Sunday, March 31, 2019

USAHA MEMPERLEKEH KEPIMPINAN HAJIJI

SEBUAH blog menulis laporan khas bertajuk “Salleh Said Keruak ada RM200juta untuk kuasai Bersatu Di Sabah (artikel itu DISINI).

Maksud sebenar “laporan khas itu” sebenarnya mahu mempromosi pemimpin pembangkang Sabah yang tidak termasuk sebagai mantan-mantan wakil rakyat atau pemimpin Umno yang keluar beramai-ramai pada 12-12-2018, untuk dipilih oleh pucuk pimpinan PPBM pusat menerajui PPBM Sabah.

Untuk mencapai maksud itu, maka penulis blog itu cuba mencari kambing hitam atau isu yang boleh menyokong argumentasi atau isu yang mendasari laporan itu.

Bagi memperkuat argumentasi, penulis itu sengaja memilih mantan-mantan pemimpin Umno yang mempunyai rekod pernah bertelaga secara politik dengan Tun Dr Mahathir yang kelihatan menyokong Datuk Hajiji Haji Noor.

Penulis itu memilih Datuk Salleh Said Keruak, kerana Salleh pernah mengeluarkan kenyataan politik untuk mempertahankan parti dan kerajaan yang ditunjangi parti daripada serangan Tun Dr Mahathir suatu masa yang lalu.

Perkara pokok yang dilupai penulis itu, bahawa dalam dunia politik, adalah dayus bagi seseorang pemimpin jika tidak mempertahankan parti dan kerajaan yang ditunjangi parti daripada serangan.

Sebenarnya Salleh khususnya, pada masa itu bukan hanya membuat kenyataan politik mempertahankan parti dan kerajaan yang diterajui parti daripada serangan Tun Dr Mahathir, akan tetapi mempertahankan parti dan kerajaan daripada serangan mana-mana pihak. Manakala Pandikar pula, lebih bersifat salah faham antara beliau denganTun Dr Mahathir berkaitan perjumpaan 4 mata antara mereka berdua suatu ketika yang lalu.

Mengapa penulis artikel itu memilih Salleh dan seterusnya mendakwa mantan Menteri Komunikasi dan Multimedia dan Bendahari Umno itu, mempunyai wang RM200juta untuk dihabiskan kononnya untuk menyusun atur PPBM Sabah, tujuannya supaya pucuk pimpinan PPBM pusat menaruh syak wasangka kepada Datuk Hajiji.

Sebenarnya, penulis itu hanya membuat andaian dan teori, langsung tidak berasaskan fakta. 

Mungkin penulis itu melihat sebuah gambar di mana dalam gambar itu ada Datuk Masidi Manjun, Datuk Hajiji, Tan Sri Pandikar dan Datuk Salleh. Dengan melihat gambar itu, maka penulis blog itu membuat tafsiran sendiri.

Memang Salleh dan Pandikar terlibat menyertai beberapa mesyuarat Persedian Pelancaran PPBM Sabah, tetapi ianya semata-mata sokongan mereka terhadap Datuk Hajiji dan sokongan mereka terhadap keberadaan PPBM di Sabah.

Kalau lah Penulis itu mengetahui perkara sebenar, bahawa setakat ini Salleh dan Pandikar belum menyertai PPBM, maka penulis itu tidak akan tergamak menulis tuduhan liar sepertimana yang ditulis.

Salleh khususnya telah beberapa kali menyuarakan pendirian bahawa beliau berehat dahulu daripada dunia politik. 

Menerusi kenyataan itu, maka tidak timbul teori penulis blog itu, kononnya Salleh menyusun atur PPBM Sabah, dan mempergunakan Hajiji, kerana menurut penulis itu, ADUN Sulaman itu merupakan pemimpin yang lemah.

Mungkin penulis blog itu terlepas pandang atau tidak mengetahui sejarah politik Datuk Hajiji. 

Datuk Hajiji adalah mantan pemimpin parti Usno. Beliau pertama kali menjadi ADUN pada tahun 1990 dan berterusan sehingga PRU-14(2018), iaitu selama 7 penggal. Selama 35 tahun sebagai wakil rakyat dan berpenggal sebagai menteri kabinet Kerajaan Sabah, tidak mencerminkan kelemahan beliau. 

ADUN Sulaman itu tidak menonjol di peringkat kebangsaan, kerana minat beliau hanya di peringkat negeri. Sebenarnya, Hajiji adalah salah seorang pemimpin terkanan Sabah.

Sebenarnya niat penulis itu, supaya, Hajiji jangan dipilih untuk menerajui PPBM Sabah, sebaliknya pemimpin lain, walaupun tidak menyebut pemimpin itu.

Mengaitkan Salleh dan Pandikar untuk menggambarkan kelemahan Hajiji, sebenarnya tersasar jauh, kerana 2 pemimpin yang cuba dipertikai penulis itu, adalah ahli politik tulen, bukannya peniaga politik.

