Datuk Mukhriz Mahathir kini menjadi tumpuan ahli Umno di seluruh negara selepas pengumuman pentingnya petang semalam bahawa beliau menyahut hasrat akar umbi yang mahu beliau bertanding jawatan naib presiden 19 Oktober ini.
Kesediaan beliau bertanding jawatan tersebut bakal menggegarkan peluang para penyandang naib presiden Umno, terutama Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Menurut sumber-sumber dalaman Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi dilihat agak mantap kedudukannya untuk mempertahan jawatan tersebut.
Tetapi selain Hishammuddin, penyertaan Mukhriz juga mungkin memberi tempias kepada seorang lagi penyandang, Datuk Shafie Apdal.
Namun, sumber-sumber itu berpendapat, peluang Shafie agak cerah memandangkan kekuatan Umno Sabah mungkin dapat membantunya mengekalkan jawatan tersebut.
Ini ditambah pula dengan penarikan diri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman daripada bertanding jawatan tersebut.
Dua lagi yang turut menawarkan diri mereka bertanding jawatan tersebut ialah mantan ketua menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan mantan menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad.
Namun cabaran Ali dan Isa, menurut beberapa sumber Umno, dilihat tidak mampu mengancam persaingan bagi jawatan tersebut dalam pemilihan Umno tahun ini.
Berdasarkan beberapa kenyataan ketiga-tiga penyandang jawatan tersebut, sumber-sumber Umno berkata kemungkinan mereka berganding bahu bagi mewujudkan kerjasama antara Umno negeri masing-masing - Perak (Zahid), Hishammudin (Johor) dan Shafie (Sabah) untuk mengekal jawatan tersebut.
Menurut mereka, dilihat pada jumlah bahagian Umno, bilangan terbanyak ialah di Johor (26), Sabah (25) dan Perak (24), yang kesemua berjumlah 75 atau 40 peratus daripada keseluruhan 191 bahagian Umno di seluruh negara.
Jumlah bahagian Umno di negeri-negeri lain ialah Selangor (22), Kedah (15), Pahang (14), Pulau Pinang (13), Kelantan (14), Wilayah Persekutuan (13), Negeri Sembilan (8), Terengganu (8), Melaka (6) dan Perlis (3).
"Memandangkan kecenderungan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak supaya penyandang sekarang dikekalkan, maka Zahid, Shafie dan Hishammuddin dijangka turut mendapat sokongan daripada Umno Pahang dan Selangor yang pernah dipimpin Najib sebelum pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lalu.
"Di atas kertas, bahagian yang dilihat boleh menyokong ketiga-tiga penyandang tersebut berjumlah 111 bahagian.
"Diandaikan mereka mampu menarik sokongan sebahagian daripada baki 80 lagi bahagian, maka peluang mereka dilihat cerah sekali," tambah mereka.
Ini menurut mereka, kerana dalam sistem pengundian baru Umno, sokongan setiap bahagian mewakili satu undi.
Ini bermakna calon-calon perlu memperolehi jumlah undi terbanyak daripada keseluruhan 191 undi.
Maka persoalannya ialah mampukah Mukhriz mengharu-birukan peluang mana-mana penyandang naib presiden tersebut?
Beberapa pihak dalam Umno mahu menteri besar Kedah itu bertanding bagi mengisi jawatan naib presiden untuk mewakili golongan muda.
Malah, bapanya, bekas presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat membuka laluan untuk anaknya itu bertanding jawatan tersebut apabila menekankan bahawa Umno perlu memberi tempat kepada barisan pemimpin muda Umno demi menjamin kelangsungannya sebagai parti utama orang Melayu.
Tidak dapat disangkal wujudnya 'golongan senyap' dalam Umno di seluruh negera yang mahu perubahan drastik dalam parti itu selepas pengurangan undi popular dalam PRU13.
Dengan kehadiran Mukhriz boleh memberi peluang dan laluan kepada mereka untuk merealisasikan kehendak mereka dengan memilih menteri besar Kedah itu.
Kalau diimbau kembali pertandingan merebut jawatan ketua Pemuda Umno pada 2008, Mukhriz mendapat pencalonan terbanyak, iaitu dari 74 bahagian Umno, berbanding dengan dua calon lain, Dr Khir Toyo (62) dan Khairy Jamaluddin (53). Walaupun gagal memenangi jawatan tersebut, namun Mukhriz berjaya mendapat 232 undi berbanding 304 undi diperolehi Khairy dan Khir Toyo (284).
