatnya 2-3 harimau di bukit yang sama.

Penulis yakin aura kepemimpinan para pemimpin GRS-BN Sabah, akan meminimumkan usur sabotaj antara satu sama lain, selain, setiap pihak perlu mengutamakan kemenangan calon-calon yang dipilih mewakili parti, dan elakkan sama sekali seperti enau dalam belukar mengeluarkan pucuk masing-masing untuk mengelak yang digendong berciciran yang dikejar tak dapat.. Fikir-Fikirkan Lah.

No comments:

Post a Comment