Monday, January 07, 2019

FAHAMAN POLITIK TIDAK BOLEH DIPAKSA-PAKSA

Fahaman politik tidak boleh dipaksa. Jangan beranggapan, kerana parti sedang berkuasa, maka bakal disertai oleh mereka yang tidak menerima dasar parti itu.

Dalam negara yang mengamalkan demokrasi, maka terpulang kepada individu/rakyat mahu menyertai mana-mana parti. Sebab itu, jika mereka tidak mahu menyertai mana-mana parti, maka mereka menubuhkan parti. Atas asas inilah, di Sabah puluhan parti telah didaftarkan.

Senario politik terkini di Sabah, berkisar antara PPBM dan Parti Warisan Sabah. Untuk sementara, semua parti yang menganggotai Pakatan Harapan telahpun beroperasi di Sabah, malah sebahagian daripada Kerajaan Negeri, kecuali parti termuda dalam pakatan itu, PPBM yang kebetulan parti yang dinaungi Perdana Menteri.

Sebenarnya, dasar antara PWS dan PPBM berbeza. PWS adalah parti seperti PKR, DAP dan Amanah, parti berbilang kaum, sedangkan PPBM khusus untuk pribumi, sama seperti  Umno.

PWS sangat alergi terhadap PPBM, sebab itu tidak mengalu-alukan kehadiran parti itu di Sabah. Pendirian PWS, diulangi lagi oleh Presiden parti itu, apabila ditanya oleh wartawan sempena sambutan Natal parti itu, di Kolombong, Inanam pada Ahad.

Memang diketahui umum, ada persetujuan tidak bertulis antara PPBM dan PWS semasa berdepan dengan PRU-14, bahawa pada PRU itu, PPBM tidak akan meletakkan calon, sebaliknya membuka peluang itu kepada PWS berdepan dengan Bn Sabah, khususnya di kawasan-kawasan yang ditandingi Umno.

Namun, kini, senario sudah berbeza. Ada rakyat Sabah yang tidak menerima dasar PWS, dan pada masa yang sama juga tidak lagi menerima dasar Umno, akan tetapi lebih condong kepada dasar PPBM, maka. sebagai parti yang sah di sisi undang-undang, dan sudah tentunya bebas mengembangkan sayapnya di mana-mana dalam negara, apa tah lagi ramai yang mahu menyertainya, maka seharusnya parti itu diberi kebebasan, sesuai dengan amalan demokrasi dalam negara.

Alasan PWS, kononnya, parti itu perlu menstabilkan politik Sabah dahulu tanpa kehadiran PPBM, tidak akan tercapai, kerana ratusan ribu rakyat Sabah yang sebelumnya merupakan ahli dan pemimpin Umno, sudah membuat keputusan untuk berhijrah ke PPBM, ertinya, matlamat PWS untuk menstabilkan politik Sabah tidak akan tercapai, kerana selama itu, ratusan ribu mantan ahli-ahli dan pemimpin Umno ini, sudah menjadi ahli, hanya bezanya mereka secara rasminya tiada cawangan atau bahagian, namun dalam sistem keahlian, sangat jelas kawasan mana jika dilihat daripada segi persempadanan pilihan raya.

Sepatutnya PWS berbangga, kerana mempunyai rakan parti yang kuat, bukannya menghalangnya. Shafie perlu memikirkan sedalam-dalamnya, apa yang tersirat, mengapa ramai mantan-mantan ahli Umno menyertai PPBM, sebuah parti yang mempunyai dasar membela pribumi, berbanding PWS parti berbilang kaum.

Dalam politik, tindakan jangan terlalu kaku, kena lentur, kerana tidak selamanya tindakan sendiri itu betul, atas sebab dalam politik, sentiasa berlaku berbagai kemungkinan. Satu hari nanti Shafie akan akur, bahawa ahli dan pemimpin PPBM Sabah, akan menjadi penyelamat beliau. Sama halnya, apabila Tun Dr Mahathir menjadi penyelamat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

No comments:

Post a Comment