Friday, November 05, 2021

JIKA PH TIDAK TUMBANG?


MUNGKIN impak daripada Kongress Maruah Melayu pada Oktober, 2019 yang diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam, maka menjadi ASBAB, berlakunya langkah Sheraton pada Februari, 2020.

Menerusi langkah Sheraton tersebut, sebahagian ahli parlimen parti Bersatu dan PKR, telah keluar daripada Pakatan Harapan (PH), yang telah menyebabkan Kerajaan yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohammad kehilangan sokongan majoriti. Ekoran kejadian tersebut, maka Perdana Menteri ke-7 negara meletakkan jawatan, sekali gus Kerajaan PH yang dibentuk selepas PRU-14 tumbang.

Dengan tumbangnya kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat, tetapi pada masa yang sama, kuasa tidak dikembalikan kepada rakyat, sebaliknya, diberikan pada ahli-ahli parlimen.

Dengan kesepakatan ahli-ahli parlimen, menerusi Yang DiPertuan Agong, maka terpilih lah Tan Sri Muhiyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8, dan seterusnya membentuk kerajaan.

Ironinya, pemilihan Muhiyiddin, bukan disokong oleh sebahagian besar ahli parlimen daripada parti yang diberi mandat rakyat pada PRU-14, sebaliknya, daripada parti yang kalah, iaitu daripada UMNO, GPS, PAS, STAR dan PBS.

Gabungan antara ahli-ahli parlimen yang kalah bersama dengan ahli parlimen Bersatu dan sebahagian ahli parlimen PKR yang diketuai Datuk Azmin Ali, telah berjaya mendapat majoriti mudah, 114 daripada 222 ahli parlimen.

Dibentuknya kerajaan, yang kemudiannya dinamakan Kerajaan Perikatan Nasional, pada 1 Mac, 2020.

Namun, kerajaan tersebut, tidak bertahan lama, dan tumbang semula pada Ogos, 2021, akan tetapi, kerajaan yang menggantikannya, adalah duplicate daripada kerajaan yang tumbang tersebut, apabila hanya kedudukan Perdana Menteri sahaja yang berganti.

Seperti mana yang kita tahu, impak daripada tumbangnya kerajaan PH, maka parti yang tidak mendapat mandat rakyat pada PRU-14, telah menjadi kerajaan, termasuk di Johor, Melaka, Perak dan Kedah.

Sungguh malang bagi parti Bersatu dan kumpulan Azmin Ali, sangkaan bahawa parti-parti yang ditarik untuk bersama-sama memerintah, disangkakan, panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Mereka telah berhadapan seperti kata peribahasa, melepaskan anjing tersepit.

Pemimpin Bersatu dan kumpulan Azmin, terpaksa melalui, nasi sudah menjadi bubur. Kerana keadaan tersebut, maka tiada pilihan, selain melaluinya, termasuk lah pada PRN-15 Melaka.

Rupanya, kongres Maruah Melayu, tidak berimpak apa-apa pada penyatuan ummah melayu, sebaliknya, kembali pada keadaan “square one”, kerana Umno mengekalkan pendekatan lama, bahawa TIADA parti lain, boleh mewakili kaum melayu, melainkan parti itu.

Sebahagian besar pemimpin Umno, terutama mereka yang ditolak rakyat pada PRU-14, bertindak lebih sudu daripada kuah, apa tah lagi diperkuat, oleh pemimpin kluster mahkamah yang TIADA pilihan, melainkan bertindak “do or die”.

Sebenarnya jika diamati dengan seksama, kekuatan Umno tidak seperti dahulu lagi, kerana perubahan politik tanah air. Sebagai bukti, pada PRN-16 Sabah, walaupun parti itu telah bertapak sejak tahun 1991, dan tiada calon parti itu pernah kalah pada sebarang pilihan raya selepas itu, akan tetapi pada PRU-14, berapa calon parti itu, termasuk pemimpin berkedudukan, telah ditolak rakyat. Dan kemudiannya, pada PRN-16 Sabah, daripada 32 calon parti itu, hanya 14 yang menang kerusi.

Kecenderungan rakyat tersebut, tidak diambil kira, oleh pemimpin Umno, sebaliknya bertegas bergerak solo di PRN Melaka, atas kekepercayaan, bahawa kencenderungan pengundi Sabah jauh berbeza dengan kecenderungan pengundi Melaka. Para pemimpin Umno bersandar pada kemenangan di beberapa PRK di Semenanjung yang dimenangi calon parti itu, semasa masih berkawan dengan Bersatu dan Pas.

Pada PRN Melaka, akan berulang kah kemenangan calon-calon parti itu? Pada keadaan berlakunya pertembungan tiga penjuru?

Kalau melihat rekod keputusan PRU-14, di kawasan majoriti melayu yang mempunyai lebih 20 peratus pengundi cina, pertembungan tiga penjuru,memberi kelebihan pada PH, memandangkan hanya DAP yang mampu merai undi kaum cina. Sokongan kaum cina, akan memberi kelebihan pada calon-calon PH, khususnya daripada PKR dan Amanah di kawasan-kawasan tersebut.

Pada PRN Melaka, sekurang-kurangnya 8 kawasan sedemikian berpotensi ditawan PH. Apabila ditambah 8 kerusi majoriti kaum cina yang hampir pasti dimenangi DAP, maka selepas keputusan PRN Melaka 20 November ini, PH bakal membentuk kerajaan Negeri Melaka.

Jika ini berlaku, benar lah anggapan, tindakan Umno, menolak kerjasama dengan PN, bagaikan menang sorak kampung tergadai. Selain itu, upaya penyatuan ummah melayu, seperti mana digariskan menerusi Kongres maruah Melayu berakhir masuk longkang.

Seperkara lagi, tindakan Tan Sri Muhiyiddin Yassin, yang menarik Umno daripada terus menjadi pembangkang, sama sekali tidak mendapat penghargaan daripada pemimpin Umno. Mungkin kah keadaan ini menjadi ASBAB, pengundi Melaka akan menjadikan peti undi sebagai tindakan BALAS BUDI?.. Sama-sama kita nantikan.

No comments:

Post a Comment