Tuesday, March 22, 2022

FAKTOR KEKUATAN GRS

FAKTOR kekuatan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana berjaya menggabungkan tiga kaum utama di Sabah yang diwakili parti masing-masing.

Menerusi perkataan “gabungan” pun telah membawa pengertian yang luas, berbanding istilah-istilah yang digunapakai oleh parti-parti politik sebelum ini.

Pemilihan perkataan gabungan, adalah upaya menoktahkan perpecahan di kalangan pemimpin dan kaum yang telahpun dibuktikan sebagai faktor atau penyebab, Sabah dan rakyatnya lambat maju dan membangun.

Daripada segi parti, GRS sangat bersesuaian dengan status Sabah yang telah kembali sebagai wilayah seperti mana Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Sangat diharapkan, parti itu menjadi parti dominan di Sabah seperti mana Gabungan Parti-Parti Sarawak (GPS) di Sarawak dan Barisan Nasional (BN) di Semenanjung, meminjam pandangan ADUN Nabawan- Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin, semasa beliau mencadangkan agar GRS didaftarkan sebagai sebuah parti.

Walaupun demikian, perjalanan menjadikan GRS sebagai parti dominan, bukan mudah, kerana masih berseleraknya para pemimpin dalam parti-parti yang masih beroperasi di Sabah, samada parti itu parti nasional atau parti tempatan.

Parti-parti itu kekal dengan misi masing-masing untuk mendapat mandat rakyat Sabah untuk menjadi kerajaan. Jika tidak berjayapun, setidak-tidaknya ada wakil mereka dalam Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat.

Pengamatan penulis, menerusi GRS, kaum pertama yang mendahului kebangkitan adalah kaum bumiputera bukan islam dan sebahagian kaum bumiputera islam yang mendiami kawasan pantai barat dan pedalaman Sabah.

Akan jelas nanti, apabila adanya PRN ke-17 Sabah, kawasan-kawasan yang bakal diwakili gabungan tersebut. Manakala pada PRU-15 yang hanya melibatkan parlimen, boleh juga menjadi indikasi, kawasan-kawasan yang bakal menjadi wilayah gabungan tersebut dalam arena politik negeri.

Tidak dapat dinafikan, hambatan utama GRS menjadi parti dominan di Sabah, kerana masih bertapaknya Umno dan parti Warisan, yang mana masing-masing parti masih mempunyai wilayah tersendiri, sesuai dengan latar belakang pemimpin parti-parti tersebut.

Tidak mudah membawa para pemimpin daripada parti-parti tersebut berjuang bersama-sama dalam GRS, kerana mereka juga merasakan perlu mengisi barisan pertama kepimpinan. Selagi adanya pemahaman demikian, selagi itu lah, akan menjadi penghalang menjadikan GRS seperti GPS di Sarawak dan BN di Semenanjung. Faktor belum bersedia ini lah, penulis membuat kesimpulan, mengapa kaum bumiputera bukan islam kehadapan dalam upaya menoktahkan perpecahan di kalangan para pemimpin dan parti, apabila bergabung dalam gagasan besar pertama dalam negeri Sabah- Gabungan Rakyat Sabah!!!.

No comments:

Post a Comment