Ada pihak yang berpandangan pada masa itu, sekiranya ia bertanding satu lawan satu antara Khairy dan Mukhriz, kemungkinan kemenangan memihak kepada anak Dr Mahathir itu.
Walaupun ketika itu, Mukhriz tidak mempunyai asas sokongan yang kuat dalam Umno berbanding dengan Khir Toyo dan Khairy, tetapi beliau mampu menarik sokongan daripada bahagian Umno di seluruh negara bagi mengumpul jumlah undi tersebut.
'Kekuatan' Mukhriz juga sering dikaitkan dengan bapanya. Dan sehingga ini, Dr Mahathir masih berpengaruh dalam Umno dan ini dilihat sebagai satu kelebihan untuk membantu Mukhriz menang.
Dengan sokongan padu Umno Kedah pimpinannya dan sistem baru undian dalam memilih kepimpinan tertinggi Umno, banyak pihak dalam Umno berpandangan bahawa dengan kedudukannya sebagai menteri besar yang juga pengerusi Umno Kedah, pastinya Mukhriz mampu mengulangi sejarah tersebut dalam mengecewakan salah seorang penyandang kerusi naib presiden.
Sebenarnya laluan Mukhriz Mahathir membuat kejutan dalam pertandingan itu, tergantung sepenuhnya kepada perwakilan Umno, apa kah perwakilan mahu berlakunya perubahan yang besar dalam parti sesuai dengan misi transformasi yang diinginkan berlaku. Dengan menawar diri bertanding dan berdepan dengan lima calon yang lebih berpengalaman dan pemimpin kanan, merupakan cabaran utama kepada Menteri Besar itu untuk menang. Namun, misi yang beliau bawa, bahawa Umno kena berubah, jika tidak, Umno akan kecundang berdepan dengan keadaan politik yang serba mencabar, terutama kehadiran golongan muda yang dianggarkan 6 juta pada PRU-14 akan datang.
Mukhriz ketika mengumumkan kesediannya bertanding Naib, beliau berkata keputusan itu diambil untuk meneruskan kegemilangan anak Kedah yang terbukti melakar sejarah kepimpinan negara sejak sekian lama, selain memenuhi tuntutan memperluas peranan wakil pemimpin dari utara, khususnya Kedah yang melakar kejayaan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, dalam kepimpinan parti di peringkat pusat.
“Saya akui sudah berminggu-minggu disapa dengan persoalan apakah saya akan menawar diri dalam apa-apa jawatan di peringkat pusat."
“Selepas menerima nasihat daripada setiap lapisan kepimpinan termasuk memikirkan kesesuaian jawatan dari segi masa dan amanah, saya dengan penuh rendah diri ingin menawar diri bertanding sebagai Naib Presiden UMNO dalam pemilihan parti kali ini,” katanya.
Ditanya mengenai slogan ‘berani berubah’ yang pernah digunakannya ketika tewas kepada Khairy Jamaluddin dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda pada 2009, Mukhriz berkata ia satu bentuk manifesto yang menggambarkan mesej beliau melalui jawatan akan ditandinginya.
“Kita harus melihat ke hadapan di mana parti lawan sudah memulakan persiapan menghadapi PRU-14. Ketika itu mungkin pemimpin seperti AI (Datuk Seri Anwar Ibrahim), LKS (Lim Kit Siang), NA (Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat), KS (Karpal Singh) dan Haji H (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sudah tiada dalam kancah politik.
“UMNO pastinya akan berhadapan ramai pemimpin muka baru yang kini ditonjolkan dan diberi tanggungjawab menggalas jawatan penting baik dalam parti atau peringkat negeri diterajui pembangkang.
“Apakah kita sudah lakukan persiapan strategik untuk terus memegang tampuk pemerintahan negara? Apakah kita sudah bersedia meraih undi daripada lebih tiga juta pengundi baru nanti? Inilah persoalan yang paling penting difikirkan sebelum kita sama-sama membuat keputusan dan membantu pemimpin kita mengemudi negara,” katanya.
No comments:
Post a Comment