Thursday, November 04, 2021

PRN MELAKA: UJI SOKONGAN PARTI MENJELANG PRU-15


Di sebalik keputusan parti PAS menggunakan LOGO Perikatan Nasional dan pendirian Umno bergerak solo, dilihat sebagai kaedah uji sokongan menjelang PRU-15.

PRN Melaka, boleh dianggap sebagai cerminan PRU-15. Atas sebab itu, menguji sokongan dan kekuatan telah dipilih masing-masing pihak.

Umno mahu menguji, apa kah pengundi melayu sudah kembali menyokong parti itu seperti mana berlaku sebelum PRU-14. Manakala bagi Pas dan Bersatu, mahu menguji, apa kah sudah menjadi realiti, bahawa sokongan kaum melayu sudah berubah, sesuai dengan senario politik tanah air.

Kalau mendengar pandangan penyokong Umno, keputusan Pas bersama Perikatan Nasional, sehingga menyebabkan pertembungan tiga penjuru, maka parti itu akan terkubur bersama rakan-rakan parti dalam Perikatan Nasional.

Di lain pihak pula, penyokong Pas dan Bersatu, menerusi pertembungan tiga penjuru, selain merugikan ke tiga-tiga parti tersebut, akan tetapi juga memberi kelebihan pada Pakatan Harapan (PH).

Apa yang ditakutkan, jika keputusan PRU-14 berulang. Jika keadaan itu berlaku, pemimpin Umno, Bersatu dan Pas lah yang perlu dipersalahkan.

Sesetengah pandangan, berkaitan parti Pas, kerana pada PRU-14, parti itu gagal menang sebarang kerusi di Melaka, walaupun pada PRU-13, menang satu kerusi, maka tidak wajar memberi berbagai syarat, dan sepatutnya hanya ikut ikhsan parti yang “kuat”.

Akan tetapi ramai yang terlupa, bahawa tindakan Pas bertanding di semua kawasan majoriti melayu pada PRU-14, telah menyebabkan Umno kehilangan 4 kerusi berbanding keputusan PRU-13. Atas sebab itu, impak pertembungan tiga penjuru, tidak boleh dinafikan begitu saja.

Di mata, para pemimpin PN, pertembungan tiga penjuru, ibarat, menang sorak kampung tergadai. Juga, menerusi pertembungan, maka hasrat mengwujudkan perpaduan ummah, semakin jauh, walaupun di Peringkat Persekutuan sedang terwujud, melalui Kerajaan Keluarga Malaysia yang dipimpin Naib Presiden Umno- Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Namun, semua itu hanya pandangan atau presepsi, tiada sesiapa pun boleh menduga atau meramal keputusan hampir setengah juta pengundi negeri Melaka.

Keyakinan pada sebarang pilihan raya, memang perlu, namun tidak semestinya keyakinan itu menjadi realiti, apa tah lagi melibatkan pengundi.

Pada PRN Melaka kali ini, di luar kebiasan pilihan raya yang pernah diadakan, kerana semua pihak TIADA peluang berkempen secara besar-besaran. Kerana tiadanya kempen, maka pengundi, diramalkan, akan kekal dengan keputusan awal masing-masing, kekal dengan keputusan berasaskan presepsi masing-masing, walaupun mungkin berubah, bergantung kepada kehebatan masing-masing pihak mengunakan media sosial atau jalinan atas talian.

Nampaknya, menerusi PRN Melaka, bayangan PRU-15 semakin jelas, pihak mana saling bertembung, walaupun nanti, selepas keputusan tersebut, boleh juga berlaku penjajaran semula politik.

Penulis melihat, pendekatan pada PRN Melaka, merupakan TINDAKAN 'HIDUP MATI" samada oleh BN (Umno) mahupun PN ( Pas dan Bersatu). Manakala bagi PH, parti-parti dalam pakatan tersebut, kekal bersandar pada sokongan yang diperolehi pada PRU-14, dan mereka lah yang mendapat kelebihan.

Bagi pendapat penulis, pengundi Negeri Melaka, ada satu keputusan, iaitu berkaitan pemimpin yang disukai. Jika pengundi suka pada Datuk Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak, maka akan sokong BN, jika suka pada gandingan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng, maka sokong PH, dan jika suka pada Tan Sri Muhiyiddin Yassin dan Tok Guru Hadi Awang, maka sokongan Perikatan Nasional.

Apa-apa pun, sama-sama kita tunggu pihak mana diberi mandat oleh pengundi Negeri Melaka.

No comments:

Post a Comment