Monday, March 04, 2019

PRK SEMENYIH: PEMILIHAN ZAKARA HANAFI FAKTOR KEMENANGAN BN

Datuk Seri Mohammad Hassan yang menjalankan tugas-tugas Presiden Umno dapat menterjemahkan kemahuan akar umbi, apabila mencadangkan calon yang membawa kemenangan parti, melepaskan diri daripada cara lama, pemaksaan mencalonkan mereka yang mempunyai kedudukan dalam parti.

Sebenarnya, gejala penolakan rakyat terhadap calon pilihan parti telah bermula pada PRU tahun 2008, namun Umno dan Bn tidak menghiraukan kecenderungan itu.

Pemimpin Umno/Bn seharusnya telah dapat mengcium atau menghidu kecenderungan rakyat bermula daripada PRU-12 dan 13, bahawa calon yang merupakan pemimpin parti tidak semestinya pilihan rakyat.

Kemenangan Bn di 2 PRK terakhir, kerana faktor calon, kemudiannya disokong oleh jentera Umno/bn dan Pas. Keterpaduan itu, telah membuahkan kejayaan.

Kemenangan Bn pada PRK Semenyih dengan majoriti 1,914 menterbalikkan kemenangan PH pada PRU-14 lalu yang bermajoriti 8,964.

Pengulas dan pemerhati negara memperakui dari awal-awal lagi bahawa PRK DUN Semenyih adalah sengit dan getir bagi PH dan BN. Pun begitu, kebanyakan dengan tepat telah meramalkan BN akan menang tipis.

Kajian yang paling terperinci dibuat oleh Ilham Centre. Mengikut dapatan kajian yang dilakukan secara tatap muka membabitkan 378 responden meliputi semua segmentasi kaum, jantina dan umur pengundi serta lokaliti di DUN Semenyih, Ilham Centre membuat kesimpulan bahawa BN akan meraih kemenangan.

Jadi pada keseluruhanya bolehlah kita katakan keputusan PRK DUN Semenyih menepati ramalan awal pemerhati politik termasuk badan kajian seperti Ilham Centre. Ertinya keputusan tersebut tidaklah mengejutkan kita yang mengikut perkembangan politik negara dengan penuh prihatin.

Melihat kepada keputusan PRK Semenyih dan Cameron Highlands, selain faktor calon yang membolehkan Bn menang juga faktor undi melayu. Melihat kepada keputusan, nampaknya kaum melayu yang mengundi PH pada PRU-14 telah kembali kepada Bn.

Seorang sahabat yang juga wakil rakyat, memberi tahu penulis, bahawa keputusan 2 PRK terakhir merupakan "wake-up call" terhadap pemimpin melayu islam dalam PH, bahawa mereka dituntut memperjuangkan hak-hak melayu dan islam, jika tidak maka malapetaka akan mengharungi pakatan 4 parti tersebut.

Bagi Bn/Umno dan Pas, mereka sudah tentunya mempergunakan pendekatan kemenangan pada PRK terakhir bagi menghadapi PRK-PRK seterusnya sehinggalah pada PRU-15.

No comments:

Post a Comment