Friday, July 08, 2022

AKUI LAH SEMASA UMNO KUAT TIADA YANG BERANI BERCAKAP MA63

HANYA semasa Umno tidak kuat, ada pemimpin tertentu Sabah dan Sarawak bercakap berkaitan MA63.

Individu yang pernah bercakap berkaitan perjanjian tersebut semasa Umno kuat, berakhir dalam tahanan ISA.

Apabila Umno kehilangan kuasa, maka apa yang terbuku berkaitan MA63 diluahkan, termasuk lah melantik seorang menteri yang mengurus mengenainya.

Menyalahkan mereka yang tidak bercakap secara terbuka mengenai MA63 semasa Umno kuat, tidak dapat dipersalahkan secara sepihak, kerana mereka ini, berkeadaan ditelan mati emak diluah mati bapa.

Mereka itu berada dalam keadaan serba salah, atas sebab jika berani bercakap, maka akan mengalami keadaan bukan sahaja bakal tercantas akan tetapi akan berakhir tiada masa depan dalam arena politik, jauh sekali menjadi sebahagian daripada kepemimpinan.

Dalam keadaan yang demikian, istilah pemimpin bijak tidak tergunapakai, kerana keadaan yang tidak memungkinkan  kerana sesiapa yang bercakap mengenainya, boleh dicap sebagai anti Malaysia.

Ditakdirkan apabila Umno tidak kuat termasuk tumbang pada PRU-14, maka akhirnya setiap rakyat Sabah dan Sarawak, malah Semenanjung, akhirnya mengetahui berkaitan MA63.

Lebih 50 tahun, hanya mereka yang berumur di atas 60 tahun, mengetahui perihal MA63, itu pun hanya samar-samar, kecuali mereka yang menaruh minat meneliti, menyelidik berkaitan perjanjian yang mengwujudkan Persekutuan Malaysia tersebut.

Cuba bayangkan sekian lama 16 September hanya dijadikan sebagai sambutan rasmi kelahiran TYT Sabah, sedangkan tarikh tersebut adalah tarikh keramat terwujudnya Persekutuan Malaysia. Sebelum itu, kita semua didodoikan dengan lagu merdeka oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad yang melaung-laungkan tanggal 31 Ogos, 1957, seolah-olah tarikh keramat bagi Persekutuan Malaysia, sedangkan tarikh tersebut hanya untuk Persekutuan Tanah Melayu.

Hal hasil tumbangnya Umno, adalah peningkatan bayaran khas Persekutuan pada Sabah, itupun hanya berlaku pada tahun 2022, daripada RM26.7 juta bertahun-tahun lamanya kepada RM125.6 juta.

Perjanjian MA63, telah membutirkan apa yang hak-hak Sabah dan Sarawak. Dua wilayah tidak menuntut lebih, yang dituntut yang sepatutnya menjadi hak. Ertinya, jika semua berlapang dada, dan berpandukan butiran dalam perjanjian tersebut, tidak hanya jauhari juga mengenal manikam, akan tetapi hanya perlu mereka yang bertauliah dalam pengurusan kewangan untuk membutirkan, mana yang telah dibayar, mana yang belum, atau mana yang terlebih bayar atau mana kurang.

Rakyat Sabah lebih 50 tahun hanya dapat merasakan apa itu kemajuan dan pembangunan moden apabila naik pesawat dan mendarat di mana-mana lapangan terbang di Semenanjung.

Siapa yang tidak terkilan, Sabah dan Sarawak pengeluar minyak dan gas, akan tetapi hasil daripada harta karun tersebut, dipampangkan di kawasan yang tidak pun mengeluarkan setitik minyak atau setiub gas.

Penulis berpendapat, pada masa ini, pada masa sekarang lah, apa yang terkandung dalam MA63, perlu diselesaikan secara tuntas, tanpa berlengah lagi. Tidak perlu new deal, selelasikan dahulu apa yang diperesetujui pada tahun 1963. Noktah.

No comments:

Post a Comment