Pemimpin seperti mereka ini (Salleh dan Pandikar) akan “sai lang” atau membelanjakan wang yang ada pada mereka jika mereka merupakan pemimpin sesebuah parti. Pemimpin politik tulen tidak akan membelanjakan wang, apatah lagi sehingga RM200juta untuk sebuah parti yang mana mereka bukan salah seorang ahli dan bukan pemimpin parti. 

Sebenarnya, tujuan penulis itu adalah memperkecil kepimpinan Hajiji, membunuh karakter ADUN Sulaman itu, kerana mendakwa Ibu Pejabat PPBM Sabah pun tidak akan terwujud tanpa bantuan pihak ketiga.

Kalaulah penulis artikel itu tahu, bahawa Hajiji merupakan pemimpin yang disifatkan oleh semua pihak sebagai alternatif kepada kepimpinan Sabah yang ada sekarang, maka penulis itu tidak akan sanggup mempromosikan pemimpin lain selain ADUN Sulaman itu. Malah semasa kemelut dua Ketua Menteri Sabah sedang dibicarakan di mahkamah, Tan Sri Musa Aman sendiri menyatakan bahawa tindakan beliau, bukan untuk beliau kembali menjadi Ketua Menteri, sebaliknya untuk Hajiji dilantik ke jawatan itu.

Sebagai rekod, selepas Musa melepaskan jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Hajiji telah dilantik mengisi jawatan itu, kerana mantan Ketua Bendahari Umno Sabah itu mendapat sokongan daripada semua Ketua Bahagian Umno Sabah.

Mengapa para pemimpin Umno Sabah selepas Musa memilih Hajiji? Sebabnya mereka tahu, bahawa ADUN Sulaman itu mempunyai kapasiti dan kredibiliti sebagai ketua.

Penulis itu untuk memperkuat teori, maka cuba mengadu domba antara Musa dan Salleh.

Untuk menguatkan promosi agar pucuk pimpinan PPBM tidak memilih mantan-mantan pemimpin Umno termasuk Hajiji, maka penulis blog itu membuat teori, bahawa tuduhan terhadap Musa adalah hasil muslihat Salleh. 

Perkara yang ingin digambarkan penulis itu, memilih Hajiji sebagai peneraju PPBM Sabah tidak selamat, kerana disokong oleh pemimpin yang busuk hati, suka khianat dan menikam kawan daripada belakang. 

Kemudiannya penulis itu cuba menggambarkan bahawa Hajiji adalah seorang pemimpin yang tidak jujur, kerana kononnya menerima sejumlah wang daripada Tan Sri Musa untuk mengatur urus kemasukkan PPBM ke Sabah, namun kemudiannya sumbangan Musa itu tidak dihargai, seolah-olah madu diberi dibalas racun. Alasan penulis itu, kononnya, kerana status MP Sipitang- Hafez Yamani Musa belum diterima sebagai ahli PPBM kerana alasan wakil rakyat bebas itu adalah anak Tan Sri Musa.

Penulis itu berteori lagi, kononnya ADUN Membakut- Datuk Arifin Arief cuba disingkirkan daripada ahli PPBM, kerana beliau menantu Musa. Mungkin penulis itu terlupa ADUN Kawang-Datuk Ghulam Haidar yang juga menyertai PPBM adalah besan Musa.

Penulis itu, tidak sedar kedudukan dan peranan Datuk Arifin adalah Pengerusi Pelaksana Sambutan dan Pelancaran PPBM Sabah pada 6 April, 2019.

Untuk memperkuat teori penulis itu, dia cuba memperlekeh tindakan ADUN Tempasuk-Datuk Musbah Jamli yang menyertai Parti Warisan Sabah, kononnya atas arahan Salleh, dengan demikian, maka Salleh digambarkan sebagai gergaji dua mata. Mungkin penulis itu, kekurangan maklumat, maka terlupa ADUN Sukau yang menyertai Parti Warisan Sabah lebih dekat dengan Salleh, kerana mereka berbesan.

Pokok pangkal kepada tulisan itu, sebenarnya mahu pucuk pimpinan PPBM, tidak memberi muka kepada mantan-mantan pemimpin Umno, sebaliknya hanya fokus kepada pemimpin pembangkang lainnya yang berminat sangat menyertai PPBM untuk dilantik sebagai Pengerusi Penaja PPBM Sabah. 

Malang sungguh, tulisan itu, hanya ditong sampahkan, kerana pada 6 April, 2019, PPBM Sabah bakal dilancar.  Datuk Hajiji Haji Noor adalah Pengerusi Induk Sambutan, dan seterusnya bakal dilantik sebagai PENGERUSI PENAJA PPBM SABAH.

No comments:

Post a Comment